Mengalami kehidupan hidup sukar dan memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi. Pencorakan hidup yang berwarna-warni, suka, duka, hampa, kecewa, gembira dan bahagia. Mengalami pengalaman yang sungguh istimewa. Takdir Allah sangat istimewa. Pengalaman sungguh mematangkan fikiran dan tindakan. Tiada kesenangan tanpa mengharungi kesusahan. Kesusahan mengajar mencorak kehidupan untuk menilai hidup sebenar dalam kesenangan dan kebahagiaan. Nilai kesusahan tidak dapat ditukar ganti dengan wang. Wang boleh direalitikan dengan usaha. Usaha yang berterusan akan membuahkan hasil yang ditafsirkan dengan perkataan kejayaan.
Orang yang hebat adalah yang sentiasa menceritakan tentang idea, bukan menceritakan diri sendiri atau mencari serta menceritakan kesalahan orang lain. Namun kejayaan yang hakiki adalah kejayaan kita mengharungi hidup di dunia dengan keberkatan dan dibawa menuju kehidupan di akhirat dalam keredhaan Allah S.W.T. Namun dengan ilmu kita dapat mencorakkan siapa diri kita di sisi Allah.
Dalam melaksanakan tugas jadilah orang yang menuju kecemerlangan bukan ketembelangan. Sudahlah tidak menyumbang, sumbang pula kita. Jadilah kejatian diri seperti jati diri seekor kambing yang hanya makan rumput walau dihidangkan pelbagai makanan manusia yang enak. Rumput juga yang dicari. Tubuhya sentiasa dimanfaatkan. Bukan hanya tubuhnya saja yang menjadi santapan manusia bahkan senyumannya juga menjadi bidalan manusia.
Soalnya kini diri kita. apakah kita mampu manfaatkan sesuatu untuk dimanfaatkan oleh orang lain? Apakah corak yang ada dalam diri kita? Corak yang bagaimana bersesuaian dengan kita? Kita duduk dalam cetak roti yang sama tetapi doh yang berlainan, dimasukkan dalam ketuhar yang sama, dibakar dengan suhu yang sama, ataukah kita duduk dalam cetak roti yang berlainan dengan doh yang sama, dimasukkan dalam ketuhar yang sama. Apakah yang akan terjadi dengan hasilnya?
Doh yang diuli dengan resipi yang lengkap dan dibakar dengan suhu ketuhar yang sesuai dalam masa yang ditetapkan akan memperlihatkan hasil yang sangat memuaskan jika dibandingkan dengan doh yang diuli tanpa resipi yang lengkap dan dibakar dengan suhu ketuhar yang sama dalam masa yang sama akan menghasilkan roti yang sama tetapi rupa dan rasa yang berbeza.
Fikir-fikirkanlah corak doh diri kita.
(Aziz Poniran, Febuari 2011)
(Aziz Poniran, Febuari 2011)
No comments:
Post a Comment