Monday, March 23, 2009

Program Transisi Kerjaya Bagi Pelajar Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran

1. Pengenalan
Transisi adalah penggunaan terma-terma yang merujuk kepada peralihan masa atau merujuk kepada perubahan kehidupan seseorang daripada alam persekolahan kepada alam pekerjaan atau peningkatan tahap pendidikan seseorang. Kebanyakan pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran kekal dengan sistem persekolahan sehingga berumur 19 tahun. Mengikut Phillippa Russel, Pengarah Majlis Kanak-kanak Kurang Upaya memetik John Fish dan Jean McGinty (1992) sebagai berkata,’ suatu fasa atau perubahan masa antara masa remaja dan masa dewasa di mana berlaku pemisahan pendidikan dan pengurusan. Semasa fasa transisi terdapat perubahan tanggungjawab daripada zaman kanak-kanak kepada alam dewasa, daripada sekolah ke pendidikan lebih tinggi, dan daripada kongkongan zaman kanak-kanak kepada orang dewasa yang bertanggungjawab’.
Pelajar-pelajar berkeperluan khas, seperti juga insan normal, dilahirkan mempunyai naluri dan keinginan untuk bersaing bagi mencapai kejayaan dalam hidup mereka. Mereka perlu dibimbing dan dibantu untuk membolehkan mereka meningkatkan potensi diri dan mencungkil bakat yang terpendam dalam diri masing-masing. Oleh yang demikian, Unit Pendidikan Khas Negeri Johor telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengketengahkan seberapa ramai pelajar berkeperluan khas yang berpotensi untuk melalui pelbagai aktiviti
berkaitan kemahiran.
Program pendidikan khas di negeri Johor telah menjalankan Program Transisi Kerjaya yang menjurus kepada bidang perhotelan, mencuci kenderaan, pertanian, pembungkusan makanan ringan dan beberapa aktiviti lain. Program ini juga telah menjadikan negeri Johor sebagai program penanda arasan bagi tempat rujukan kepada program pendidikan khas di seluruh negara. Namun demikian, guru-guru pendidikan khas tiada kepakaran untuk memberikan kemahiran secara formal bagi menyediakan murid untuk menerima Sijil Kemahiran Malaysia yang amat diperlukan bagi membantu murid yang sedang belajar dan yang telah menghabiskan sesi persekolahan mereka dalam mendapatkan pekerjaan.
2. Matlamat
Melalui program transisi dan koloborasi yang dijalankan, pelajar-pelajar pendidikan khas akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan Tahap 2 untuk meningkatkan potensi diri mereka. Di samping itu, pelajar-pelajar berkeperluan khas boleh mendapat ilmu dan pengetahuan yang berguna untuk kehidupan mereka selain dapat meningkatkan peluang mendapat pekerjaan.

3. Objektif
Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak 1 % peluang pekerjaan diberikan kepada golongan kurang upaya yang berkelayakan. Peluang-peluang ini perlu direbut sebaik mungkin bagi merealisasikan harapan kerajaan. Ianya menjadi tanggungjawab bersama bagi membimbing golongan kurang upaya berjalan seiring dengan orang lain dan dapat membuktikan bahawa insan-insan ini tidak dipinggirkan. Pengecualian cukai kepada mana-mana agensi swasta yang mengambil pekerja-pekerja orang kurang upaya ini amat dialu-alukan dan diharapkan agar lebih banyak lagi agensi-agensi swasta lain yang dapat membuka peluang-peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya. Antara objektif program ini,
i. Melahirkan insan yang berdisiplin dan berwibawa.
Ii Memupuk semangat bekerjasama, persaudaraan dan muhibah.
iii. Memperkembangkan bakat dan potensi pelajar berkeperluan khas dalam bidang kemahiran
iv. Menyemai nilai keyakinan dan semangat kendiri yang tinggi dalam diri pelajar berkeperluan khas
vi. Mewujudkan suasana interaksi dan komunikasi dalam komuniti yang lebih berkesan
vii. Membina individu yang patuh dengan disiplin dan arahan ke arah mendapatkan pekerjaan.

4. Kesediaan Orang Kurang Upaya
Golongan kurang upaya ini memerlukan latihan-latihan bagi menyediakan peluang pekerjaan pada masa depan. Mereka ini memerlukan ruang di mana mereka boleh belajar untuk menempatkan diri mereka setanding dengan orang lain. Dalam hal ini, sektor kerajaan mahupun swasta perlu bersikap optimis dan proaktif bagi menyediakan tempat untuk mereka melakukan latihan dalam bidang pekerjaan. Mereka memerlukan tunjuk ajar bagi menyesuaikan diri dengan kemahiran-kemahiran tertentu bagi menempatkan diri mereka dalam bidang pekerjaan yang diceburi dan diminati. Golongan profesional mahupun bukan profesional seharusnya memberi bimbingan dan latihan yang bersesuaian dengan tahap mereka. Dengan menempatkan mereka dalam suasana pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap pemikiran dan kemahiran sedia ada, diharap akan dapat membentuk kemahiran-kemahiran asas berdasarkan tunjuk ajar yang diberikan dari semasa ke semasa.
Golongan kurang upaya ini hendaklah diberi pengetahuan mengenai bidang pekerjaan yang diceburi. Ini adalah untuk menyediakan keyakinan diri dan bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran di dalam alam pekerjaan. Pemantauan dari segi ketepatan masa bekerja, pengendalian kewangan, perubahan tingkah laku sosial dan perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja amat penting. Semua perkara yang dinyatakan tadi perlu dipandang serius bagi membina sahsiah diri dan memupuk sikap tanggungjawab dalam diri mereka. Di samping itu, pemerhatian, laporan daripada pihak pengurusan, analisis tugas dan perbincangan dengan pelajar seharusnya dijadikan kaedah penilaian dalam menilai tahap penguasaan kemahiran-kemahiran yang dipelajari. Data-data yang dikumpulkan ini amat penting dalam mengenal pasti masalah-masalah yang di luar jangka. Dengan itu, perubahan-perubahan strategi dapat dibentuk dan diaplikasikan bagi mengatasi masalah-masalah yang timbul.
Membina keyakinan diri dalam diri orang kurang upaya ini merupakan suatu cabaran yang hebat. Ini adalah kerana penerimaan mereka dalam sesuatu perubahan adalah berbeza mengikut tahap pemikiran seseorang. Oleh itu, pembentukan imej peribadi seperti meneliti penguasaan kemahiran-kemahiran baru, cara mereka mengadaptasi kemahiran baru, sokongan daripada pihak keluarga, cara sosialisasi dan ketahanan mental dalam menghadapi kerenah rakan sekerja seperti faktor cemuhan, gurau senda mahupun penindasan perlu dititikberatkan. Dengan cara ini, maklumat-maklumat dapat di kumpul, dianalisis dan dibincangkan bersama pelajar. Oleh itu, mereka akan dapat meluahkan perasaan dan dapat memperbaiki diri bagi membentuk imej peribadi serta dapat menyesuaikan diri dengan situasi tempat mereka bekerja.
Sebagai kesimpulannya, program transisi ini membolehkan pelajar-pelajar ini membuat pilihan bidang kerjaya masa depan, dapat memahami kehendak-kehendak majikan mengenai kemahiran-kemahiran yang mereka perlu kuasai untuk mendapat pekerjaan dan membolehkan mereka menyesuaikan kemahiran-kemahiran sedia ada serta membuat pilihan bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan minat mereka. Program ini juga dapat memberikan kefahaman kepada mereka tentang perbezaan di antara alam persekolahan dan alam pekerjaan. Dengan menguasai kemahiran-kemahiran yang diperlukan, minat dan iltizam yang tinggi akan dapat mempengaruhi sesebuah agensi untuk mengambil mereka bekerja.

No comments:

Post a Comment