Tuesday, February 17, 2009

Budaya Sekolah Dan Hubungannya Dengan Pencapaian Akademik Pelajar

1.0 Pendahuluan

Setiap ibu bapa ingin mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah-sekolah yang dianggap cemerlang dan boleh menjamin kejayaan akademik anak-anak mereka. Jestru itu nama-nama sekolah seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar ( MCKK ) , Kolej Tungku Kurshiah Seremban ( TKC ), Sekolah Datuk Abdul Razak ( SDAR ), Sekolah Alam Shah, MRSM, sekolah-sekolah sains dan sekolah -sekolah pilihan sering menjadi idaman ibu-bapa. Fenomena ini bukan sahaja berlaku ketika pelajar-pelajar berada di peringkat sekolah menengah tetapi ia juga berlaku semasa anak-anak menuntut di peringkat sekolah rendah.

Pada hari ini ibu-bapa sanggup menghantar anak-anak ke sekolah yang dianggap baik atau cemerlang walaupun jarak sekolah itu jauh dari rumah hanya kerana mereka inginkan anak-anak mereka bersekolah di sekolah yang dianggap baik, mempunyai suasana atau budaya pembelajaran yang baik, sekolah yang cemerlang pencapaian akademiknya dengan harapan anak-anak mereka berupaya memperoleh pencapaian yang cemerlang. Antara sekolah-sekolah pilihan yang menjadi sebutan pada hari ini antaranya SK Bukit Damansara, SK Tun Dr Ismail, SRK St John, SRK Convent Bukit Nenas, SRK Perempuan Bukit Bintang dan beberapa sekolah lagi yang banyak terdapat khasnya di ibu kota Kuala Lumpur. Terdapat juga sebilangan ibu bapa yang berpendapatan tinggi sanggup menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah swasta seperti Sekolah Sri Murni di Cheras dan , Sekolah Sang Suria di Hulu Langat dengan harapan anak mereka akan mendapat pencapaian akademik yang baik.

Mengapakan perkara ini berlaku ? Inilah yang menjadi persoalan dan isu pada hari ini yang perlu dipandang serius oleh semua pihak terutamanya Kementerian Pelajaran hinggalah ke peringkat sekolah iaitu guru besar, guru-guru dan juga masyarakat umumnya. Adakah perkara ini berlaku kerana ibu bapa pada hari ini meletakkan harapan yang tinggi kepada sekolah untuk memberikan pendidikan yang paling baik dan seterusnya menjanjikan kejayaan akademik yang cemerlang kepada anak-anak mereka. ?
Ibu bapa dan masyarakat pada hari ini beranggapan bahawa pencapaian akademik sangat penting kerana hanya dengan berbekalkan pencapaian yang cemerlang barulah anak-anak mereka mudah dan berpeluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kedua, dengan kepesatan pembangunan perindustrian dan perdagangan, negara ini memerlukan tenaga kerja mahir dan profesional yang ramai bagi memenuhi permintaan sektor perindustrian dan perdagangan. Oleh itu pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik khususnya mempunyai peluang yang baik untuk memperoleh pendidikan tinggi. Dengan memperoleh pendidikan tinggi, seseorang itu boleh mendapat mobiliti sosial secara menegak kerana pada hakikatnya kelulusan akademik mempunyai kolerasi yang tinggi dengan pendapatan dan seterusnya taraf hidup.
Justru itulah maka ibu bapa tak kira berpendapatan rendah maupun pendapatan tinggi berlumba-lumba memasukkan anak-anak mereka ke sekolah yang cemerlang. Ibu bapa berasa yakin bahawa hanya sekolah-sekolah yang mempunyai budaya yang cemerlang sudah pasti menjanjikan kejayaan akademik yang cemerlang. Sebaliknya kejayaan sukar dicapai sekiranya anak-anak bersekolah di sekolah yang dianggap ” bermasalah ” samada dari segi pentadbiran, pengajaran , disiplin pelajar dan sebagainya.

Pendapat ini disokong oleh Rutter (1979 ) dalam kajian beliau yang mendapati sekolah yang mempamerkan kurang masalah disiplin dan ponteng sekolah akan melahirkan pelajar yang memperoleh pencapaian akademik yang baik dan konsisten. Hussein Mahmood (1993) juga menyatakan sekolah yang berkesan dan mempunyai budaya yang cemerlang akan dapat menghasilkan pencapaian akademik yang tinggi, kurang masalah disiplin di kalangan pelajar seperti merosakkan harta benda sekolah, ponteng sekolah dan keciciran di samping sekolah itu mendapat kepercayaan dan kerjasama di kalangan masyarakat setempat manakala guru-guru pula dapat bekerja dengan sepenuh hati dan berasa puas.

Berdasarkan laporan pengkaji-pengkaji Barat dan juga tempatan ini dapatlah kita membuat rumusan bahawa budaya sekolah mempunyai hubungan yang rapat dengan pencapaian akademik pelajar-pelajar. Menyedari hakikat itulah maka sekolah-sekolah yang mempunyai latar belakang budaya yang baik telah menjadi perhatian dan idaman ibu bapa. Kesimpulannya semua sekolah haruslah mempunyai budaya yang baik dan cemerlang agar sekolah – sekolah menjadi sebuah pusat pendidikan yang diidami dan dikagumi oleh semua pihak. Pihak sekolah juga harus berbangga dengan berjayanya pihak sekolah mewujudkan budaya yang cemerlang, sekolah berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik mereka tetapi juga berjaya melahirkan ”insan kamil ”seperti yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ( FPK ).

1.1 Definisi Operasional

1.1.1 Budaya
Secara umumnya budaya dapat ditakrifkan sebagai gelagat, kepercayaan , sikap, nilai dan idea yang dikongsi bersama oleh individu dalam satu satu kumpulan ( Ember & Ember,1993 ). Busher dan Saran ( 1992 ) pula menyatakan bahawa budaya suatu organisasi dikaitkan dengan nilai, sikap dan kepercayaan yang dikongsi oleh kebanyakan individu yang bekerja di dalamnya secara meluas. Ia menyediakan satu cara semulajadi dalam melakukan sesuatu perkara.

1.1.2 Budaya Sekolah
Sekolah merupakan satu organisasi yang dianggap sebagai penyalur ilmu kepada pelajar-pelajar. Di sekolah wujud satu budayanya yang tersendiri dan budaya tersebut dibentuk sendiri oleh penghuni-penghuni di dalamnya samada dari segi pentadbiran, dari segi pelaksanaan P&P, perhubungan pentadbir dengan staf dan pelajar dan sebagainya.

Takrif di atas dinyatakan oleh Omar Mohd Hashim ( 1991 ) dalam kajiannya iaitu budaya sekolah menjelaskan ciri-ciri yang tergolong dalam budaya sekolah iaitu budaya ilmu, budaya insan kamil, seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan, budaya kepimpinan, budaya kerja, budaya komunikasi dan seterusnya budaya bilik darjah. Dalam kajian ini budaya sekolah yang dimaksudkan adalah merujuk kepada 11 aspek yang merujuk kepada budaya sekolah yang cemerlang oleh (Mortimore et al 1988 ) iaitu kepimpinan pengetua, perkongsian misi dan visi, persekitaran pembelajaran, penumpuan pengajaran dan pembelajaran, pengajaran bermatlamat, ekspektasi guru, pengukuhan positif, pemantauan perkembangan pelajar, hak dan tanggungjawab pelajar, perkongsian tanggungjawab antara sekolah dan ibu bapa dan organisasi pembelajaran.

1.1.3 Iklim sekolah

Iklim sekolah merupakan salah satu faktor yang boleh membawa kepada kecemerlangan sesebuah sekolah. Iklim sekolah yang baik ialah satu keadaan persekitaran sekolah dan suasana sekolah yang sunyi, aman, sesuai dan kondusif untuk guru dan pelajar menjalankan pengajaran dan pembelajaran bagi mencapai matlamat kecemerlangan sekolah dalam bidang akademik dan juga sekolah yang bersih dan selamat Selain itu terjalin hubungan yang baik, mesra di antara guru besar guru-guru, murid-murid dan ibu bapa di sekolah tersebut.

1.1.4 Sekolah Berkesan / cemerlang
Sekolah yang berkesan ialah sekolah yang mempunyai pengaruh yang positif terhadap penigkatan pencapaian akademik pelajar. Kecemerlangan akademik ini diukur melalui keputusan peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dengan pencapaian 55 % ke atas selama tiga tahun berturut-turut.. Faktor yang menentukan sekolah berkesan ialah kepimpinan guru besar yang teguh terutama kepimpinan pengajaran, penekanan kepada penguasaan kemahiran asas, iklim sekolah yang sesuai untuk P & P, harapan guru yang tinggi terhadap pencapaian akademik murid dan kekerapan mengadakan penilaian.

A.L. Ramaiah ( 1995 ) mengatakan sekolah yang berkesan mempunyai pengaruh positif terhadap pembelajaran pelajar ke arah kecemerlangan akademik. Hussein Mahmood (1993 ) pula mengatakan sekolah yang berkesan bukan merupakan sekolah yang established atau sekolah primier, tetapi sekolah yang dapat menghasilkan pencapaian akademik yang tinggi, sekolah itu juga kurang masalah disiplin seperti kerosakan harta benda, ponteng, keciciran. Di samping itu sekolah ini mendapat kepercayaan di kalangan masyarakat setempat dan guru-guru berasa puas hati untuk bekerja.

1.1.5 Konsep kepimpinan
Mengikut Tead ( 1953 ) kepimpinan ialah proses menolong kumpulan untuk mencapai matlamat yang sesuai dengan hasrat kumpulan itu. . Cummings 1971 pula mengatakan kepimpinan ialah proses interaksi dalam mana seseorang mempengaruhi pemikiran, kelakuan dan perasaan seseorang atau orang lain ke arah mencapai satu matlamat bersama. Manakala Koontz dan O’ Donnel 1972 pula mengatakan kepimpinan adalah sebagai satu kemahiran untuk mempengaruhi kakitangan menyelesaikan tugas masing-masing dengan penuh minat dan keyakinan. Kepimpinan juga merupakan satu proses mempengaruhi orang lain untuk menghubungkaitkan proses-proses pentadbiran seperti perancangan, pengelolaan dan pengawasan ”

Kesimpulannya bahawa kepimpinan atau kepimpinan pendidikan ialah proses menolong atau mengarah kumpulan untuk mencapai matlamat dan objektif khasnya sekolah. Ia juga merupakan aktiviti, inisiatif atau prosedur untuk menyelesaikan masalah kumpulan dan ahlinya. Seseorang pemimpin mesti mempunyai minat, visi dan matlamat bagi memimpin guru-guru untuk mencpai matlamat sekolah dan negara.

1.1.6 Pencapaian Akademik Pelajar

Menurut Kamus Dewan ( 1994:211) pencapaian bererti ” apa yang dicapai ( dihasil / diperolehi ) atau prestasi. Manakala akademik pula adalah sesuatu yang bersifat mengandungi ilmu pengetahuan yang tinggi dan mendalam ”. Kesimpulannya dapatlah dirumuskan bahawa pencapai akademik pelajar ialah hasil atau prestasi ilmu pengetahuan yang tinggi dan mendalam yang diperolehi oleh seseorang pelajar. Pencapaian akademik pelajar selalunya diukur melalui keputusan peperiksaan tiga tahun berturut-turut.

1.2 Kerangka Konseptual

Ciri-ciri Budaya Sekolah Cemerlang ( diubahsuai daripada Martimore et al ( 1988 ) – 11 Faktor Penentu Keberkesanan Sekolah )


*Kepimpinan guru besar
berkesan
*Perkongsian Misi & Visi
* Penekanan kepada
P & P
* Pengajaran bermatlamat
*Ekspektasi guru yang
Tinggi
* Pengukuhan yang positif
* Pemantauan
*Hak & tanggungjawab
Pelajar
*Perkongsian tanggung Jawab antara sekolah &
Ibubapa
* organisasi pembelajaran




Kecemerlangan
sekolah



Meningkatkan
Prestasi pelajar































Kajian menunjukkan prestasi pelajar-pelajar di sekolah dipengaruhi oleh budaya sekolah itu sendiri selain daripada faktor-faktor luaran seperti taraf hidup keluarga , faktor sikap pelajar itu sendiri , faktor persekitaran dan beberapa faktor lain. Beberapa kajian yang dibuat oleh pengkaji-pengkaji tempatan dan juga pengkaji Barat menunjukkan budaya sesebuah sekolah mempengaruhi pencapaian prestasi pelajar-pelajarnya. Ini memberi gambaran kepada kita bahawa adalah penting budaya yang positif dibentuk di sesebuah sekolah agar prestasi pelajar-pelajar terjamin.

2.2 Konsep Budaya Sekolah - Kajian-kajian lepas

Pada tahun 1995 Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan telah pun mengambil inisiatif dalam usaha untuk menjamin mutu sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan. Menurut Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan ( JPPWP ), Encik Mohd Zin Ishak ” Kesemua 172 buah sekolah rendah dan 170 buah sekolah menengah di seluruh Wilayah Persekutuan akan menerima satu daripada empat warna iaitu hijau, biru, kuning dan merah berdasarkan kecemerlangan akademik, disiplin, kurikulum dan ko- kurikulum ” ( Utusan Malaysia, 1995 ). Menurut beliau lagi Operasi Cerdik II telah dilancarkan untuk melahirkan sekolah-sekolah yang cemerlang bukan sahaja daripada aspek akademik tetapi juga daripada aspek lain seperti disiplin dan sebagainya.

Berbeza pula keadaannya di Perlis. Untuk memastikan pencapaian akademik pelajar-pelajar terjamin, Kerajaan Negeri Perlis bekerjasama dengan Jabatan Negeri Perlis telah melancarkan Projek Peningkatan Prestasi pelajar ( 4 P ) mulai dari 1 April 1996 dengan mengadakan kelas bimbingan selepas sekolah yang dikendalikan oleh guru-guru dari sekolah tersebut.

Projek 4P itu bertujuan membantu kira-kira 40,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi dalam pelajaran. Di bawah program ini setiap pelajar dikehendaki mengikuti kelas tuisyen yang diadakan secara percuma pada setiap petang hari persekolahan khusus bagi mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Semua pelajar dari tahun satu hingga tahun enam dikehendaki menyertai program ini selama 20 minggu. Program ini dibiayai oleh kerajaan Perlis dengan peruntukan sebanyak RM 2 juta.( Utusan Malaysia 12 Mac 1996 )

Hampir kesemua Jabatan Pendidikan Negeri telah mengadakan pelbagai aktiviti untuk mempertingkatkan pencapaian akademik pelajar-pelajar mereka. Di peringkat Kementerian pula, Jemaah Nazir Institusi Pendidikan ( JNIP ) bersama-sama Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat pemantauan terhadap pelaksanaan dan keberkesanan program peningkatan pencapaian asas matematik di seluruh sekolah rendah mulai tahun 1996 bagi memastikan pencapaian cemerlang dalam mata pelajaran matematik dalam peperiksaan UPSR.

Kesimpulannya dalam konteks ini beberapa Jabatan Pendidikan Negeri dan Bahagian di Kementerian Pendidikan cuba mempertingkatkan pencapaian akademik pelajar dalam usaha mewujudkan sekolah yang cemerlang dan berkesan. Sekolah yang berkesan merupakan sekolah yang cemerlang budayanya Menurut Jemaah Nazir Institusi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia, sekolah berkesan dan mempunyai budaya yang baik mempunyai 5 ciri khusus iaitu :-
1. Mempunyai fokus pengajaran yang dinyatakan dengan jelas.
2. Menggunakan penilaian dan penaksiran yang sistematik.
3. Terdapat harapan bahawa pelajar-pelajar di sekolah tersebut akan belajar dengan baik.
4. Mempunyai iklim yang teratur dan selamat bagi menggalakkan proses pengajaran dan
pembelajaran
5. Mempunyai pendidik yang ”kukuh ” sebagai pengetua
( Jemaah Nazir Institusi Pendidikan, 1995 )

Dr Wan Zahid dalam buku beliau Agenda Pengisian pula telah menggariskan 8 ciri yang perlu ada untuk mewujudkan budaya sekolah yang cemerlang iaitu sesebuah sekolah itu harus :
1. Melaksanakan reformasi pendidikan
2. Selari dengan Falsafah Pendidikan Negara
3. Pendidikan Bersepadu
4. Melakukan perubahan
5. Sistem pengesanan
6. Mengamalkan Budaya Ilmu
7. Mengamal Konsep Sekolah Penyayang
8. Mempunyai Budaya cemerlang


Sekitar tahun 1970an dan 1980an pengkaji-pengkaji mempunyai pandangan yang lebih optimistik terhadap budaya sekolah yang berkesan di mana kajian mereka mendapati bahawa sekolah mempunyai pengaruh terhadap pencapaian akademik pelajar. Laporan Rutter ( 1979 ) dalam bukunya ” Fiften Hundred Hours ” menyatakan faktor-faktor tersebut ialah :

i. Pengajaran berorientasikan kerja dan latihan dengan masa ditumpukan kepada penyampaian fakta dan tidak terlampau mementingkan soal kelakuan dan pentadbiran.
ii. Guru bekerja serta merancang secara berkumpulan melalui satu sistem penyeliaan dan penyelarasan oleh guru kanan
iii. Sistem penghargaan serta maklumbalas yang cepat dan berterusan terhadap prestasi pelajar berkenaan kemajuan atau kelemahan terbina dengan teratur di dalam sekolah.
iv. Pelajar digalakkan bertanggungjawab sepenuhnya menggunakan kegiatan harian mereka seperti menjaga alat, kemudahan sekolah dan buku mereka.
v. Kerja rumah dan latihan diperbanyakkan diperiksa oleh guru. Keutamaan adalah terhadap prestasi akademik yang tinggi dan pelajar digalakkan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya.
vi. Sekolah mempunyai budaya dan iklim pengurusan yang baik dan cekap

Kajian oleh Rutter mendapati sekolah yang mempamerkan ciri-ciri tersebut menghadapi kurang masalah disiplin dan ponteng sekolah. Di samping itu pencapaian akademik pelajar juga baik dan konsisten


2.3. Ciri-ciri Budaya Sekolah Berkesan / Sekolah Cemerlang

Edmonds ( 1979 ) dalam penyelidikannya yang bertajuk ” Search for Effective School : the identification and analysis of city school that are instructionally effective for poor school ” mendapati bahawa sesetengah sekolah di kawasan luar bandar yang mana penduduknya golongan minoriti dan kurang berkemampuan sebenarnya berupaya meningkatkan pencapaian akademik pelajar dengan baik dan berkesan. Dalam kajian tersebut beliau mendapati lima faktor penentu kecemerlangan sesebuah sekolah iaitu :

1. Kepimpinan guru besar yang teguh terutama dalam kepimpinan pengajaran
2. Iklim sekolah yang kondusif dan selamat untuk pengajaran dan pembelajaran.
3. Penekanan kepada pengajaran – pembelajaran kemahiran asas
4. Harapan guru yang tinggi terhadap pencapaian akademik murid
5. Kekerapan mengadakan penilaian kemajuan akademik pelajar.

Model lima faktor yang diajukan oleh Edmond ini adalah berasaskan kepada Teori Keberkesanan Organisasi. yang dikemukakan oleh Hoy dan Miskel pada tahun 1978. Mengikut mereka keberkesanan organisasi bergantung kepada pencapaian dan kelicinan sistem terutama dari segi penggunaan sumber


” Two theoritical models in particular the goal model and the system resource -model- provide bases for making these judgements and for taking the action necessary to work toward school effectiveness ( Hoy & Miskel , 1978 )

Sesebuah sekolah dianggap berkesan apabila sekolah itu dapat mencapai matlamat iaitu meningkatkan pencapaian akademik murid-muridnya. ( Hoy & Miskel )

Menurut Rutter et al ( 1979 ) pula, faktor yang menentukan sesebuah sekolah itu baik dan berkesan pula dapat dikumpulkan kepada 7 tajuk utama iaitu :

Sistem pengawalan pelajar – iaitu sekolah menggunakan ganjaran memuji , galakan, dan penghargaan kepada pelajar- pelajar.
Persekitaran sekolah yang diberikan kepada pelajar-pelajar adalah menggalakkan dan menyenangkan pelajar dan guru untuk pengajaran dan pembelajaran.
Penglibatan pelajar adalah digalakkan – pelajar dibenarkan memegang tanggungjawab dalam sekolah dan aktiviti pendidikan di luar bilik darjah.
Perkembangan akademik pelajar yang menggalakkan iaitu sekolah memberi kerja
rumah dan matlamat akademik yang jelas dan terang kepada pelajar-pelajar.
Kelakuan guru. Guru-guru di sekolah merupakan model contohnya dari segi kelakuan ,pertuturan atau sikap yang baik seperti menepati masa , bersedia mendengar dan menyelesaikan masalah dan sebagainya.
Pengurusan bilik darjah ialah guru-guru di sekolah berkesan yang menyediakan rancangan pengajaran terlebih dahulu, memberi tumpuan keseluruhan kelas, dapat mengawal disiplin dengan baik dan memberi ganjaran kepada pelajar yang berkelakuan baik.
7. Struktur pengurusan sekolah yang baik. Sekolah mempunyai kepimpinan pengetua yang teguh dan mengambil pandangan dan teguran guru-guru dalam pengurusan ( Rutter et al. 1979 )

Di Amerika Syarikat menurut Cohen & Manion ( 1981 ) wujudnya jurang pencapaian akademik antara pelajar-pelajar daripada keluarga kelas menengah dengan rendah antara kulit putih dengan kulit hitam, perbalahan bahawa sekolah tidak memberi pengaruh terhadap pencapaian akademik pelajar berbanding dengan latar belakang keluarga pelajar dalam Laporan Coleman ( 1966 ) dan Laporan Plowden ( 1967 ) telah menghasilkan pelbagai model sekolah berkesan

Antara kajian yang membuktikan persekitaran sekolah boleh mempengaruhi pencapaian akademik pelajar ialah Edmonds ( 1979 ). Berdasarkan model Edmonds ( 1979 ) inilah terbentuk model sekolah yang berkesan dan popular sehingga kini iaitu Model Lima Faktor ( Five – factor Model ). Kajian – kajian tentang sekolah berkesan di Amerika Syarikat dan United Kingdom masih lagi menggunakan model lima faktor sebagai asas sebagai kajian asas kajian keberkesanan sekolah ( Reynolds 1994)

Kajian yang dibuat oleh Corcoran dan Wilson’s ( 1989 ) mengenai kejayaan sesebuah sekolah menengah di Britain menunjukkan bahawa faktor-faktor penentu kejayaan sekolah ialah :
1. Pengetua dan guru mesti mempunyai sikap yang positif terhadap pelajarnya.
2. Kepimpinan pengetua yang cekap dan teguh.
3. Guru komited dengan tugas.
4. Menaruh harapan dan piawaian yang tinggi.
5. Penekanan kepada pencapaian yang tinggi dalam mata pelajaran akademik.
6. Memberi perhatian dan sokongan kepada pelajar yang lemah
7. Kepimpinan yang stabil dan mendapat sokongan dari masyarakat
( Corcoran dan Wilson 1989 )

Daripada faktor-faktor yang disenaraikan di atas, nyatalah bahawa terdapat persamaan antara penemuan faktor-faktor penentu sekolah berkesan oleh Corcoran dan Wilson ( 1989 ) dengan Edmonds ( 1979 ) dari segi kepimpinan pengetua, iklim sekolah berkesan, penekanan pencapaian akademik dan penekanan kemahiran asas terhadap pelajar yang lemah .

Mortimore et. al .( 1988 ) di Britain pula menyenaraikan 12 faktor penentu keberkesanan sekolah :
1. Kepimpinan pengetua yang berkesan
2. Penglibatan penolong pengetua dalam pentadbiran
3. Penglibatan guru
4. Guru yang konsisten dalam pelajaran
5. Pengajaran yang tersusun
6. Pengajaran yang mencabar
7. Suasana kerja berpusat
8. Tumpuan kepada pengajaran – pembelajaran
9. Komunikasi yang maksimum antara guru dan pelajar
10. Sistem simpanan rekod yang teratur
11. Penglibatan ibu bapa
12. Iklim sekolah yang positif

Menurut beliau lagi keberkesanan sekolah mempunyai hubungan yang rapat dengan proses pembudayaan kecemerlangan sekolah.

Autin ( 1985 ) mempunyai pendapat yang agak berbeza. Beliau berpendapat sekolah yang cemerlang tidak seharusnya mencakupi kejayaan akademik semata-mata. Ia harus mencakupi perkembangan intelektual dan kendiri para pelajar serta kesesuaian terhadap sajian kurikulum dengan keperluan pelajar. Ini bermakna sekolah harus memastikan semua pelajar mendapat pendidikan yang sewajarnya dan tiada pelajar yang gagal dan berhenti sekolah semata-mata kerana tidak berjaya dalam pelajaran.

Dr Abdul Syukur ( 1998 ) dalam kajiannya di Malaysia berpendapat, bagi membina kecemerlangan sekolah, organisasi sekolah perlu menunjukkan ia betul sebuah sekolah yang menepati konsep sekolah agar tidak dipersepsikan dengan gambaran sebaliknya. Beliau juga menyarankan agar pembudayaan terancang dapat dilaksanakan seiring dengan pengiktirafan tersebut di mana iklim dan persekitaran sekolah merupakan pusat sosial , psikologi dan akademik sehingga lahir satu budaya yang mempunyai hubungan harmoni di kalangan warga sekolah dan masyarakat. Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh pengkaji tempatan dan Barat tentang ciri-ciri sekolah yang cemerlang ini jelas menunjukkan bahawa konsep sekolah cemerlang atau berkesan ini mempunyai banyak faktor penentu yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Aspek-aspeknya meliputi pengurusan dan pentadbiran, ahli-ahli dalam komuniti sekolah, masyarakat, persekitaran sekolah , kemudahan dan pelbagai perkara lain.








Rangka Bidang Teori Sekolah Berkesan berdasarkan Model Lima Faktor Input – Output Sistem dan Gol

IMPUT PROSES OUTPUT
(sumber-sumber) ( hasil )
Kepimpinan guru besar
Yang teguh
Harapan guru yang tinggi terhadap pencapaian akademik murid
Iklim sekolah yang kondusif dan selamat
Penekanan kepada pengajaran pembelajaran kemahiran asas
Kepimpinan guru besar


Pembentukan iklim sekolah
Yang kondusif dan selamat


Pengajaran dan pembelajaran
Kemahiran asas


Harapan guru terhadap
Pencapaian akademik


Kekerapan mengadakan
penilaian
Meningkatkan penguasaan kemahirann
Pembelajaran.











asa
Kekerapan Penilaian





Duignan ( 1986 ), Brookover, et al. ( 1979 ) dan Wynn ( 1980 )

sependapat mengatakan ” peluang kejayaan pelajar untuk mempelajari kemahiran pembelajaran kognitif adalah banyak dipengaruhi oleh iklim sekolah ”.





2.4 Ciri-ciri Budaya Sekolah Cemerlang Menurut Peter Mortimore

Kecemerlangan sesebuah sekolah bukan disebabkan oleh satu faktor sahaja tetapi kecemerlangan ini dibantu oleh beberapa ciri budaya yang diamalkan oleh sekolah tersebut sehingga membentuk kecemerlangan sekolah dan seterusnya membantu meningkatkan prestasi pelajar-pelajar dalam akademik. Oleh itu amalan budaya cemerlang ini perlu diterapkan di sekolah sekolah agar hasrat negara untuk melahirkan insan yang cemerlang , gemilang dan terbilang akan tercapai. Berikut adalah 11 ciri budaya cemerlang yang diutarakan oleh Peter Mortimore ( 1983 ) yang banyak membuat kajian berkenaan ciri-ciri sekolah yang berkesan yang mempunyai hubungan rapat dengan usaha memupuk budaya sekolah yang cemerlang di negara kita . Ciri yang paling penting ialah peranan pentadbir sekolah itu sendiri.

2.4.1 Kepimpinan guru besar / pengetua yang berkesan

Guru besar di sekolah rendah ataupun pengetua di sekolah menengah merupakan ketua dalam sesebuah sekolah. Maju atau mundurnya sesebuah sekolah bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin tersebut memimpin sekolah . Jawatankuasa Mengkaji Taraf Pelajaran di Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia ( 1982 ) menyarankan kepimpinan pengetua mestilah :

.....cekap dan banyak menghabiskan masa mengelolakan aktiviti
pembelajaran di sekolah-sekolah. Mengekalkan penyeliaan sekolahnya
dengan cara yang berkesan , bertindak sebagai pakar runding, penasihat
dan koordinator bagi program-program pengajaran dan pembelajaran
di sekolah dan perlu juga menghabiskan masa yang lebih dalam aktiviti
aktiviti profesional guru dan pelajar dan jangan hanya bekerja
semata-mata sebagai pentadbir yang berkurung di bilik mengeluarkan
arahan dan surat-surat arahan dan surat-surat.

( Kementerian Pendidikan Malaysia 1982 )

Antara peranan yang boleh dimainkan oleh seorang pemimpin di sekolah ialah :

a. Peranan guru besar dalam pentadbiran dan pengajaran

Seorang guru besar sepatutnya dapat memberikan bimbingan dan kepimpinan yang dinamis dan baik kepada guru-guru, kakitangan serta pelajarnya. Di samping itu beliau juga berperanan memberikan bimbingan dan kepimpinan kepada ibu bapa dan masyarakat. Dalam menjalankan tugas ini guru besar seharusnya kreatif dan mempunyai daya usaha yang kuat. Beliau mesti memahami bukan sahaja dasar-dasar kerajaan tetapi juga keadaan serta keperluan masyarakat sekeliling. Semua ini merupakan cabaran yang mesti dihadapi dengan berani, jujur, gigih, bertanggung jawab dan penuh keyakinan.

Selain daripada kepimpinan pentadbiran, guru besar juga mesti menjalankan kepimpinan pengajaran dan membentuk budaya sekolah yang menarik dan menyeronokkan. Oleh itu kepimpinan guru besar hendaklah berkesan supaya dapat mewujudkan sekolah yang berkesan.

b. Peranan guru besar dalam pentadbiran

Gullick ( 1977 ) mendefinisikan pentadbiran sebagai ” POSDCORB ” iaitu Planning, Organising, Staffing, Directing, Co-ordinating , Reporting dan Budgeting. Oleh itu setiap pentadbiran mesti melalui proses :
- Merancang
- Organisasi
- Pengurusan
- Penyelarasan
- Melapor
- dan membuat budget

Russell L.T. Gregg ( 1977 ) telah menggariskan 7 komponen dalam pentadbiran iaitu 1. Membuat keputusan
2. Perancangan
3. Pengurusan
4. Perhubungan
5. Mempengaruhi
6. Penyelarasan
7. Penilaian

Dalam buku ” Panduan Pentadbiran Sekolah ” (1982) yang diterbitkan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan menyenaraikan 12 tugas seorang guru besar di dalam pentadbiran iaitu :

1. Menguruskan perkhidmatan dan perjawatan guru dan bukan guru
2. Mengendalikan akaun dan kewangan sekolah
3. Menguruskan kegiatan kurikulum dan ko-kurikulum
4. Pengurusan jadual waktu sekolah
5. Menguruskan kemasukan, pertukaran murid
6. Pengerusi Tatatertib dan lembaga sekolah
7. Menguruskan perjalanan ujian/peperiksaan di peringkat sekolah
8. Menguruskan perjalanan aktiviti berbentuk agama Islam
9. Bertanggungjawab terhadap disiplin guru dan kakitangan bukan guru
10.bertanggungjawab melaksanakan arahan-arahan berikut oleh Kementerian dan Jabatan
Pendidikan Negeri
11. Mengkoordinasi aktiviti sekolah dengan pihak luar
12. Bertanggungjawab tentang disiplin pelajar

Fadzilah Mohd Noor ( 1990 ) mengatakan tugas guru besar dalam pendidikan adalah ” Di peringkat sekolah guru besar bertanggung jawab menguruskan sekolah dalam banyak aspek seperti kurikulum, ko kurikulum, pejabat, alat-alat persekolahan sekitar sekolah.”

Oleh itu tugas guru besar dalam pentadbiran sekolah adalah sangat luas . Guru besar ialah orang yang paling bertanggungjawab untuk mencapai matlamat sekolah dan matlamat pendidikan negara. Di samping menjalankan tugas pengawasi pentadbiran pejabat, mengawasi guru dan kakitangan bukan guru serta pelajar-pelajar, beliau juga bertanggung jawab memastikan bangunan sekolah dalam keadaan baik, kemudahan –kemudahan asas dan keceriaan sekolah perlu dipertingkatkan dan diperbaiki dari semasa kesemasa.

Pendapat di atas telah disokong oleh Hussein Mahmood ( 1993 ) yang mengatakan kepimpinan guru besar dalam pentadbiran sekolah adalah :

” Kerja-kerja pengesanan dan pengumpulan maklumat, menyimpan rekod, penggubalan peraturan prosedur, penjadualan dan pemberian tugas kepada guru, pengagihan sumber, penyediaan belanjawan serta membuat perhubungan dengan ibu/bapa dan penjaga. Walau bagaimanapun tugas yang paling penting dan diberi keutamaan adalah mengerjakan kerja-kerja pengkeranian bagi memenuhi kehendak rasmi”

Robiah Sidin ( 1989 ) menyenaraikan 6 bidang tugas pengetua/guru besar iaitu :
1. Perhubungan sekolah dengan masyarakat
2. Perkembangan kurikulum dan pengajaran
3. Pengurusan murid
4. Pengurusan kakitangan
5. Pengurusan bangunan dan kemudahan-kemudahan lain
6. Pengurusan kewangan

c. Peranan guru besar dalam pengajaran

Halinger dan Murphy ( 1985 ) mengatakan peranan dalam pengajaran ini bermakna ” apa sahaja yang dilakukan oleh guru besar untuk kemajuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah”

Berdasarkan definisi di atas dapatlah dibuat satu rumusan bahawa peranan utama guru besar ialah menyelia, membuat cerapan dan memotivasikan guru dalam pengajaran. Guru besar juga perlu bertindak sebagai pakar rujuk, pembimbing dalam kepimpinan pengajaran iaitu berupaya memberi bimbingan dan tunjukajar kepada guru-guru dalam pengajaran, kurikulum, penggunaan alat bantu mengajar, pengurusan kelas, pencapaian matlamat dan misi sekolah. Ini dipersetujui oleh Duke 1982, Bevoise 1984 dan Hussein Mahmood ( 1993 ) yang mengatakan :

”Tanggung jawab termasuklah mengadakan falsafah sekolah, mengadakan matlamat dan objektif sekolah, membimbing guru supaya kecekapan mereka dalam pengajaran dan lain-lain bidang kurikulum dapat dipertingkatkan. Di samping itu guru besar seharusnya melaksanakan program perkembangan staf, menyelaras segala aktiviti pendidikan serta usaha-usaha lain yang dijalankan oleh sekolah”

Kebanyakan tulisan dan kajian mengenai kepimpinan guru besar atau pengetua berpendapat bahawa kepimpinan pengajaran banyak dikaitkan dengan keberkesanan sekolah ( school effectivenss ). Sekolah yang berkesan mempunyai guru besar yang dapat memahami peranan yang dimainkan dalam program pengajaran di sekolahnya. Mereka bukan sahaja faham tetapi bercita-cita tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap pencapaian akademik murid-murid atau sekolah secara keseluruhan ( Wildy dan Dimmock 1993 ) mengatakan
” Kajian-kajian mengenai kepimpinan pengetua dalam pengajaran yang dilakukan di kebanyakan negara mendapati pengetua yang mempunyai kemahiran dalam kepimpinan pengajaran boleh membawa perubahan dalam pengajaran-pembelajaran guru dan murid-muridnya.”

State of New York Performence Review ( 1974 ) telah membuat kesimpulan

“Persekitaran sekolah juga adalah tanggungjawab memberi dorongan kepada murid untuk mencapai skor yang tinggi dalam pelajarannya. Pencapaian skor yang baik ini mempunyai hubungan yang signifikan dalam tingkah laku kepimpinan guru besar”.

d. Kepimpinan guru besar yang teguh di sekolah yang cemerlang

Dalam usaha mewujudkan sekolah yang cemerlang atau berkesan dari segi akademik dan ko-kurikulumnya, kepimpinan guru besar sering dilihat sebagai fokus utama. Ini bermakna guru besar adalah punca utama timbulnya masalah atau penyelesaian masalah dalam pelaksanaan program pendidikan.

Berdasarkan beberapa kajian dan penulisan tentang sekolah berkesan, Sweeney ( 1982 ) telah mengenal pasti 6 ciri kepimpinan guru besar yang teguh dan berkesan berkaitan dengan keberkesanan sekolah iaitu ;

1. Guru besar memberi penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam bidang akademik
2. Guru besar menyusun dan menetapkan strategi pengajaran
3. Guru besar menyediakan dan mengekalkan suasana yang kondusif di sekolah
4. Guru besar kerap menilai pencapaian pelajar
5. Guru besar menyelaras program pengajaran
6. Guru besar membantu dan memberi semangat kepada para guru.

Walau bagaimanapun terdapat guru besar di Malaysia ini yang tidak dapat memainkan peranannya sebagai pemimpin pengajaran. Ini disebabkan mereka tidak mempunyai latihan atau pengalaman yang luas dalam bidang berkenaan.



2.4.2 Perkongsian Misi dan Visi

Suatu tindakan yang berpaksikan arah dan matlamat sudah pasti mempunyai misi dan visi yang tertentu. Misi merujuk kepada satu arah tuju. Manakala visi pula dapat mmbantu untuk menentukan arah yang hendak dituju ( Stoll & Fink 1999 ). Untuk mencapai matlamat misi dan visi ini semua pihak haruslah faham kehendak-kehendak yang ingin dicapai itu. Suatu hasrat atau matlamat sekolah akan mudah dicapai sekiranya misi dan visi sekolah dipersetujui bersama dan dilaksanakan bersama-sama. Dengan adanya sifat kerjasama ini, misi dan visi sekolah akan dapat dicapai dengan jayanya.

2.4.3 Iklim sekolah yang kondusif dan selamat

Iklim sekolah ialah keadaan persekitaran sekolah dan suasana sekolah yang sunyi dan nyaman yang sesuai dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan dapat mencapai kecemerlangan akademik. Ini wujud disebabkan terdapat hubungan yang baik dan mesra antara guru besar dan guru, dan antara guru dan pelajar-pelajar ( Crmers dan Scheerens 1994 )

Rahimah Haji Ahmad (1981) mengatakan ” Terdapat anggapan bahawa stail kepimpinan pengetua dengan iklim sekolah saling berkaitan dan ianya boleh mempengaruhi pencapaian akademik pelajar di sesebuah sekolah.

Konsep Iklim Sekolah
Pusat Perkembangan Kurikulum ( PPK ) 1988 Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggunakan istilah ” budaya ” sekolah untuk menerangkan suasana sekolah yang menyerupai iklim. Menurut PPK 1981 :

”Suasana sekolah yang baik adalah di mana keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra riang dengan pembelajaran yang lancar.”

Iklim sekolah penting bagi kemajuan sesebuah sekolah. Iklim sekolah yang positif akan memberi kesan kepada kemajuan akademik sekolah. Howard ( 1974 ) mengatakan iklim yang positif boleh meransang pelajar untuk belajar secara aktif, kreatif , melahirkan sikap percaya dan yakin kepada diri sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain.

Turnney dan Jenkins ( 1975 ) mengatakan bahawa iklim sekolah adalah faktor utama yang menentukan keadaan kualiti pembelajaran yang dihadapi oleh murid-murid sekolah. Ini adalah faktor penting yang menentukan sekolah berkesan dan pencapaian akademik yang cemerlang.

Manakala Rahimah Hj Ahmad ( 1981 ) berpendapat sekolah dirasakan baik iklimnya apabila:

1. Guru-guru rasa selamat, yakin dan puas serta tidak terasa was-was, dan menunjukkan keperihatinan kepada murid-muridnya.
2. Pengetua dirasakan berkeyakinan, mesra dan sederhana, mudah ditemui, bersikap terbuka serta berkebolehan ada semangat setia kawan, berasa selesa untuk belajar dan hadir ke sekolah.

Halpin & Croft ( 1963 ) merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah mengatakan bahawa sekurang-kurang terdapat sembilan faktor yang harus difikirkan dalam membicarakan tentang iklim sekolah antaranya sosio ekonomi ahli dalam sekolah, sikap ibu bapa terhadap sekolah, keadaan fizikal sekolah dan interaksi sosial antara pengetua dengan guru-guru. Beliau yang telah memperkenalkan soal selidik ” Organization Description Questionaire ” ( OCDQ ) sebagai alat untuk mengukur keadaan yang terdapat di sekolah iaitu iklim organisasi sekolah.. Dalam OCDQ terdapat 8 elemen iklim berdasarkan empat tingkahlaku pengetua dan empat tingkahlaku guru ( Razali Othman 1990)

1. Kesendirian ( allofness ) iaitu guru besar kelihatan formal ,sentiasa berjauhan dari guru dan murid dan terlalu mengikut peraturan seperti mengadakan peraturan yang ketat untuk guru, tidak mendedahkan hasil lawatan nazir kepada guru, mementingkan perincian peranan, sasaran dan tugasan khusus.
2. Penekanan kepada daya pengeluaran.( production emphases )- menunjukkan guru besar dirasakan selalu membuat penyeliaan yang ketat dan benar-benar dirasai oleh guru-guru dengan menjalankan tugas kerja guru dan murid dengan jelas, membaiki kelemahan guru, banyak berkomunikasi, memastikan guru bekerja kuat dan berkomunikasi dengan jelas, kurang peka kepada reaksi guru, kerja lebih masa, menuntut hasil dan menetapkan piawaian kerja.
3. Sifat bertimbang rasa ( consideration ) guru besar menerima dan mengenali staf sebagai individu, baik hati dan berperikemanusiaan, memberi perhatian peribadi dan menjaga kebajikan guru, menolong mereka dalam menjalankan kerja, mempertahankan kepentingan guru, bertoleransi dan menggalakkan kepelbagaian.
4. Kesungguhan guru besar ( thrust ) menekan aspek memberi contoh atau teladan yang baik contohnya datang awal , balik lewat, bekerja kuat, aktif , minat dalam perkembangan baru dalam pendidikan,tidak mengharapkan guru memberi lebih daripada dirinya sendiri.

4 elemen tingkahlaku guru pula ialah :
1. Ketidak pedulian ( disengagement ) bermaksud terdapat kerenggangan hubungan di antara guru. Hal ini dapat dilihat melalui kegiatan seperti wujudnya pengelompokan kecil , kurang kerjasama antara satu sama lain, wujud perasaan tidak puas hati dan tanda untuk meninggalkan kerjaya perguruan.
2. Halangan ( hindrance ) bermaksud suasana kerja dirasakan terhalang kerana terlampau banyak beban dan tanggungjawab seperti ” paper work ” ,laporan, tugas-tugas harian yng tidak berkaitan dengan pengajaran dan mengganggu kerja pengajaran dan bimbingan.
3. Kekitaan ( espirit ). Guru-guru berasa puas di mana semangat, moral dan kecerdasan mereka adalah tinggi. Mereka menampakkan keriangan, komited, gembira dengan hubungan rakan sekerja, saling bantu membantu dan saling menghormati. Bekerja bersungguh-sungguh, taat setia kepada sekolah dan guru-guru dapat memenuhi keperluan sosial dan peribadi di samping dapat merasai kejayaan profesional
4. Kemesraan ( intimacy ) bermaksud wujud hubungan interpersonal yang rapat dan guru-guru berkongsi pengalaman hidup peribadi dan bertukar-tukar rahsia. Terdapat kemesraan interaksi sosial di luar sekolah, ziarah menziarahi, berbincang hal peribadi secara mendalam dan menjalankan perhubungan persahabatan yang erat


Byrne, Harttie dan Fraser ( 1986 ) mengatakan iklim sekolah yang baik telah dapat menggerakkan pembelajaran dan pencapaian yang maksimum. Dalam kajian mereka yang melibatkan 1675 orang murid di New South Wales Australia, mendapati pencapaian murid dalam matematik dan English dengan iklim sekolah yang baik adalah positif tinggi.. Kajian-kajian yang dibuat oleh Mortimore et al ( 1988, 1989) di bawah Program Inner London Education Authority ’ s Junior School Project ( JSP ) mengatakan :


Iklim yang selamat dan positif di sekolah berkesan mempunyai persekitaran yang menyenangkan. Ini disebabkan kurang penekanan kepada deraan, dan kawalan disiplin di dalam sekolah dan di luar bilik darjah dan banyak penekanan kepada pemberian ganjaran dan sanjungan kepada pelajar. Malah guru-guru memberi penekanan kepada kawalan diri dan disiplin kepada pelajar-pelajar.

Halpin dan Croft ( 1963 ) mengatakan jika sesebuah sekolah itu tidak mempunyai iklim yang positif, ianya akan menyebabkan guru-guru tidak gembira dan tidak berpuas hati dengan kerjayanya, hubungan guru dengan pengetua tidak mesra. Pengetua menjalankan tugas bergantung kepada undang-undang dan peraturan dan pelajar-pelajar berasa tertekan dan resah

Mortimore et al ( 1988 ) mengatakan ” Bagi pelajar pula, keadaan iklim yang selamat dan positif menjadikan mereka mempunyai kelakuan yang baik, riang dan suka berkawan antara satu sama lain dan jarang ponteng sekolah. ’

Rutter et al ( 1979 ) mengatakan ” iklim sekolah yang positif menanamkan perasaan sayangkan sekolah, di mana murid-murid bertanggungjawab dan boleh diberi tangungjawab dan murid-murid ke sekolah kerana mahu dan hendak belajar.”

Stoll (1994) mengatakan iklim sekolah yang selamat dan kondusif untuk pembelajaran adalah iklim yang boleh mewujudkan pelajar-pelajar berkelakuan baik dan pencapaian akademiknya meningkat ”


2.4.4 Penekanan Kepada Pengajaran dan Pembelajaran

Empat unsur utama pengajaran yang berkesan menurut Slavin (1994 ) ialah kualiti pengajaran ( Quality ) , Aras pengajaran yang sesuai ( Appropriateness), Insentif (Incentive), dan Masa (Time ) –QAIT.

1. Kualiti Pengajaran ( Quality of Instruction )
Guru berupaya menyampaikan maklumat atau kemahiran kepada pelajar-pelajar supaya mudah difahami. Oleh itu pengajaran yang berkualiti membolehkan proses pembelajaran mudah difahami oleh pelajar , mudah diingat dan menyeronokkan. Oleh itu guru perlu menyampaikan isi pengajaran dengan teratur dan sistematik ( Kallison 1986 ), menggunakan bahasa yang jelas dan mudah ( Land 1987 ), memberi penerangan jelas dan contoh – contoh yang berkaitan ( Mayer & Gallin 1990 ), memberi penekanan kepada isi-isi penting, dan mengaitkan pengajaran itu dengan pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar.( King & Menke 1992 ), menggunakan alat bantu mengajar ( ABM ) bagi membantu menerangkan konsep ( Hiebert, Wearne & Taber 1991, Kozma 1991 ). Selain itu objektif pelajaran hendaklah jelas dan khusus. Isi kandungan adalah mencukupi dan di akhir sesuatu pelajaran guru perlu mengadakan penilaian.
2. Aras Pengajaran Yang Sesuai

Guru perlu memastikan bahawa pelajar mempunyai pengetahuan sedia ada sebelum dapat mempelajari mata pelajaran yang baru. Oleh itu sesuatu aras pengajaran itu perlulah sesuai dengan kebolehan atau keupayaan pelajar. Jika aras terlalu tinggi , pelajar-pelajar yang lemah tidak akan dapat mengikuti pelajaran tersebut dan akibatnya mereka akan ketinggalan. Tetapi sebaliknya jika aras pengajaran terlalu rendah maka pelajar-pelajar yang cerdik tidak akan memberikan tumpuan kepada pengajaran guru dan ini akan merugikan pelajar-pelajar yang cerdik. Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah guru perlulah mengumpul pelajar-pelajar yang cerdik ke dalam satu kumpulan yang lain berdasarkan kebolehan dan penguasaan pelajar pada sesuatu kemahiran ( Slavin 1994 ) atau guru boleh mengadakan pembelajaran secara koporatif di mana pelajar yang lemah akan dibimbing oleh rakan sebaya dalam kumpulan tersebut. Dengan cara ini guru akan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran kelas.

3. Insentif

Insentif ialah keupayaan guru untuk memberi motivasi kepada pelajar untuk terus belajar dan menyiapkan kerja-kerja yang diberikan oleh guru. Terdapat dua cara di mana guru dapat memberi intensif /motivasi kepada pelajar-pelajar untuk terus belajar.
a. Pertama guru perlu menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat dan menyeronokkan pelajar. Oleh itu guru perlu mengajar menggunakan pelbagai kaedah pengajaran seperti lakonan, main peranan, perbahasan dan sebagainya.Dengan cara ini pelajar tidak akan berasa jemu atau bosan untuk belajar.
b. Kedua guru boleh memberikan insentif kepada pelajar dalam bentuk ganjaran atau pujian. Lain-lain cara untuk memberikan insentif ialah memberikan laporan kemajuan dan kelakuan murid-murid kepada ibu bapa setiap minggu atau memberi ganjaran kepada sekumpulan murid-murid yang menunjukkan kelakuan dan kemajuan yang baik ( Slavin 1994 )

4. Masa Pengajaran-Pembelajaran

Pelajar perlu diberi masa yang cukup untuk menguasai atau mempelajari sesuatu. kemahiran. Satu kajian bertajuk ” The beginning Teacher Evaluation Study ’ menunjukkan bahawa masa yang diperuntukkan kepada sesuatu mata pelajaran tidak memberi kesan terhadap pencapaian pelajar apabila masa itu diukur di peringkat kelas ( Marliave, Fisher & Dishaw 1978 ). Namun kajian mengenai ” engage time atau time-on-task ” menunjukkan terdapat hubungan yang positif di dalam pencapaian pelajar ( Karweit 1989 )


2.4.5 Pengajaran Bermatlamat

Menurut Mohammed Sani (2004) kualiti pengajaran adalah nadi kepada persekolahan berkualti. Sekiranya guru berjaya menyampaikan pengajaran dengan baik dan berkesan maka hasil yang positif akan terhasil. Guru-guru harus berjaya menyampaikan matlamat sesuatu pengajaran yang disampaikan kepada pelajar-pelajar. Objektif pengajaran yang jelas dan tepat diikuti dengan teknik penyampaian yang berkesan akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran berjalan dalam suasana yang memberansangkan.

Sergiovani ( 1995 ) menyatakan pembelajaran yang berkesan akan berlaku apabila guru-guru dapat menerangkan objektif pengajaran dengan jelas sebaik sahaja sesi pengajaran bermula dan sentiasa merujuk objektif pengajaran secara berkala sepanjang pengajaran untuk mengekalkan fokus pengajaran .

2.4.6 Ekspektasi guru yang tinggi

Guru perlu mempunyai tanggapan ataupun ekspektasi yang tinggi terhadap pelajar-pelajar. Sedikit sebanyak harapan dan kepercayaan guru akan memberi peransang dan keyakinan kepada pelajar-pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang. Pendapat ini diutarakan oleh Lamsden ( 1997 ) yang mengatakan bahawa ekspektasi guru terhadap pelajar dan andaian – andaian yang dibuat mengenai potensi pelajar, memberi kesan ke atas pencapaian pelajar. Pelajar akan mula menaruh kepercayaan dan yakin kepada diri sendiri . Dorongan intrinsik ini akan lebih mendorong pelajar untuk berusaha dan memperoleh kejayaan yang cemerlang.


2.4.7 Pengukuhan yang positif

Pengukuhan merupakan salah satu faktor penting dalam kaedah pengajaran. Pengukuhan boleh diberi dalam bentuk ganjaran ataupun puji-pujian, kata semangat dan seumpamanya. Disiplin yang baik dan terkawal akan membantu sekolah membentuk satu budaya pembelajaran yang positif. Menurut Mohammed Sani penghargaan kepada kejayaan akademik dan aspek lain dalam perlakuan positif yang dibuat secara besar-besaran di peringkat sekolah dan khalayak ramai turut menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

2.4.8 Pemantauan terhadap kemajuan pelajar

Kekerapan penilaian yang dilaksanakan oleh guru –guru dan pemantauan yang dibuat terhadap kemajuan serta pemahaman pelajar dengan menggunakan pelbagai cara seperti mengemukakan soalan lisan, soalan pendek, bergerak dari satu meja ke satu meja bertujuan menyemak kerja pelajar amat penting bagi melihat sejauh manakah pelajar dapat menguasai pelajaran yang diajar.

2.4.9 Hak dan tanggung jawab pelajar

Apabila pelajar diberi hak dan tanggungjawab mereka akan menjadi orang yang lebih bertangungjawab dan berdikari. Mereka akan menghargai hak yang diberikan dan akan lebih terdorong untuk mencapai kejayaan tanpa dipaksa oleh orang lain. Apabila guru mempercayai pelajar-pelajar dan memberikan hak kpada mereka contohnya untuk bersuara, plajar-pelajar lebih bermotivasi, lebih bersemangat, pandai berdikari dan tahu memelihara dan menghormati hak orang lain. Weinberg ( 1994 ) mengatakan pelajar-pelajar menyukai guru yang sabar,bertolak ansur dan suka mendengar pandangan orang lain. Pelajar-pelajar yang diberi tanggungjawab oleh guru-guru biasanya akan menjadi lebih bertanggungjawab dan yakin akan kemampuan diri mereka.

2.3.10 Perkongsian tanggungjawab antara sekolah dan ibu bapa

Sokongan dan kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah akan memudahkan lagi pihak sekolah untuk meningkat dan menjalankan pelbagai rancangan dan secara tidak lansung meningkatkan lagi prestasi pelajar. Amalan sifat terbuka sekolah dengan pihak penjaga akan memudahkan lagi perbincangan terhadap sesuatu perkara ataupun masalah. Ini juga akan membentuk satu hubungan yang erat antara pihak sekolah dengan ibubapa. Pelbagai aktiviti untuk meningkatkan prestasi sekolah dan pelajar akan dapat dijalankan dengan adanya hubungan dan kerjasama daripada ibu bapa dan penjaga. Kelazimannya penglibatan daripada ibu bapa akan memberi kesan terhadap prestasi pelajar dan juga prestasi guru-guru.




2.4.11 Organisasi pembelajaran

Setiap sekolah seharusnya mengamalkan organisasi pembelajaran kerana belajar merupakan satu proses yang berterusan sepanjang hayat Sebagai insan yang berperanan sebagai penyalur ilmu kepada pelajar-pelajar, seharusnyalah seorang guru itu sentiasa membekalkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran – kemahiran yang baru sesuai dengan kehendak arus globalisasi. Budaya menuntut ilmu yang diserap kepada semua warga sekolah bermula dari pemimpin hinggalah kepada pelajar-pelajar ini akan membantu melahirkan warga sekolah yang cemerlang budaya dan prestasi mereka. Menurut Hussein ( 1991 ) staf perlulah meningkatkan pengetahuan atau ilmu mereka sebelum mendidik orang lain.

3.0 Isu dan Cabarannya
Isu Budaya Sekolah dan Hubungannya dengan Pencapaian Akademik Pelajar

Budaya yang diwujudkan di sesebuah sekolah itu penting untuk melihat perkembangan pencapaian pelajar seterusnya. Ini adalah kerana budaya mempunyai hubungkait dengan pencapaian prestasi pelajar. Budaya yang positif akan membantu membentuk sebuah sekolah yang cemerlang dan warga yang cemerlang. Hubungan budaya dan pencapaian pelajar ini dapat dilihat dari beberapa sudut. Adakah budaya yang diamalkan di sekolah itu berjaya meningkatkan prestasi pelajar-pelajarnya ? Antaranya :

3.1 Isu pencapaian prestasi meningkat tetapi aspek aspek penting dalam Falsafah Pendidikan Negara telah diabaikan.

Hasrat Falsafah Pendidikan Negara adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek ( JERI ) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan . Pelajar-pelajar yang dilahirkan diharapkan bukan sahaja cemerlang dari segi intelek sahaja dan mengabaikan aspek lain. Malangnya pada hari ini hasrat Falsafah Pendidikan negara itu tidak dihayati dengan sepenuhnya. Matlamat pendidikan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik ataupun keputusan peperiksaan semata-mata. Anak-anak belajar hanya untuk lulus peperiksaan sahaja. Keputusan peperiksaan dijadikan kayu pengukur seorang pelajar itu cemerlang ataupun tidak.. Apabila keputusan peperiksan ditekankan oleh pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat, maka tiga komponen iaitu jasmani, emosi dan rohani telah diabaikan. Pelajar-pelajar yang berjaya ini hanya berminat dengan buku sahaja. Mereka akan memberikan respon yang negatif semasa pelajaran Pendidikan Jasmani atau aktiviti-aktiviti sekolah yang berbentuk sukan dan permainan. Sekiranya fenomina ini berterusan maka sekolah gagal melahirkan pelajar-pelajar yang ”serba boleh” dan hasrat untuk melahirkan pelajar yang seimbang juga akan gagal.

Usaha Kementerian Pelajaran menetapkan syarat pe 10 peratus penglibatan ko-kurikulum dalam permohonan ke IPTA merupakan satu langkah yang bijak untuk menyemai sikap positif terhadap kegiatan ko-kurikulum di sekolah di samping melahirkan individu ataupun pelajar yang. Diharapkan dengan adanya syarat ini , usaha untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi fizikal, emosi jasmani dan intelek seimbang seperti yang diharapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara akan tercapai.

3.2 Isu Perubahan

Dunia pendidikan sentiasa berubah. Oleh itu warga pendidik juga harus bersedia menerima perubahan. Mereka seharusnya bersedia membentuk satu budaya sekolah yang baru yang selaras dengan kehendak semasa. Contohnya sekolah seharusnya bersedia menerima penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, menerima penggunaaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains dan pelbagai pembahruan lain. Guru-guru harus bersedia dengan budaya yang baru ini dan mula berubah. Mereka perlu memperbaiki diri dengan mendalamkan lagi ilmu dalam bidang ICT ataupun memperbaiki mutu penguasaan bahasa Inggeris mereka agar mereka dapat berdepan dengan pelajar dengan penuh keyakinan. Keyakinan guru-guru akan memberi impak kepada pengajaran dan seterusnya membuahkan hasil kepada prestasi pelajar-pelajar. Isunya sekarang adakah guru-guru matematik dan sains telah bersedia dengan perubahan ini ? Adakah mereka telah menyiap dan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran- kemahiran yang diperlukan semaksimumnya agar mereka dapat menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar yang lebih keliru dengan perubahan bahasa ini. Adakah guru sudah bersedia dan berusaha untuk menjadi pendidik yang cemerlang ? Bagi Zulkarnain ( 1995 ) guru-guru cemerlang sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan ke arah memperkaya minda dan melaksanakan pendekatan baru demi meneruskan peningkatan hasil kerja seterusnya menimbulkan minat yang mendalam di kalangan pelajar.
\







Berikut adalah contoh rangka konsep Pemikiran guru cemerlang yang di bina oleh Hafidah Mohamed ( 2001 )



Prestasi pengajaran
Guru cemerlang



Proses
Pemikiran Tindakan
Guru Guru




Latar belakang Latar belakang
Dan kepercayaan Pelajar dan
Guru Keperluan
Keputusan
Perancangan
Guru


Atribut/sifat Ekspektasi
Mata pelajaran Luaran
Tuntutan
Organisasi

Teori Interaksi Simbolik











3.3 Isu stail pengurusan dan kepimpinan

Budaya sesebuah sekolah banyak dipengaruhi oleh sikap pemimpinnya. Pemimpin yang akan menentukan matlamat dan hala tuju sekolah tersebut. Pemimpin yang bersemangat tinggi , sedar tanggungjawab beliau kepada staf, murid, ibubapa dan masyarakat , sedar tanggungjawab kepada bangsa dan masyarakat sudah tentu akan memainkan peranan untuk membentuk budaya kerja yang cekap dan seterusnya budaya sekolah yang cemerlang. Isunya sekarang ialah bukan semua pemimpin iaitu guru besar atau pengetua yang bersikap demikian. Terdapat pengetua yang hanya duduk di bilik dan menjalankan urusan –urasan pejabat tanpa mengambil tahu tentang hal-hal yang berlaku di sekelilingnya. Perhubungan atau komunikasi antara ketua dengan orang bawahnya penting dalam suatu pentadbiran. Kajian yang dibuat oleh Porth ( 2000 ) mengenai kesan awal pengetua baru sekolah rendah terhadap iklim sekolah dalam beberapa bulan pertama menjawat jawatan tersebut mendapati guru-guru sangat menghargai kemahiran interpersonal pengetua terutama dalam aspek komunikasi sokongan dan kerjasama

Terdapat juga pengetua yang terlalu banyak menghabiskan masa dengan kerja-kerja luar seperti aktiviti-aktiviti daerah dan jarang berada di sekolah. Akibatnya beliau telah menyerahkan tanggungjawab beliau di sekolah kepada pekerja-pekerja di bawahnya. Fenomina ini sedikit sebanyak akan membentuk satu budaya kerja yang tidak cekap dan selaras. Kerjasama antara staf sukar dibentuk kerana setiap orang mempunyai pelbagai pendapat. Pelbagai masalah akan timbul sekiranya ketua dalam organisasi tersebut tidak memainkan peranan beliau. Kesimpulannya ketua adalah seorang pemimpin. Beliau seharusnya memainkan peranan sebagai ” role model ” dan memimpin kakitangan di bawahnya supaya budaya kerja yang cemerlang dapat dibentuk dan seterusnya menghasilkan pencapaian pelajar yang cemerlang

Isu pengurusan kerja ini juga boleh mengakibatkan ”stress” di kalangan kaki tangan sekiranyas pengurusan tidak cekap. Ini mungkin merupakan salah satu faktor di mana dikatakan ramai guru-guru yang ”stress” pada hari ini. Sesetengah guru berasa stress kerana terlalu banyak kerja yang dibebankan kepadanya. Tidak ada satu cara yang sistematik untuk mengagihkan beban tugas guru-guru. Sesetengah pentadbir hanya memandang kepada guru-guru tertentu sahaja untuk diberikan tugas. Pemilihan ini mungkin berdasarkan ketokohan guru tersebut atau pun mungkin kerana perasaan kurang senang terhadap prestasi guru tersebut. Budaya kerja ini akhirnya akan memberi impak terhadap pengajaran guru di bilik-bilik darjah. Kesimpulannya adalah penting seorang pemimpin di sekolah itu mempunyai kemahiran memimpin, mempunyai budi pekerti dan akhlak yang baik untuk dijadikan contoh kepada anak buahnya, mengamalkan perkhidmatan penyayang, tahu menjaga kebajikan guru-guru dan pekerja , mempunyai nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi, prihatin, hormat menghormati, penyayang dan sifat-sifat murni yang lain.

Pemimpin juga perlu mempunyai ” sistem pengesanan ” iaitu kebolehan mengesan kelemahan guru-guru, kelemahan pentadbiran, kelemahan perjalanan, masalah guru ” stress ” dan sebagainya. Dengan adanya usaha pengesanan ini langkah-langkah seperti pepatah Melayu ” sediakan payung sebelum hujan ” akan dapat dilakukan sebelum masalah menjadi serius dan luka menjadi semakin parah hingga mengakibatkan musibah .

3.4 Isu budaya cemerlang dan sekolah cemerlang.

Sekolah merupakan institusi di mana pelajar-pelajar akan dapat menimba ilmu pengetahuan. Budaya sekolah yang cemerlang melambangkan kecemerlangan sesebuah sekolah dan ia akan menjadi kebanggaan setiap penghuni institusi tersebut. Contohnya MCKK suatu ketika dahulu menjadi sekolah kebanggaan setiap orang dan harapan setiap ibu bapa yang mempunyai anak.

Tetapi pada hari in timbul isu ”memperkasakan sekolah kebangsaan ”. Mengapakan isu ini timbul sedangkan semua sekolah kebangsaan mempunyai kemudahan infrastruktur yang lebih lengkap dan baik daripada sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil ? Usaha memperkasakan sekolah kebangsaan terpaksa dilakukan memandangkan ibu bapa mula mengalihkan pandangan ke sekolah-sekolah aliran lain. Di sini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa usaha membudayakan sekolah agar mempunyai budaya yang cemerlang perlu dilakukan dengan segera demi menjamin kepercayaan masyarakat khasnya ibu bapa terhadap keupayaan sekolah kebangsaan. Budaya yang cemerlang di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina contohnya telah membuktikan kepada masyarakat umum bahawa budaya ini akan mempengaruhi prestasi pencapaian anak-anak. Budaya yang cemerlang juga membuktikan bahawa kadar masalah disiplinnya berkurangan berbanding sekolah lain. Ibu bapa perlu diberi keyakinan bahawa anak-anak mereka akan mendapat pendidikan dan penjagaan yang sebaiknya de sekolah kebangsaan sama seperti budaya yang terdapat di sekolah-sekolah agama.

Untuk memastikan usaha memperkasakan sekolah kebangsaan ini berjaya, semua pihak haruslah memainkan peranan untuk menerapkan budaya sekolah cemerlang di sekolah kebangsaan. Semua anggota sekolah kebangsaan bermula daripada pemimpin iaitu guru besar, guru-guru, pekerja dan pelajar-pelajar haruslah mengamalkan budaya yang cemerlang. Guru-guru khasnya perlulah menjaga kualiti pengajaran mereka agar kewibawaan mereka tidak dipertikaikan. Budaya disiplin perlu diterapkan kepada setiap warga sekolah agar keyakinan masyarakat khasnya ibu bapa terhadap institusi sekolah tidak tercemar. Amalan sekolah selamat, sekolah penyayang perlu diamalkan di sekolah-sekolah. Latih pelajar-pelajar agar mencintai ilmu agar mereka menjadi orang yang berilmu. Beri mereka pendedahan budaya akhlak yang baik supaya mereka menjadi anak-anak dan warga yang baik akhlaknya.


4.0 Saranan dan langkah-langkah mengatasi

Untuk mencapai sesuatu kecemerlangan itu bukanlah suatu yang mudah. Semua pihak harus berusaha untuk menangani sebarang masalah dan cabaran . Segala usaha ini memerlukan masa. Menurut Musa ( 2000 )

’ Sistem pendidikan di negara ini belum cukup sihat dari semua segi ”
Oleh itu pelbagai usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara kita agar satu budaya yang cemerlang dapat dibentuk dan seterusnya melahirkan insan-insan yang cemerlang.




4.1 Perlu budaya sekolah yang mempunyai kepimpinan yang positif

Klug ( 19 89 ) mengatakan bahawa pemimpin sekolah boleh mempengaruhi tahap adalah motivasi pelajar dengan membentuk iklim pengajaran dan kemudiannya membentuk sikap guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat ke arah pendidikan.

Kepimpinan di sekolah yang berkesan atau cemerlang selalunya mempunyai ciri-ciri yang positif, berinisiatif dan berwawasan untuk memajukan sekolah terutama dalam bidang akademik. Guru besar akan merancang pelbagai program pendidikan dan akan sentiasa berbincang dan mendapat persetujuan dari guru-guru kanan beliau sebelum melaksanakan sesuatu projek. Biasanya guru besar akan mengamalkan kepimpinan demokratik dengan memberi peluang kepada guru untuk memberi pendapat atau cadangan. Guru besar sentiasa melibatkan guru-guru dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan usaha mempertingkatkan pencapaian akademik pelajar.

4.2 Perlunya perubahan sikap

Faktor pengurusan dan kepimpinan bukan sahaja faktor utama untuk mencapai kecemerlangan. Sebaliknya faktor sikap juga merupakan salah satu faktor penting untuk menentukan hala tuju dan wawasan sesebuah organisasi itu. Setiap insan perlu mencipta budaya kerja yang cemerlang untuk mencapai seseatu kecemerlangan . Bagi merealisasikan hasrat ini guru-guru khasnya yang merupakan penyampai ilmu haruslah mencintai profesyen mereka. Guru-guru harus mencintai tempat kerja mereka dan guru-guru perlulah mencintai anak didik mereka. Sekiranya guru-guru mempunyai perasaan sedemikian , mereka akan lebih bermotivasi untuk mendidik. Menurut Nik Mohd Zin (1999)
Faktor yang membezakan seseorang itu berjaya dengan tidak berjaya
dalam kerjayanya masing-masing terletak kepada ketinggian motivasi
untuk bekerja.

Berdasarkan niat yang ikhlas seseorang guru itu akan menjadi seorang pendidik yang baik dan menyempurnakan tugas beliau dengan sebaik mungkin. Dalam Islam kecemerlangan yang dituntut bukan sahaja untuk memenuhi keperluan dan harapan pelanggan tetapi juga untuk memenuhi perintah dan keredaaan Allah ( Siddiq Fadzil 1992 )

Menurut Stodolsky dan Grossman (2000 ) guru-guru perlu membuat perubahan dalam pendekatan pengajaran mereka bagi menghadapi perubahan dalam diri pelajar.


4.3 Memberi maklumat ( fedback )membina terhadap prestasi kerja guru
Usaha memberi maklumbalas yang membina terhadap pencapaian kerja guru seperti penyediaan buku rekod, ABM yang baik , memberi hadiah atau perakuan seperti pujian, perakuan naik gaji kepada guru-guru yang kommited ke arah meningkatkan pencapaian akademik pelajar turut memberi kesan ke atas prestasi pelajar. Guru besar juga akan memberi teguran dan cadangan -cadangan kepada guru-guru yang belum mencapai tahap yang dikehendaki agar mereka akan dapat meningkatkan prestasi kerja mereka. Guru – guru yang bermasalah pula akan dibantu dan diadili sebaik-baiknya.

4.3 Program perkembangan Staf
Melalui program sedemikian diharapkan guru-guru akan dapat melahir atau mengemukakan sebarang kemusykilan dan masalah supaya tidak menimbulkan rasa tidak puas hati atau menimbulkan konflik.

4.4 Menempatkan guru berpengalaman dan berkebolehan di kelas peperiksaan
Guru yang bepengalaman dan berkebolehan di tempatkan di kelas-kelas peperiksaan agar dapat membantu pelajar-pelajar menguasai sesuatu kemahiran. Guru yang berpengalaman ini juga lebih berkeyakinan untuk mengajar kelas-kelas peperiksaan.

4.5 Guru besar sebagai role model
Berpandukan slogan ” Kepimpinan Melalui Teladan ” guru besar seharusnya dapat dijadikan model kepada orang bawahannya termasuklah murid-murid.


4.6 Budaya mencerap
Sebarang tindakan perlu dilakukan pemantauan dan penilaian. Guru-guru perlu dicerap oleh pengetua atau guru-guru kanan supaya sebarang kelemahan dapat dikenalpasti dan diperbaiki. Melalui pencerapan juga pihak atasan dapat mengenalpasti guru-guru yang bermasalah khasnya guru-guru yang kurang berpengalaman dan usaha-usaha membantu dapat dilakukan dengan segera.

4.7 Hubungan mesra dengan ibu bapa/ penjaga
Perjumpaan dengan ibu bapa dan penjaga akan dapat membantu pihak sekolah meminta kerjasama ibu bapa supaya memberi perhatian kepada pelajaran anak-anak dan memberi penekanan kepada pencapaian akademik.

4.8 Kominikasi dua hala
Komunikasi dua hala khasnya antara pemimpin dengan guru-guru sangatlah penting dalam usaha membentuk budaya sekolah yang cemerlang. Dengan adanya komunikasi dua hala segala pandangan dan buah fikiran akan dapat dicapai dan ini akan membentuk satu kerjasama yang erat dalam sesebuah organisasi yang terdiri daripada pelbagai jenis pandangan dan kerenah.

4.9 Penilaian
Penilaian merupakan perkara penting dalam pengajaran-pembelajaran untuk menilai samada sesorang murid telah ataupun belum menguasai sesuatu kemahiran. Tujuan diadakan penilaian ialah untuk menilai objetif pengajaran – pembelajaran guru tercapai atau tidak, mengesan kelemahan murid dan juga meningkatkan pembelajaran murid-murid.

4.10 Semua guru besar sekolah rendah perlu diberi latihan atau kursus secara formal dalam bidang kepimpinan sekolah khasnya., stail kepimpinan, kepimpinan pentadbiran, kepimpinan pengajaran supaya mereka menjadi pemimpin yang berkesan di peringkat sekolah.

4.11 Guru besar juga harus diberi latihan untuk mewujudkan suasana budaya sekolah yang kondusif dan selamat. Ini bermakna guru besar perlu diberi latihan untuk mewujudkan hubungan yang mesra dengan guru-guru, murid-murid dan ibu bapa, mewujudkan sistem pejabat terbuka di mana guru-guru dan murid-murid bebas berjumpa guru besar untuk menyelesaikan suatu masalah.

4.12 Guru perlu dilatih semula atau diberi kursus dalam perkhidmatan tentang kaedah pengajaran yang terkini. Dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran, akan dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Pengajaran juga tidak membosankan dan guru patut diberi latihan memotivasikan pelajar untuk belajar






5.0 Kesimpulan

Dapatlah ditegaskan di sini bahawa kejayaan sesebuah sekolah khasnya di bidang akademik banyak bergantung kepada kepimpinan guru besar dalam kepimpinan pengajaran dan keadaan budaya sekolah yang baik dan positif. Malah Hussein Mamood ( 1993 : 294 ) mengatakan kejayaan dan kegagalan sesebuah sekolah di Malaysia banyak bergantung kepada pihak sekolah iaitu guru besar, guru-guru tetapi kepimpinan guru besar adalah dikenalpasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah. Seterusnya persekitaran dan budaya sekolah juga merupakan pembolehubah yang mempengaruhi dan menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik pelajar. Sekiranya sekolah berjaya membentuk satu budaya sekolah yang cemerlang sudah pasti sekolah juga akan mencapai kecemerlangan khasnya dalam pencapaian pelajar-pelajar. Oleh itu langkah-langkah untuk membudayakan sekolah agar terbentuk satu budaya sekolah yang cemerlang, gemilang dan terbilang perlu dilakukan selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.




















Rujukan

A.L.Ramaiah. 1992. Kepimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini. Petaling Jaya : IBS
Bku Sdn Bhd
A.L.Ramaiah. 1995. Penyelidikan Keberkesanan Sekolah : Masalah Konsepsi dan
Metadologi, Monograf, Fakulti Pendidikan. Univrsiti Malaya . Kuala Lumpur.
Brookover, W.B. & Lezotte L.W. 1979. Changes in school characteristice coincident with
changes in student achievement, East Lansing, Michigan State Univrsity
Caroll, J.B. 1963. A model of school learning. Teachers college rcord. 64 : 723-733
Carroll, J. 1989. The Carroll model : A 25 year retrospective and prospective view.
Educational researcher. 18,1,26-31
Corcoran dan Wilson. .1989. Successful Secondry School. Lewes : Falmer Press
Coleman .1966. Equality of Educational Oppotunity. Washington : Office of Education,
U.S.A. Depart of Health, Education and Walfare.
Cohen & Manion .1994. Research methods in education. Ed. Ke-2. London : Croom
Helm Ltd
Duignan ,P.1986 . research on effective school : Some implication for school
improvement . The Journal of Educational Administration. 24 (1) ; 59-85
Edmonds,R. 1979. Effective schools for the urban poor. Educational Leadership.
37(1) : 15-18
Hallinger , P. & Murphy, J. 1985. Assesing the instructional management of principals.
The Elementary School Journal 86(2) : 217-247
Halpin, A.W. 1957. Manual for the behavior description questionnaire Columbus.
Ohio : The Ohio State University.
Hussein Ahmad. 1991. Perkembangan staf sekolah : Bentuk dan cara pelaksanaan.
Jurnal Pengurusan Pendidikan. 2(1) 2-9
Hussein Mahmood. 1993. Kepimpinan dan keberkesanan sekolah. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan. 1982. Buku Panduan, Pengurusan Profesional
Sekolah Rendah. Kuala Lumpur : Jemaah Nazir Persekutuan, Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Krug, S.E.. 1992. Instructional Leardership : A constructivist perspective. Educational
Administration Quarterly, 430-443.
Lumsden, L. 1997. Expectations for students : Eric Digest, number 116 (atas talian )
http://www.ed.gov.databases/ERIC%20Digests/ED%20409609.html.(30 mei 2003)
Mehan, H.,Hubbard, L. dan Villanueve, 1. 1990. Forming acaemic : Accomodation
Withoutassimilation among involuntary minorities, Anthropology and educational
Quarterly. 25 ( 2 ): 91-117
Mohammed Sani Ibrahim. 2004a. Ciri-ciri sekolah berkesan, Fakulti Pendidikan Bangi
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohammed Sani Ibrahim. 2004b. School administration : Compiling and arranging
trannslated material. Fakulti Pendidikan Bangi Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mortimore, P..1983. Behavior in school : A evaluation of support centers. London :
Croom Helm.
Pusat Perkembangan Kurikulum. 1998. Budaya sekolah. Kuala Lumpur : Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Rahimah Haji Ahmad. 1996. Toward developing a profile of effective and less effective
Schools. Journal Pendidikan. 17: 51-63
Robiah Sidin. 1994. Pendidikan di Malaysia : Cabaran untuk masa depan. Kuala Lumpur
Fajar Bakti Sdn Bhd.
Rutter, M., Maugham, B., Mortimore, P. & Oustan, J. 1979. Fifteen thousand hour :
Secondary school and their effects on children. Cambridge Mass : Havard
University Press.
Sergiovanni, T.J. 1995. Handbook for effective department leadership : Concept and
Practices. London : Allyn and Bacon.
Shahril @ Charil Marzuki. 1997. Satu Kajian Sekolah Berkesan Berdasarkan Model Lima
Faktor. Tesis Dr. Fal. University Kebangsaan Malaysia.
Wan Mohd Zahid. Mohd Noordin. 1993. Wawasan Pendidikan Agenda Pengisisan.
Kuala Lumpur : Nurin Enterprise.

No comments:

Post a Comment