Friday, March 12, 2010

Penguasaan Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Pekak: Suatu Sorotan dari Perspektif Linguistik

Penguasaan Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Pekak: Suatu Sorotan dari Perspektif Linguistik

Murid-murid pekak yang bersekolah terpaksa juga menguasai Bahasa Melayu jika ingin maju dalam akademik walaupun mereka terpaksa berdepan dengan berbagai-bagai rintangan untuk menguasainya.
Dalam situasi ini guru-guru perlu:
1. Mengenal pasti bagaimana murid-murid pekak memperoleh dan mempelajari Bahasa Melayu.
2. Mengenalpasti kesukaran mereka dalam menguasai Bahasa Melayu (mendengar dan bertutur, membaca dan menulis).
3. Mengenalpasti hubungan antara memperoleh dan mempelajari Bahasa Melayu dengan kesukaran yang dialami.
4. Merancang strategi untuk membantu murid-murid pekak menguasai Bahasa Melayu.
Konsep
Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar persekolahan yang memperlihatkan kepentingannya dalam sistem pendidikan negara (Hassan Ahmad, 1999). Kepentingannya dapat dilihat dalam peperiksaan peringkat Sijil Pelajaran yang mana kanak-kanak memperolehi bahasa yang digunakan oleh masyarakat persekitaran secara menyerap, tanpa dipelajari atau dipaksa.
Proses pemerolehan bahasa ini sangat aktif berlaku sebelum kanak-kanak berumur 12 tahun (Kreshan & Terrell,1983). Kanak-kanak mampu menguasai lebih daripada satu bahasa pada usia muda jika didedahkan kepada mereka. Pemerolehan bahasa ini berlaku secara dinuranikan, peniruan atau interaksi dengan individu lain. Pembelajaran Bahasa begitu sukar kerana seseorang terpaksa mempelajari unsur-unsur sesuatu bahasa yang dipelajari secara mengingat dan menghafal tatabahasa dan kosa kata.
Murid-murid pekak ialah seseorang yang mengalami kurang pendengaran (lebih 40 dB) sehingga bermasalah untuk memahami pertuturan biasa. Selalunya, masalah pendengaran akan membawa kepada masalah pertuturan (tidak dapat bertutur dengan jelas atau bisu), yang membawa masalah kepada seseorang untuk menguasai kemahiran-kemahiran berbahasa yang lain (lisan, kefahaman, membaca dan menulis).

Pemerolehan Bahasa Kanak-kanak Pekak Dalam Keluarga Tidak Pekak
Terdapat 90 peratus kanak-kanak pekak mempunyai ibu bapa berpendengaran biasa (Paul, 1998). Kebanyakan ibubapa tersebut (di Malaysia) tidak berpendidikan tinggi dan tinggal di luar bandar.Kanak-kanak ini membesar dalam keadaan kesukaran dalam berkomunikasi. Bahasa juga dikaitkan dengan ilmu pengetahuan, oleh itu kanak-kanak ini dibesarkan tanpa ilmu pengetahuan yang sepatutnya mereka perolehi sepertimana kanak-kanak berpendengaran biasa yang sebaya dengannya.
Mereka tidak dapat menamakan benda-benda maujud di persekitaran dalam apa jua bentuk bahasa samaha lisan, isyarat atau tulisan. Berdasarkan kajian Marschark (1997) dan Paul (1998) kebanyakan kanak-kanak pekak dalam keluarga tidak pekak di Malaysia membesar dalam keadaan berikut:
(i) Lemah dalam memperolehi bahasa yang dituturkan dalam keluarga
(ii) Lemah dalam menyatakan fikiran dengan jelas dalam bahasa yang digunakan oleh keluarga
(iii) Lemah memahami komunikasi lisan orang lain
(iv) Lemah penguasaan ilmu kerana tidak memahami bahasa persekolahan dan yang digunakan oleh masyarakat persekitaran
(v) Tidak dapat bertutur dengan jelas walaupun dibesarkan dalam keluarga berpendengaran.

Namun, keadaan ini sedikit sebanyak dapat diatasi jika kanak-kanak tesebut mendapat cukup pendedahan dan latihan Bahasa Melayu seawal mungkin seperti yang diamalkan oleh satu keluarga berpendengaran biasa ke atas anaknya yang pekak teruk semenjak lahir (Abdullah 2002a).
Ini adalah berdasarkan kajian berkaitan dengan ’Bahasa, Kebahasaan dan Pendidikan Kanak-kanak Pekak’ berada di tahap permulaan seperti pernah disentuh oleh Asmah (1986) semenjak tahun 1986 lagi. Beberapa universiti awam tempatan seperti UKM, UM, USM dan UPSI telah menawarkan kursus dalam pendidikan khas pada peringkat ijazah pertama dan pasca siswazah.

Pemerolehan Bahasa Isyarat Kanak-kanak Pekak Dalam Keluarga Pekak
Dalam proses pemerolehan bahasa kanak-kanak, tanpa mengira sama ada kanak-kanak itu pekak atau tidak, kanak-kanak tersebut terlebih dahulu menggunakan ‘bahasa isyarat badan’ (BIB) sebelum bertutur. (Paul & Quigley (1994) dan Volterra & Erting, 1994).
Kemahiran semantik (makna) terhadap bahasa yang digunakan oleh orang-orang di sekelilingnya digunakan terlebih dahulu. Bahasa itulah yang akan digunakan oleh anak-anak sebagai alat komunikasi. Lazimnya dalam lingkungan 2 tahun, kanak-kanak yang berpendengaran biasa akan menggantikan BIB dengan bahasa lisan dalam berkomunikasi. Kanak-kanak pekak pula akan meneruskan menggunakan bahasa isyarat badan berdasarkan situasi dan keperluan seperti menangis apabila lapar.
Perkembangan bahasa isyarat ini bertambah aktif apabila kanak-kanak tersebut mulai bersekolah di sekolah khas atau sekolah integrasi. Pemerolehan bahasa isyarat ini bergantung kepada apakah bentuk bahasa isyarat yang digunakan dalam keluaraga kanak-kanak berkenaan. Perbezaan bentuk bahasa isyarat yang diperolehi kanak-kanak pekak dalam keluarga pekak di negara berbeza membuktikan bahawa bahasa isyarat berkenaan adalah berbeza antara satu-satu negara (Kyle & Woll, 1985).
Faktor yang dapat menyumbang kepada pencapaian akademik kanak-kanak pekak ialah komunikasi saling memahami, status pendengaran ahli keluarga dan belajar bersama ahli keluarga.

Bentuk Bahasa Yang Digunakan Kanak-kanak Pekak
Lisan bagi pertuturan BM.
Isyarat bagi ‘Bahasa Isyarat Malaysia’ (BIM) dan ‘Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM).
Tulisan bagi BM dan BIM
Manakala dalam konteks pendidikan, terdapat tiga pendekatan digunakan dalam pengajaran bahasa kepada mereka iaitu pertuturan, Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) dan BIM (Abdullah, 1995, 2002b).

Pendekatan Pertuturan
Murid-murid yang mempunyai sisa-sisa pendengaran lazimnya dilatihan melalui pendekatan bertutur diberikan. Rasional penggunaan pendekatan pertuturan berasaskan kepada anggapan bahawa murid-murid pekak yang ada sisa pendengaran seharusnya digembeleng kebolehan pendengaran mereka semaksimum mungkin untuk menguasai bahasa pertuturan. Murid-murid pekak merupakan kumpulan minoriti dalam masyarakat yang berkomunikasi melalui pertuturan, oleh itu penguasaan bahasa lisan amatlah perlu untuk membolehkan mereka ‘selesa’ dalam masyarakat (Paul, 1998).
Tugas mengajar bertutur terletak di atas bahu professional lain (contoh, audiologist dan jurupulih pertuturan), bertutur hanya sampingan yang diajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Yang hendak diajar di sekolah adalah kandungan kurikulum yang dipecahkan kepada beberapa matapelajaran. Pendekatan pertuturan dikatakan kurang berkesan dari aspek mempertingkatkan murid-murid pekak menguasai kurikulum persekolahan. (Lihat Chua Tee Tee, 1970, 1976, 1977, 1991).
Ketidakbolehan bertutur oleh murid-murid pekak tidak ada kaitan dengan kecacatan mana-mana alat artikulasi dan artikulator pertuturan sebagaimana anggapan sesetengah anggota masyarakat. Alat-alat anatomi dan fisiologi pertuturan mereka adalah normal (Watson, 1996). Dalam pengajaran, alat bantuan pendengaran sangat penting bagi murid-murid ini kerana ia berfungsi menguatkan bunyi dan membolehkan murid-murid mendengar bunyi bahasa dengan lebih jelas..
Murid-murid ini tidak mampu bertutur adalah berkaitan masalah anatomi pendengaran, iaitu mereka tidak menerima input bunyi-bunyi bahasa untuk diajuk. Mereka dilebel sebagai ’bisu’ dalam budaya Melayu. Murid-murid pekak juga mengalami kesukaran untuk memahami pertuturan (Watson et al, 1999). Ini berpunca daripada pendengaran mereka terhadap perkataan atau ayat-ayat yang diujarkan tidak jelas.
Latihan pendengaran bunyi bahasa dan pertuturan membantu memahami pertuturan jika berkomunikasi dengan orang berpendengaran biasa. Hal ini mereka lakukan dengan mengagak bunyi bahasa, memerhati dan mengecam gerak bibir orang yang dilawan bertutur. Jika latihan-latihan pertuturan dilakukan seawal mungkin, iaitu semasa peringkat bayi lagi secara sistematik dan oleh professional dalam bidang pemulihan pertuturan, peluang untuk kanak-kanak pekak bertutur adalah lebih positif (Watson et al, 1999).

Pendekatan Bahasa Isyarat Orang Pekak (BIOP)
Manakala pendekatan ‘bahasa isyarat orang pekak’ adalah pendekatan yang menggunakan isyarat sebenar orang pekak dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kepada murid-murid pekak (Paul & Quigley,1994). Terdapat guru yang menggunakannya semasa berkomunikasi dengan murid-murid mereka. Bahasa isyarat orang pekak di Malaysia dikenali sebagai ‘Bahasa isyarat Malaysia (BIM) (Persatuan Orang Pekak Malaysia, 2000)
Pendekatan ini menyampaikan bahasa melalui isyarat sebenar orang pekak yang membabitkan pergerakan badan seperti tangan, mimik muka dan kepala (Kyle & Woll, 1985). Rasional penggunaan pendekatan ini adalah sebagai mengiktiraf bahawa BIOP adalah satu bahasa yang pemiliknya adalah komuniti orang pekak (Kyle & Woll, 1985). Oleh itu, penggunaanya sebagai media pendidikan merupakan alat penyampaian ilmu yang memudahkan mereka memahami apa-apa yang disampaikan. Umpamanya amalan ini ada dilaksanakan di United Kingdom, Sweden dan Amerika (Paul, 1998).
Kajian-kajian oleh sarjana tersebut ialah bahasa isyarat orang pekak adalah berbeza di antara sesebuah negara. Bandingkan perbezaan isyarat bagi ’tengahari’ di antara Bahasa Isyarat Malaysia (Persekutuan Orang Pekak Malaysia, 2000: 106), Bahasa Isyarat Pakistan (ABSA Research Group, 1995: 4) dan Bahasa Isyarat British (British Deaf Association, 1992: 408) seperti di bawah.
Berdasarkan pengalaman penulis, kebanyakan murid-murid pekak menggunakan BIM apabila berkomunikasi sesama mereka dan begitu juga dengan guru-guru mereka. Situasai ini juga dilaporkan oleh Goh dan Teh (1993) dalam kajian mereka. Antara alasan murid-murid pekak tentang hal ini ialah mereka mudah memahami bahasa mereka, manakala guru kepada murid pekak pula menyatakan BIM lebih pantas dari segi penggunaannya dan juga mudah difahami oleh murid-murid pekak. Bagi BIM, setiap perkataan ada isyaratnya tersendiri dan begitu juga ayat, ada aturannya. Antara contohnya seperti berikut:

BM
BIM
1. Dia tidak datang ke sekolah
1. Dia sekolah kosong
2. Saya hendak ke tandas
2. Saya tandas
3. Bapa dan ibu datang berjumpa, bercakap-cakap dengan saya dan membawa saya balik bercuti di rumah
3. Datang bapa dan ibu jumpa cakap balik cuti rumah

Yang berbeza ialah BIM mempunyai tatabahasanya sendiri manakala KTBM adalah kod ciptaan yang mewakili bahasa Melayu dan patuh kepada tatabahasa bahasa Melayu. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah berbeza dan mempunyai tatabahasa yang berbeza walaupun disampaikan melalui lisan. Begitu juga KTBM dan BIM, kedua-duanya disampaikan melalui medium isyarat. Yang pertama adalah kod yang mewakili bahasa Melayu dan yang kedua adalah berstatus ‘satu bahasa’ dan ada tatabahasa tersendiri.

Pendekatan Komunikasi Seluruh Kod Tangan Bahasa Malaysia
Di Malaysia, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan pendekatan ‘Komunikasi Seluruh Kod Tangan Bahasa Melayu’. ‘Komunikasi seluruh’ merujuk kepada situasi yang mana guru menggunakan apa-apa sahaja untuk membolehkan murid-murid memahami bahasa. Mimik muka, lakonan, pertuturan dan sebagainya digunakan (Abdullah, 2002b). Manakala ‘Kod Tangan Bahasa Melayu’ merujuk kepada penggunaan kod yang disampaikan melalui isyarat bagi mewakili setiap kosa kata BM (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1985
Pengajaran melalui pendekatan ini ialah penggunaan serentak pertuturan dan isyarat. Guru-guru perlu menguasai setiap kod bagi mewakili kosa kata Bahasa Melayu mengikut topik dan subjek yang diajar. Melalui pendekatan ini murid-murid dapat memahami pengajaran berdasarkan keupayaan mereka. Pekak sedikit melalui lisan, pekak sederhana melalui campuran lisan dan isyarat, dan pekak teruk dan sangat teruk melalui isyarat. Istimewanya pendekatan ini murid-murid berpeluang mendengar pertuturan serta isyarat yang disampaikan oleh guru dengan serentak.
Terdapat beberapa halangan dalam menggunakan pendekatan ini. Pertama berkaitan dengan penyelarasan kod dan kedua, berkaitan dengan ketidakcukupan kod bagi merujuk kata dalam bahasa Melayu (Abdullah, 2002b).
Impaknya adalah sangat besar apabila murid-murid ini bertukar sekolah atau melanjutkan pelajaran ke sekolah di kawasan lain kerana mereka akan berdepan dengan masalah tidak memahami isyarat yang digunakan di sekolah baru (Goh & Teh, 1993). Hal ini berlaku kerana guru-murid tidak berpegang kepada buku panduan KTBM yang dibekalkan kepada sekolah yang di dalamnya dimuatkan bukan sahaja kod-kod tetapi prinsip-prinsip penggunaannya (Abdullah, 1993b).
Jumlah entri kata dalam bahasa Melayu yang sekitar 32 ribu kata dasar (Kamus Dewan, 1983) kod yang dibukukan adalah sekitar 15% daripadanya. Kini terdapat sekurang-kurangnya lima buah buku kod telah diterbitkan dan usaha-usaha telah dilakukan untuk menerbitkan buku yang mengandungi semua kod bagi merujuk setiap kata yang terkandung dalam kurikulum persekolahan.
Daripada pengalaman penulis dan pandangan kebanyakan guru-guru murid pekak, kelemahan mereka dalam akademik adalah berpunca daripada ketidakcekapan murid-murid pekak menguasai bahasa Melayu (Goh & Teh, 1993).

Penguasaan Bahasa Melayu di Kalangan Murid-murid Pekak
Pencapaian murid-murid pekak dalam akedamik terutamanya dalam peperiksaan awam seperti yang di laporkan memperlihatkan bilangan mereka yang lulus adalah sedikit. ’Penghalang’ utama yang menyekat kejayaan murid-murid pekak dalam peperiksaan awam ialah syarat mesti lulus dalam kertas Bahasa Melayu. Terdapat juga murid-murid pekak lulus dengan baik dalam mata pelajaran lain tetapi kegagalan dalam Bahasa Melayu tidak membolehkan mereka ’diiktiraf’ sebagai berjaya atau mendapat sijil dalam peperiksaan SPM (Mohd Hashim Omar, 1985; Teng, 1986; Abdullah, 1993b).
Berdasarkan maklumat diperolehi daripada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (Perbincangan penulis dengan Presidentnya, 2004) mendapati mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan adalah mereka yang cemerlang dalam Bahasa Melayu dan mampu menulis dengan baik dalam bahasa berkenaan.

Perspektif Kanak-kanak Pekak
Bagi kanak-kanak pekak, mempelajari Bahasa Melayu merupakan satu tugasan yang amat sukar kerana Bahasa Melayu adalah bahasa kedua bagi mereka (Goh & Teh, 1993). Kesukaran ini ada kaitan dengan konsep ‘pemerolehan bahasa’ dan ‘pembelajaran bahasa’, ciri-ciri Bahasa Melayu yang kompleks, kecelaruan tentang penggunaan KTBM, pendekatan pengajaran bahasa dan BIM. Kebanyakan murid-murid pekak apabila tamat persekolahan, tidak mampu menguasai pertuturan dan kefahaman, lemah dalam bacaan dan kefahaman terhadap teks yang dibaca, lemah dalam penguasaan KTBM dan ‘tidak menguasai ilmu yang disampaikan (pemerhatian penulis selama mengajar/terlibat dengan murid-murid pekak lebih 20 tahun).
Kelemahan dalam Bahasa Melayu bukan dialami oleh murid-murid pekak sahaja. Murid-murid biasa juga ada yang lemah dan tidak dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Laporan Seminar Pendidikan Khas Kedua 2002 mendapati terdapat 3 hingga 10 peratus murid-murid berpendengaran biasa yang tidak dapat membaca dan menulis. Oleh itu, pekak bukan faktor utama menghalang kemampuan murid-murid pekak menguasai BM kerana yang berpendengaran biasa juga lemah dalam Bahasa Melayu. Cuma yang berbeza, bilangannya (peratus) lebih tinggi daripada murid-murid berpendengaran.

Cadangan Mengatasi Kelemahan
a. Pendedahan awal kepada kemahiran lisan, kefahaman, tulisan di sekolah dan di rumah yang mana setiap individu patut memainkan peranan dengan berkesan. Peranan ’rumah’ penting sebelum kanak-kanak pekak bersekolah dan pernan ’sekolah’ semasa bersekolah.
b. Mendapat perkhidmatan perubatan dan kesihatan supaya pendengaran dapat dipulihkan sebaik sahaja anak didapati bermasalah dengan pendengaran.
c. Mendapat latihan berbahasa secara sistematik daripada pakar audiologist bagi menguji darjah kecacatan pendengaran dan jurupulih pertuturan bagi mendapat latihan pertuturan yang betul berkesan.
d. Sikap ibu bapa dan murid pekak terhadap kepentingan Bahasa Melayu hendaklah positif maka latihan bacaan dan kefahaman, dan kemahiran menulis hendaklah diberikan bagi tujuan pendidikan.
e. Pendekatan, keadah dan teknik pengajaran Bahasa Melayu yang sesuai hendaklah dikenalpasti supaya pengajaran Bahasa Melayu kepada murid-murid pekak dapat dilakukan secara berkesann kerana pendekatan yang diamalkan kurang berkesan (Goh & Teh, 1993).
f. Pendekatan ‘kaedah mengalami dan menghayati Bahasa Melayu’, ‘Kaedah Bottum-Up’,’metalinguistik’, ‘kaedah proses’ dan ‘Kaedah analisis kesilapan dan kontrastif’.
g. Guru perlu bersikap positif terhadap kebolehan murid-murid pekak dan memberi peluang yang seluas-luasnya untuk belajar walaupun bilangan mereka yang berjaya masih sedikit

Kesimpulan
Ciri-ciri Bahasa Melayu yang kompleks, yang sukar disampaikan melalui BMKT/isyarat boleh dianggap sebagai penyumbang utama kepada kesukaran murid-murid pekak menguasai Bahasa Melayu.Kebolehan murid-murid pekak menguasai Bahasa Melayu adalah satu kelebihan dalam pendidikan. Penguasaan Bahasa Melayu yang baik membantu mereka memahami teks yang dibaca dan menulis dalam bentuk yang difahami pembaca. Kerja sama ibubapa dan ahli keluarga sangat penting supaya proses memperolehi BM berjalan secara semulajadi.
Tanggapan yang menyatakan bahawa murid-murid pekak tidak dapat menguasai Bahasa Melayu meleset. Laporan-laporan pencapaian mereka memperlihatkan bilangan mereka yang berjaya dalam Bahasa Melayu bertambah. Oleh itu,
Kumpulan pakar yang terlibat dalam perubatan dan kesihatan juga bertanggungjawab dalam mendiagnosis, nasihat dalam penyediaan alat bantuan pendengaran dan latihan-latihan awal berkaitan dengan bahasa. Peranan guru pula adalah mewujudkan pengajaran dan pembelajaran dengan pegadogi berkesan supaya murid-murid pekak mampu menguasai Bahasa Melayu.
Di samping itu, murid-murid pekak perlu disedarkan bahawa pencapaian baik dalam peperiksaan lazimnya mempunyai peluang yang lebih untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa. Maka dengan bantuan ahli-ahli professional, guru, ibu bapa dan ahli keluarga, murid-murid pekak mesti berusaha ke arah mempertingkatkan pencapaian akademik demi masa hadapan mereka. Pihak yang berkait rapat dalam pendidikan murid-murid pekak perlu dilakukan bagi memahami dan menanganinya.
Bibliografi
Abdullah Yusoff. (1993a) Kesalahan Struktur Ayat Di Kalangan Pelajar Pekak Jurnal Dewan Bahasa, 37:3, 220-228.

Abdullah Yusoff (1993b) Struktur Ayat BM: Satu Kajian Kes Terhadap Pelajar Pekak. Jurnal Dewan Bahasa. 37:3, 516-524

Abdullah Yusoff (1995) Mengajarkan Bahasa Kepada Pelajar-pelajar Pekak. Jurnal Dewan Bahasa. 39:6, 543-553.

Abdullah Yusoff (1995b) Sukarnya Menulis Sebuah Karangan. Pelita Bhasa. Jun, halaman 20-21.

Abdullah Yusoff. (1996) Pemaparan Idea Dalam Karangan: Kajian Kes Terhadap Karangan Pelajar Pekak . Jurnal Dewan Bahasa, 40: 4, 321-336.

Abdullah Yusoff. (1997) Pembentukan Bahasa Isyarat Di Kalangan Pelajar Pekak. Kuala Lumpur: Fakulti Bahasa Moden: Universiti Malaya. (Dissertasi M.A)

Abdullah Yusoff (2002a) Perbualan Abdullah dengan Teh Kean Hoe dan Amir & Ibu Amir berkaitan dengan “Penguasaan BM” dalam “Sambutan Hari Orang Pekak Pulau Pinang”. Secara bebas.

Abdullah Yusoff (2002b) Bahasa Melayu Dalam Kalangan Pelajar Pekak. Dewan Bahas. Jun halaman 36-41.

Abdullah Yusoff (2004) Kepentingan Ejaan Jari Dalam Komunikasi Orang Pekak. Dewan Bahasa. Januari.

Abdullah Yusoff (2004a) Perbualan Abdullah dengan Prsiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia Mohamad Sazali Shaari berkaitan dengan “Penguasaan BM” dalam “Persidangan Keluarga Pekak Bahagia di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur 13 Ogos 2004”. Secara bebas.

Abdullah Yusoff (dlm persiapan) Deaf Children And Their Writing. Birmingham: University of Birmingham (PhD Thesis Submitted To The University OF Birmingham, England).

Abdullah Yusoff & Che Rabiaah Mohamed (2002) Proses Pendengaran dan Implikasi Kecacatannya Terhadap Berbahasa. Dewan Bahasa, Ogos halaman 54-59.

ABS Research Group (1995) A Dictanary of Pakistan Sign Language. Karachi: Anjuman Behbood.

Adams, J. (1997) (2nd edt.) You and Your Child. Washington: Clerc Books Gallaudet University Press.

Berita Minggu 10 Oktober 2004.

British Deaf Association (1992) Dictionary of British Sign Language/English. London: Faber & Faber.

Chua, T. (1970) Special Education in Malaysia, Jurnal Kementerian Pelajaran Malaysia. 15:37, 95-98.

Chua, T. (1976) Communication for Hearing-handicapped People in Malaysia, in Oyer, Herbert (edt). Communication for the Hearing Handicapped: An International Perspective, 471-493.

Chua, T. (1977) Strength & Weakness in the Education Programme for the Deaf in Malaysia, in Proceeding of the First National Symposium on Deafness 1977. Kuala Lumpur.

Chua, T. (1991) Methods of Teaching Deaf Children in Singapore and Malaysia. Singapore: Institute of Education, Singapore.

Conrad, R. (1979) The deaf School Child. London: Harper Row.

Deawan Bahasa dan Pustaka (1983) Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Goh, & Teh, (1990) Analisis Semantik Terhadap Karangan Oleh Pelajar Pekak. Jurnal Dewan Bahasa. 34:11, 873-879.

Goh, & Teh, (1993) Bahasa Tulisan Pelajar Pekak: Analisis Struktur Sintaksis Ayat Berdasarkan Teori Tatabahasa Transformasi Genaratif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Hassan Ahmad (1999) Dasar Bahasa dan Pembangunan Negara Malaysia, Jurnal Dewan Bahasa. 43:9, 783-797.

Harris, T., & Hodges, R. (1995) The Literacy Dictionary: The Vocabluary Of Reading & Writing. Delaware: International Reading Association.

Izani, D. (1995) Perbandingan Penulisan Karangan Antara Pelajar Pekak Dengan Pelajar Normal: Satu Kajian Kes . Jurnal Dewan Bahasa. 39: 11, 980-989

Kementerian Pendidikan Malaysia (1985) Komunikasi Seluruh Bahasa Malaysia Kod Tangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Magantar Simanjuntak (1987) Pengantar Psikolinguistik Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mcintire, M. (Ed) (1994) The Acquisition Of American Sign Language By Deaf Children. Burtonsville: Linstok Press.

Nik Safiah, K. (1978) Bahasa Malaysia Syntax: Some Aspects Of Its Standardization. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kreshan & Terrell (1983). The Natural Approach Language Acquisition In The Classrom. Oxford: Pergamon Press.

Kretschmer, R. & Kretschmer, L. (1978) Language Development And Intervention With The Hearing Impaired. Baltimore: University Park Press.

Kyle, J. & Woll, B. (1985). Language In Sign: An International Perspective On Sign Language. London: Croom Helm.

Marschark, H., (1997) Raising And Educating A Deaf Child. Oxford: Oxford University Press.

Maher, J. (1996) Seeing Language In Sign. Washington: Gallaudet University Press.

Mohd Hashim Omar (1985) Meeting special education need of the hearing impaired in Malaysia: Its challenges in the Eighties, Paper presented at the International Congress on Education of the Deaf, University of Manchester, England.

Nik Safiah Karim (1993) Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Paul, P. (1998) Literacy And Deafness: The Development Of Reading, Writing And Literate Thought. Boston: Allyn & Bacon.

Paul, P. & Quigley, S (1994) Language And Deafness. San Diego: Singular Publishing Group.

Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2000) Bahasa Isyarat Malaysia. Kuala Lumpur: Persekutuan Orang Pekak Malaysia.

Selena Yahya (1989) A Radical Reappraisal Needed to Guide Future Direction. Dalam “Proceeding of 2nd Asian Pecific Conference 0n Deafness Jakarta, Indonesia, July 31 August, 1989, 72-80.

Shukdev Singh (1982) The Training of Teachers of the Deaf in Malaysia. Dalam “Procceeding of International Congress on Education of the Deaf, Hamburg 1980. Vol. 1, 796-816.

Sutton-Spence, R. & Woll, B. (1999) The Linguistics of British Sign Language: An Introduction. Cambridge: Cambridge Universiti Press.

Teng, S., (1986) Beberapa Aspek Akademik dan Psiko-Sosial Murid Cacat Pendengaran di Sekolah Percantuman di Negeri Johor (A Study of Some Aspect of Academic and Psycho-Sosiol of Hearing Impaired Students in Johor). Kuala Lumpur: University Malaya. (Unpublished M.A Thesis).

Raman, N. (1993) Kesalahan Bahasa dalam Karangan Bahasa Melayu Murid Sekolah Rendah Jenis Kkebangsaan Tamil. Jurnal Dewan Bahasa. 37: 5, 457-466.

Watson, L. (1996) Spotlight on Special Education Needs: Hearing Impairment. England: NASEN Enterprise Ltd.

Watson et al (1999) Deaf and Hearing Impaired Pupils in Mainstream School. London: David Fulton Publisher.

Woo, C., (1989) Pencapaian dan Kesalahan dalam Penggunaan Imbuhan Bahasa Melaysia di Kalangan Pelajar Cina Tingkatan Satu. Kuala Lumpur: University Malaya. (Tidak diterbitkan).

Volterra & Erting (1994) From Gesture To Language In Hearing And Deaf Children. Washngton: Gullaudet University Press.

No comments:

Post a Comment