Sebut saja APC pastinya banyak interpetasi yang dibuat. Sesiapa pun tidak terlepas daripada terfikir atau difikir atau memikirkan tentang APC. Hanya yang berbeza adalah bagaimana mereka meletakkan konsep APC dalam pekerjaan. Apa yang perlu difikirkan dalam meletakkan APC di tempat sepatutnya adalah bagaimana dan sejauh mana ianya memainkan peranan dalam tugas, juga mempengaruhi pemikiran serta bentuk tanggungjawab yang dilaksanakan.
Prinsip dalam tugas yang dilaksanankan juga akan memberikan impak yang besar dalam konteks APC. Kadang kala ianya dilihat begitu abstrak dan ada kalanya ianya bersifat objektif. Apa pun ianya pasti mempengaruhi budaya kerja seseorang.
APC sinonim dengan maksud Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Bunyi sebutan ini jika dicerai-ceraikan dan diamat-amati memberikan pelbagai erti yang sungguh kronik jika penyandangnya terleka dengannya. APC boleh diertikan sebagai Aku Perlu Komited...Aku Perlu 'Kometmen'... Aku Perlu Komen...Aku Perlu Kerja...Aku Perlu Kawan...Aku Perlu Ikhlas...Aku Perlu Cemerlang...Aku Perlu Cuba...Aku Perlu Cari...Aku Perlu Camni...Aku Perlu Camtu...dan sebagainya. Apa pun ianya perlulah menggambarkan perlakuan yang positif dan tindakan yang memperbaiki diri dalam sistem pekerjaan.
Apakah APC ini benar-benar sesuai dengan diriku yang telah diletakkan seiring dengan tugas dan tanggungjawabku? Persoalan ini bagiku perlu dijawab dalam bentuk pelaksanaan dan bukan perkataan. APC bukan untuk dibanggakan tetapi untuk dipikul lalu dibuktikan dengan ikhlas dan tanggungjawab. Bagi diriku yang telah terlibat dengan APC, Hatiku terasa begitu terharu dan merasakan ianya adalah bebanan yang perlu kutanggung sepanjang aku bertugas sebagai penjawat awam dalam organisasi dan jabatanku. Bebanan ini perlu kuleraikan dengan pelbagai alternatif agar pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan akan terlaksana dengan jayanya kepada pelanggan yang sememangnya menantikan perkhidmatan yang lebih baik serta berkesan, walaupun APC bukan dalam perkiraanku.Teguran yang kuterima selama ini telah aku simpan dalam benak untuk lebih muhasabah diri, dan tidak pernah aku rasa kecil hati. Ianya adalah satu mata dan cermin untuk aku melihat bahagian diri yang tak mampu aku pandang secara terus dengan dua biji mataku. Aku percaya dalam semua situasi aku tidak mampu memuaskan hati semua rakan setugas dan realiti inilah yang perlu kutangani agar ianya sentiasa berada dalam lingkungan sebenar tugas. Pun begitu aku juga mohon maaf kepada semua rakan setugas di jabatan dan organisasiku sekiranya perkhidmatanku kurang memuaskan hati. Bagiku teguran adalah satu renjatan yang baik untuk aku tidak lena dalam melaksanakan amanah.
Walau apapun aku tetap berterima kasih kepada pihak sumber manusia jabatanku yang telah memberikan kepercayaan terhadap tugas yang diamanahkan kepadaku. Kepada rakan-rakan setugas kuucapkan ribuan terima kasih kerana memberikan sokongan yang jitu terhadapku dalam merealisasikan impian dalam organisasiku.
Mulakanlah sesuatu tindakan diakhir pemikiran dan akhirilah pemikiran dengan tindakan berhemah.
(Aziz Poniran, 2010)
No comments:
Post a Comment