Sunday, May 30, 2010

Cakap-cakap

Cakap...sesiapa pun boleh bercakap.Samada ada individu itu kecil atau besar. Cakap dengan sebutan bersuara atau cakap tanpa sebutan atau bahasa isyarat. Cakap memang boleh. Tapi ingat... tidak semua yang kita cakap itu benar dan tidak semua yang kita cakap itu tidak betul. Cakaplah apa yang hendak diluahkan. Dengan cakap kitalah yang akan menceriakan suasana atau mengeruhkan keadaan. Bertanggungjawablah dengan apa yang kita cakapkan. Tidak semua yang dicakapkan mampu dilaksanakan. Dengan cakaplah juga akan mengubah identiti individu sama ada akan dihormati atau akan disisihkan secara langsung atau tidak langsung. Dalam senario semasa, ramai individu yang mula pandai bercakap. Namun kandungan percakapannya perlu dinilai secara total. Kesan dari percakapan akan memberi impak yang besar dalam hidup individu atau kelompok masyarakat. Kesan kepada idiologi pemikiran juga akan berlaku. Jika cakap kita berfakta dengan alasan yang kukuh berdasarkan analisis dan kajian ianya akan mengubah corak pemikiran sejagat. Jika sebaliknya, cakap kita hanya berlandaskan situasai, rasa hati dan kehendak kelompok komuniti tanpa meneliti dalam bentuk ilmiah tanpa berlandaskan perundangan serta keagamaan maka kesan buruk akan melanda pemikiran sejagat. Dalam hal sedemikian siapakah yang perlu bercakap?. Persoalan ini akan dijawab oleh pakar. Kepakaran seseorang akan memecahkan persoalan percakapan. Semua orang boleh bercakap tentang penyakit, tetapi hanya yang ada kepakaran sahaja yang mampu merawat penyakit tersebut. Maka dalam percakapan ini juga hanya pakar dalam sesuatu bidang akan bercakap tentang sesuatu isu. Kajian ilmiah yang dirujuk dalam menyelesaikan sesuatu isu akan memberikan penarapan yang sejajar dengan persoalan yang dibongkar. Pengiktirafan kepada kepakaran seseorang akan memberikan nilai tambah yang sempurna dalam menyelesaikan soal sesuatu isu. Maka interpetasi yang terkawal dapat disebarkan dengan baik dan sempurna. Mengekplotasikan lidah secara sempurna akan membina jiwa dan minda dalam isu global. Namun jika pengekplotasian lidah secara semberono akan meretakkan minda dan membunuh jiwa. Maka akan berlakunya kekeliruan yang mendangkalkan pemikiran dalam menilai kesahihan isu. Maka berhati-hatilah dalam melahirkan percakapan. Dengan bercakap kita akan membina diri serta sahsiah, membetulkan situasi silap, meleraikan prasangka, membangunkan komuniti organisasi dan membentuk generasi yang berani bersuara dalam menegakkan kebenaran serta menyangkal kebathilan. Namun ingatlah, nilailah dengan berfikir secara rasional apa yang dicakapkan dan cakaplah dengan keadaan rasional agar tiada hati yang tersinggung. Mulalah bercakap di akhir pemikiran.

(Aziz Poniran, Jun 2010)

No comments:

Post a Comment