Friday, February 13, 2009

Laluan Kerjaya Dalam Profesion Keguruan

Laluan Kerjaya Dalam Profesion Keguruan



1.0 PENGENALAN

Sejak kebelakangan ini pihak Kementerian Pelajaran dan ahli politik berusaha untuk mempertingkatkan martabat profesion perguruan. Ini adalah kerana pihak-pihak tersebut peka bahawa guru memainkan peranan utama dalam melahirkan generasi yang akan merealisasikan Wawasan 2020.
(Lilia Halim & Norlena Salamuddin, 1998)

Manakala, matlamat pendidikan negara untuk melahirkan ”insan yang seimbang” memerlukan guru yang cukup berkebolehan dan boleh menjadi model kepada hasil yang diharapkan. Guru-guru hari ini telah menunjukkan kemampuan mereka sebagi profesional dalam usaha-usaha untuk mencapai matlamat tersebut. Walaupun begitu, pandangan yang menyatakan guru sebagai satu profesion yang ’hebat dan menarik’ masih belum tertera di minda masyarakat mahupun guru sendiri. Antara sebab utama yang dilihat sebagai penghalang kepda pemikiran ini ialah kerana kurangnya peluang-peluang untuk guru mengembangkan serta meningkatkan diri mereka dalam profesion pendidikan di negara ini.
(Zuria Mahmud, Amla Salleh, Mohd Salleh Ahmad & Ruslin Amir, 1998)

Senario profesion perguruan di Malaysia telah berulang kali diperkatakan oleh orang ramai sejak akhir-akhir ini. Fenomena tersebut semakin serius apabila bilangan calon lelaki semakin kurang berminat menceburi dalam profesion tersebut. Dengan keghairahan terhadap profesion lain yang lebih menarik, lebih tinggi pendapatan dan mempunyai potensi yang baik menyebabkan profesion keguruan hanya diminati oleh
golongan wanita sahaja atau kepada yang betul-betul berminat profesion tersebut.
Tidak seperti di zaman tahun 1960-an dan 1970-an, profesion perguruan masih diminati dan dipandang mulia oleh masyarakat. Sebut sahaja pekerjaan sebagai guru sama ada guru berkelulusan maktab atau juga universiti, masyarakat akan memandang tinggi dan menghargai jasa yang disumbangkan oleh guru-guru. Apatah lagi pada tahun-tahun tersebut, guru yang berkelulusan daripada universiti akan dapat menjadi Guru Besar atau Timbalan Guru Besar sebaik-baik sahaja berkhidmat lebih kurang tiga atau empat tahun. Tetapi sekarang guru-guru siswazah semakin ramai dan peluang-peluang mereka untuk menjawat jawatan tersebut adalah terhad dan terpaksa menunggu lebih kurang sepuluh tahun lebih.
(Mohd Salleh Lebar, 1998)

Sebenarnya pandangan bahawa ”guru bagai sebatang lilin membakar diri” adalah terlalu sempit buat profesion perguruan waktu ini. Sebatang lilin yang sedang menyala hanya menyinar selagi ada hayatnya. Sebaliknya cahaya yang diberikan oleh seorang guru yang berkesan akan sentiasa menyinar sepanjang waktu di mana ianya bukan sahaja membentuk pelajarnya tetapi juga menentukan hala tuju masyarakat yang akan datang.
Dalam usahanya memberikan sinaran itu, guru tidak akan cair dan menjadi sia-sia seperti sebatang lilin, tetapi guru tersebut sepatutnya mendapat pelbagai faedah daripada segala usahanya. Hari ini, usaha perkembangan kerjaya guru adalah satu keperluan bukan sahaja untuk kebaikan pelajarnya, tetapi juga untuk keperluan guru itu sendiri.
(Zuria Mahmud, Amla Salleh, Mohd Salleh Ahmad & Ruslin Amir, 1998)



2.0 DEFINISI

’Laluan’
Menurut Kamus Dewan laluan ialah jalan yang dilalui, jalan yang menjadi landasan atau pergerakan maju ke tahap lain.




“Kerjaya’
Menurut Kamus Dewan kerjaya ialah perjalanan atau kemajuan seseorang dalam sesuatu kelapangan kehidupan atau profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagi cara mencari nafkah.

’Guru’
Guru dalam konteks tajuk tugasan ini bermaksud ialah tenaga pengajar yang telah mengikuti sijil perguruan, diploma pendidikan dan ijazah dari maktab-maktab dan universiti, dilantik oleh KPM untuk berkhidmat di sekolah. Kategori guru meliputi bakal guru, guru permulaan, guru dan pentadbir sekolah (termasuk pengetua dan guru penolong kanan dan JUSA C.

Menurut Kamus Dewan guru adalah orang yang mengajar, mendidik, pengajar dan pengasuh. Biasanya guru ini adalah orang yang mempunyai ilmu atau kemahiran di dalam sesuatu bidang.



3.0 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berperanan untuk mewujudkan sistem pendidikan yang terbaik untuk menghasilkan insan yang mempunyai daya ketahanan tinggi bagi memenuhi aspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara. Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.






3.1 Jabatan di KPM :-

Jabatan Sekolah (JS)
Jabatan Pendidikan Jasmani Dan Sukan (JPJS)
Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral (JAPIM)
Jabatan Pendidikan Khas (JPK)
Jabatan Pendidikan Teknikal (JPTEK)
Jabatan Pelajaran Swasta (JPS)


3.2 Bahagian di KPM :-

Bahagian Dasar dan Pengurusan Korporat (BDPK)
Bahagian Audit Sekolah (BAS)
Bahagian Audit Dalam (BAD)
Bahagian Matrikulasi (BM)
Bahagian Kewangan (BKEW)
Bahagian Pembangunan dan Perolehan (BPP)
Bahagian Hubungan Antarabangsa (BHA)
Bahagian Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (BTMK)
Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP)
Bahagian Biasiswa (BIASISWA)
Bahagian Sumber Manusia (BSM)
Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP)
Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP)
Bahagian Buku Teks (BBT)
Bahagian Pendidikan Guru (BPG)
Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK)


3.3 Badan Berkanun di Bawah KPM :-

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM)
Institut Aminuddin Baki (IAB)
Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM)
Jemaah Nazir Sekolah (JNS)
Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSN)
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM)
Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR)
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)
Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP)


3.4 Jabatan Pelajaran Negeri:

Jabatan Pelajaran Terengganu (JPNTER)
Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan (JPNLAB)
Jabatan Pelajaran Selangor (JPNSEL)
Jabatan Pelajaran Sarawak (JPNSAR)
Jabatan Pelajaran Sabah (JPNSAB)
Jabatan Pelajaran Perlis (JPNPEL)
Jabatan Pelajaran Perak (JPNPER)
Jabatan Pelajaran Pahang (JPNPAH)
Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS)
Jabatan Pelajaran Melaka (JPNMEL)
Jabatan Pelajaran Wilayah–Persekutuan Kuala Lumpur (JPNKL)
Jabatan Pelajaran Kelantan (JPNKEL)
Jabatan Pelajaran Kedah (JPNKED)
Jabatan Pelajaran Johor (JPNJOH)
Jabatan Pelajaran Pulau Pinang (JPNPP)
Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP)
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006)



4.0 KERJAYA GURU

Guru adalah penghubung antara sistem pendidikan dan pelajar, manakala kesan sesuatu program atau inovasi pendidikan terhadap pelajar-pelajar berlaku melalui guru (Medley 1982). Achmady (1993) menegaskan bahawa kurikulum, kaedah pengajaran, media, sumber dan infrastruktur yang baik dan lengkap tidak menjamin pencapaian pelajar kerana pembelajaran tetap terletak pada guru.

Guru sangat memainkan peranan penting sebagai usaha membentuk watak bangsa melalui pengembangan keperibadian dan nilai-nilai yang diinginkan. Oleh yang demikian keberkesanan guru berperanan penting dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pembangunan negara, sama ada tugas utamanya iaitu pendidikan anak-anak ataupun kemasyarakatan dan kemanusiaan. Dengan lain perkataan, guru adalah wakil kerajaan dan masyarakat yang memainkan peranan penting dalam perancangan pendidikan pelajaran

Guru yang berkesan sangat diperlukan bagi mewujudkan sekolah berkesan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti dalam era globalisasi. Ini adalah kerana faktor utama yang menjamin keberkesanan sekolah adalah guru-guru berkesan. Guru yang berkesan berupaya memperbaiki sikap, tingkah laku dan pencapaian akademik pelajar (Davis & Thomas, 1989). Syarat bagi guru yang berkesan bagi abad ke-21 adalah guru yang profesional. Mereka dikehendaki memiliki kelayakan akademik yang tinggi dan kemampuan ilmu sesuai dengan bidang yang dipilih untuk berkomunikasi secara berkesan dengan para pelajar, rakan sejawat, pengetua dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap profesionnya dan berupaya untuk perkembangan diri secara berterusan.

Oleh itu peranan guru bukan sekadar mengajar tetapi guru juga turut menjadi jurulatih, pembimbing dan pengurus kepada pelajar. Sehubungan itu usaha yang berterusan amat diperlukan baik dari pihak guru, masyarakat mahupun kerajaan bagi mewujudkan guru yang berkesan, supaya dapat menjalankan peranan dan tanggungjawabnya untuk menghasilkan pelajar yang boleh menghadapi kehidupan yang mencabar di masa hadapan.

Datuk Abdul Rahman Bakar (2005), menyarankan guru mestilah lebih terbuka, proaktif dan sensitif terhadap persekitaran. Selain dari itu guru juga mestilah mempunyai sikap dan pemikiran seperti berikut :


Meningkatkan daya kreativiti, minda yang terbuka dan positif.
Peka terhadap permintaan pelajaran yang lebih canggih berbanding pelajar dulu dalam sesuatu mata pelajaran.
Perlu lebih berdisiplin dan menjadikan profesion perguruan bukan sahaja tempat makan gaji tetapi lebih bersifat luhur budi dan menjadikan profesion ini sebagai tempat berbakti kepada anak bangsa.
Guru juga perlu ada kekuatan mental dalam suasana yang lebih global, bersedia dengan pihak ibu bapa yang semakin agresif, pelajar pula semakin kurang ajar dan tidak tahu berterima kasih.
Guru perlu bersabar dan berhemah kerana sikap berkenaan akan mencerminkan guru itu seorang yang mulia dan berdedikasi tinggi.



Guru mesti ”computer literate”, bukan sahaja faham, boleh mengajar tetapi mempunyai kemahiran tertentu kerana komputer membantu kita membuat penyelidikan dan pembangunan yang lebih ’heristic dan parsimonious’.



5.0 PERKEMBANGAN KERJAYA PERGURUAN

Perkembangan kerjaya dalam pengertian bahasanya menggambarkan bagaimana seseorang itu memperbaiki kedudukan dan kemahirannya dalam sesuatu pekerjaan yang diceburinya. Walau bagaimanapun, konsep perkembangan kerjaya mempunyai penjelasan yang lebih mendalam jika dilihat dari perspektif teori perkembangan kerjaya (Super, 1980).


Super’s development stages



Growth

0-14



Exploration

15-24

Establishment

25-44

Maintenance

45-64

Decline

65+

Dipetik dair Bowlsby, Spivack, Lisansky (1982). ”Take Hold of Your Future”, p. 127.


Rajah ini menunjukkan bagaimana individu melalui perkembangan kerjaya sepanjang hayatnya. Semasa kanak-kanak (umur 0-14), ia melalui peringkat pertumbuhan fizikal, mental dan sebagainya, seterusnya semasa remaja (umur 15-24), individu tersebut membuat penerokaan tentang kerjaya yang akan diceburinya. Pada peringkat ini, individu tersebut mempelajari tentang sesuatu bidang atau kemahiran dan seterusnya mendapatkan kelayakan yang membolehkannya melibatkan diri dalam bidang tersebut. Peringkat seterusnya ialah establishment (pengukuhan(umur 25-44)) dan perkembangan seterusnya, individu tersebut akan melalui peringkat

maintenance (penjagaan (umur 45-64)) di mana individu telah stabil dan hanya menjaga kedudukan dan kemahirannya, dan decline (penurunan (umur 65 ke atas)) di mana individu mula mengurangkan tanggungjawab terhadap kerjaya.

Satu tahap perkembangan yang relevan dengan kerjaya guru ialah yang di sebut sebagai ” pengukuhan ” (establishment) . Daripada sudut umur kronologi tahap yang di maksudkan adalah di sekitar 24 hingga akhir 40an, di mana seseorang itu sedang dalam proses mengukuhkan diri dalam satu-satu pekerjaan yang di lakukannya dan berusaha memajukan diri untuk meningkat dalam heiraki kerjayanya. Tugas terakhir dalam tahap ini ialah apa yang disebut sebagai ”consolidating dan advancement ” di mana seseorang berusaha untuk mengekalkan atau meningkatkan situasi pekerjaannya. Usaha ini berupa usaha meneruskan aktiviti yang memberi kepuasan kerja dan usaha mengubah aspek-aspek yang tidak menyenangkan. Pada tahap ini seseorang itu akan bersedia untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan tugas yang di jalankannya untuk meningkatkan keupayaannya menjalankan tugas dengan berkesan agar satu tahap kepuasan dapat di capai. Oleh itu,selagi satu tahap kepuasan yang dapat di terima oleh individu itu dapat dicapai selama itu dia akan terus kekal dalam kerjayanya dan akan terus berusaha menyesuaikan dirinya dengan kehendak tugas yang di jalankan.

Profesion perguruan hari ini menyediakan banyak peluang perkembangan kerjaya untuk guru meningkat kepada tahap yang lebih tinggi berbanding tahap semasa guru tersebut mula memasuki pekerjaannya. Bagi guru – guru bukan siswazah , antara peningkatan ini termasuklah Ketua Panitia,Guru Kanan Mata Pelajaran, Kakitangan Sumber Daerah , Negeri , Kementerian , Guru Pakar , Guru Penolong Kanan Akademik , Penyelaras Daerah/Negeri , Penyelia Daerah/ Negeri / Kementerian , Guru Besar , Pembantu Penolong Pengarah. Bagi Guru- Guru siswazah pula selain daripada jawatan jawatan yang di sebut tadi, peningkatan jawatan yang ada termasuklah Pengetua , Penolong Pegawai Pendidikkan Daerah , Penolong Pengarah , Pegawai Khas , Ketua Penolong Pengarah , Ketua Sektor Jabatan/ Kementrian/Timbalan peng./Pendidikkan Negeri/ Pengarah Pendidikkan Negeri/Pengarah Bahagian-Bahagian, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikkan , dan Ketua Pengarah Pendidikkan Malaysia. ( Zuria Mahmud, Amla Salleh, Mohd Salleh Amat, Ruslin Amir )
Mengikut teori Super, peningkatan kerjaya tidak semestinya bermakna kenaikan pangkat dan kedudukan,tetapi juga usaha individu itu
menyesuaikan dirinya dengan kehendak-kehendak tugas yang dijalankan.
( Zuria Ahmad 1998 ) Terdapat ramai guru yang berada di dalam kategori ini pada waktu ini. Mereka terdiri daripada guru-guru yang sentiasa mengambil peluang memperbaiki kemahiran perguruan dengan menghadiri seminar, kursus-kursus, dan ada yang sanggup membayar beribu-ribu ringgit kos melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan sebagainya,tujuan mereka adalah semata-mata untuk untuk mendapatkan ilmu yang lebih mendalam dalam bidang perguruan. Kementerian Pelajaran memberi kelulusan kepada Pegawai Pendidikan Perguruan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana tetapi tidak menjanjikan sebarang kenaikan pangkat atau perubahan tangga gaji



6.0 PROFESION KEGURUAN

Perguruan ialah sebagai satu profesion, Mohd Salleh (1992) menjelaskan bahawa guru sebagai satu pekerjaan profesional perlu mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

Menjalankan satu latihan yang lengkap dan diiktiraf oleh pihak kerajaan.
Perkhidmatan seseorang guru amat diperlukan oleh masyarakat dan negara.
Memerlukan kelulusan dan syarat - syarat tertentu untuk memasuki bidang perguruan.

Perezt & Rumey (1991), profesional dapat dihuraikan sebagai sikap terhadap profesion dan pelaksanaan setiap tugas dalam profesion tersebut. Profesionalisme seorang guru berkait rapat dengan mutu pendidikan. Keberkesanan dalam profesion perguruan mempunyai hubungan yang intim dengan keupayaan dan usaha guru yang gigih untuk menyempurnakan tanggungjawab terhadap pelajar , sekolah dan masyarakat
( K.Suppiah, 2001). Guru yang berpendirian profesional dalam tingkah lakunya dengan memegang kepada nilai-nilai akhlak dan etika yang positif berkemungkinan mampu mempengaruhi pelajarnya daripada ibu bapa mereka sendiri.

Konsep guru profesional merupakan pernyataan untuk sesuatu keadaan yang unggul, iaitu tentang apa yang sepatutnya ada, dan ciri-ciri yang terbaik yang diingini daripada guru-guru. Dengan lain perkataan ia hanyalah pernyataan secara teori sahaja.. Dalam mengamalkan tugas-tugas harian, dari segi realitinya guru-guru berhadapan dengan pelbagai masalah yang menghalang mereka memenuhi konsep guru profesional sepenuhnya. (Robiah Sidin, 2002)

7.0 CIRI- CIRI GURU PROFESIONAL

Secara kesimpulan guru-guru profesional merujuk kepada guru-guru yang menunjukkan atribut atau ciri-ciri tertentu. Mengikut Ornstein dan Levine (1993), ciri-ciri itu ialah:
Berpengetahuan dan mahir
Mengawal syarat dan standard kemasukan dan pengiktirafan yang diperolehi.
Mempunyai kuasa (autonomi) untuk membuat keputusan
Mempunyai status ekonomi dan prestij.

Socket (1996) menambah satu lagi ciri iaitu profesionalisme menyentuh tentang amalan kerja yang bermutu, bermoral dan beretika. Amalan professional ini dihuraikan dengan lebih lanjut oleh Parkay dan Stanford (1998):

tingkahlaku yang profesionalisme – beriltizam patuh kepada keperluan etika dan membuat refleksi tentang tugas pengajaran.
Kesungguhan untuk belajar dan berkembang.
Terlibat secara aktif dalam meningkatkan profesionalisme keguruan iaitu terlibat dalam usaha menjalankan reformasi pendidikan, pensijilan, dan pengiktirafan guru, pengurusan dan pengendalian hal-hal profesionalisme seperti terlibat sama dalam membuat keputusan tentang syarat-syarat untuk bekerja di bidang perguruan.

Menurut Prof. Dr. Robiah Sidin (2002), untuk membolehkan seorang guru membentuk atribut yang disebutkan ia harus membentuk sikap mahu menjadi profesional. Biasanya sikap profesional merangkumi:

· Tidak perlu diselia secara rapi; ia boleh berdikari dalam menjalankan tugas
· Sanggup berusaha sama, tidak hanya bekerja secara berseorangan
· Bertanggungjawab di atas segala tindakan
· Sentiasa memperbaharui pengetahuan dan kemahiran
· Beretika dan patuh kepada tatasusila yang ditetapkan
· Beroperasi secara objektif dan rasional, tidak emosional atau berasaskan pra-sangka
· Naik pangkat berasaskan merit
· Megah dengan kerjanya
· Dorongan utama bekerja untuk memberi khidmat kepada masyarakat.


Greenwood 1971, Wideman 2002, Ryan & Cooper, 1988, Ornstein dan Levine 1993 dan Parkay & Stanford 1988 mencadangkan terdapat sekurang-kurangnya 4 ciri dalam sesuatu profesion:

· Ada ilmu pengetahuan yang mendalam yang perlu dipelajari dan dikuasai sebelum seseorang itu diterima menjadi ahli-ahli dalam sesuatu profesion. Biasanya bidang ilmu itu luas, mendalam dan bersifat tidak kabur iaitu ada aspek falsafah, teori dan praktiknya.

· Kuasa yang ada di kalangan ahli-ahli profesional ialah kecekapan dan kepakarannya dalam bidang tertentu; selalunya pelanggan yang terlibat dengan ahli-ahli profesion itu atau yang menggunakan khidmat sesuatu profesion itu tunduk dan hormat kepada kuasa profesional yang berasaskan kecekapan dan kepakaran seseorang.

· Terdapat kod etika yang diiktiraf untuk mengatur dan mengawal tingkah laku ahli-ahli.
· Masyarakat memberi persetujuan dan kebenaran secara formal dan tidak formal untuk sesuatu profesion itu beroperasi, dan berkembang terus.

· Berasaskan ciri-ciri itu dapatlah disimpulkan bahawa seorang profesional itu menguasai ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang tertentu. Secara umum, penguasaan ilmu secara teoritikal mahupun praktikal, diperolehi menerusi proses pendidikan yang formal di tahap sarjana muda dan lazimnya di tahap sarjana dan doktor falsafah.


Dalam pada itu, telah terdapat satu piawai yang ditetapkan untuk seseorang itu diterima dan diiktiraf menjadi seorang profesional. Sebagai contoh, untuk bidang perguruan di Malaysia ini seseorang itu mesti lulus di peringkat sarjana muda kelas dua, dengan kepujian dan lulus dengan baik latihan mengajar dalam subjek pengkhususan yang ditetapkan. Sesuatu profesion itu berfungsi memberi khidmat kepada orang ramai jadi adalah perlu golongan profesional diberi pengiktirafan dan persetujuan atau kebenaran oleh masyarakat. Justeru kod etika penting untuk mengawal tingkah laku mereka . kod etika menjadi pegangan dan rujukan apabila sesuatu apabila tingkah laku tidak selari dengan budaya, moral dan sosial masyarakat.

Profesion perguruan memerlukan guru yang terlatih, mempunyai sikap ingin terus meningkatkan ilmu, berakhlak dan bermoral tinggi untuk dijadikan teladan kepada anak-anak didiknya.
(Nor Azizah dan rakan-rakan, 1999). Hasil kajian Prof. Maznah Ismail dari Pusat Kajian Ilmu, USM mendapati punca ramai Bumiputera lemah dalam bidang akademik ialah kurang penguasaan terutama membabitkan teknik atau kaedah pembelajaran yang betul dan berkesan dan guru diminta memainkan peranan berkesan dengan menguasai kaedah pengajaran yang lebih komprehensif serta bersistematik. (Utusan Malaysia 2002).




8.0 TATASUSILA PROFESION PERGURUAN

Tatasusila profesion perguruan merupakan suatu garis panduan atau kod-kod tingkah laku yang perlu dipatuhi oleh semua orang yang menggelar dirinya sebagai pendidik dalam sistem pendidikan di Malaysia. Tatasusila tersebut dibahagikan kepada empat bidang tanggungjawab termasuklah pelajar, ibu bapa, masyarakat dan negara dan juga rakan sejawat dan profesionnya sendiri.

8.1 TANGGUNJ JAWAB TERHADAP PELAJAR
Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.
Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.
Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata pelajaran- mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
Menunjukkan suatu cara berpakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.
Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.



8.2. TANGGUNG JAWAB TERHADAP IBU BAPA

Menghormati tanggung jawab utama ibu bapa terhadap anak - anak mereka.
Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumah tangga. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumah tangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana. Mengelakkan diri dari menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar.
Mengelakkan diri dari mengeluarkan kata - kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

8.3. TANGGUNG JAWAB TERHADAP MASYARAKAT

Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan Rukun Negara.. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghormati perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat. Memberi sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawanan masyarakat. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan kami sehari-hari dengan baik.


8.4 TANGGUNG JAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT

Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru. Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baharu dalam profesion perguruan. Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan. Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru. Guru yang dimaksudkan dalam konteks Tatasusila ini ialah orang yang menyebarkan pengetahuan di sesebuah institusi pendidikan peringkat rendah, menengah dan tinggi, termasuk guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi dan penyeliaan pendidikan.


8.5 ISU DALAM PROFESION PERGURUAN

Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan kualiti. (Jemaah Nazir, 2001). Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan. Menyedari hakikat tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia kini cuba menentukan apakah standard kompentensi perguruan di Malaysia.

Kenyataan yang wujud di Malaysia pada hari ini menunjukkan, institusi sekolah benar-benar tercabar oleh tuntutan masyarakat yang sentiasa mengharapkan keberkesanan peranan pengurus pendidikan. Guru sebagai wahana implimentasi Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Negara turut menerima implikasi langsung ekspektasi unggul ibu bapa ini. Usaha membina imej sekolah seperti yang diharapkan masyarakat menjadi beban tanggungjawab yang terpaksa dipikul para guru demi memartabatkan keunggulan profesion ini. Media massa pula memberi fokus yang terlalu meluas terhadap isu-isu yang berkaitan dengan masalah tingkah laku guru yang dianggap berlebihan dalam menangani disiplin atau menguruskan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. (Shukri dan Syed Ismail, 2004).

Sikap akhbar tempatan memfokus berita mengenai guru sebenarnya memberi implikasi yang besar terhadap profesion perguruan. Masyarakat dan media seolah-seolah tidak memberi sokongan dan tidak mahu memahami beban tugas guru yang semakin mencabar. Segala permasalahan berkaitan disiplin pelajar, kegagalan penerapan nilai-nilai murni yang mempengaruhi nilai sosial pelajar di luar institusi sekolah turut dibebankan di bahu pendidik menimbulkan masalah motivasi yang rendah di kalangan guru. Akibatnya, sekolah telah menjadi perhatian semua pihak sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan dengan 1001 peranan pemupukan dan pengembangan aspirasi pendidikan negara. Terlalu banyak harapan yang diberikan hingga meletakkan guru dalam dilema, antara memastikan kecemerlangan akademik dan pembentukan insan seimbang atau mengejar kedua-duanya dengan segala pendekatan pedagogi, walaupun terpaksa


berhadapan pula dengan persekitaran sosial di luar sekolah yang gawat. (Shukri dan Syed Ismail, 2004).

Keadaan ini juga menimbulkan kesan negatif kepada guru iaitu antaranya motivasi yang rendah dalam melaksanakan kerjayanya. Motivasi yang rendah di kalangan guru boleh memberi kesan yang negatif kepada dunia pendidikan yang bersifat futuristik. Keadaan ini akan menjejaskan imej dan status profesion perguruan. Motivasi yang rendah di kalangan guru mempunyai pertalian dengan sikap, nilai dan komitmen bekerja serta sumbangan yang rendah diikuti dengan kegagalan profesion perguruan dalam menangani berbagai masalah, isu dan tuntutan perubahan dalam pendidikan. Implikasi keadaan ini profesion perguruan yang merupakan penggerak wawasan pendidikan negara akan gagal memainkan peranan dan melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Media dan masyarakat sepatutnya memaklumi bahawa sebenarnya profesion perguruan di Malaysia amat unik kerana terdapat pelbagai kategori jawatan guru dan skim gaji guru. Secara tidak langsung, kepelbagaian kategori guru mempunyai implikasi bagi profesion perguruan kerana ia mencerminkan kepelbagaian taraf profesionalisme dalam bidang perguruan dan faktor ini sering dikatakan sebagai faktor yang menyekat daya usaha dan dedikasi guru dalam profesionnya, padahal beban kerja sebagai guru sekolah tidak banyak berbeza di antara kategori-kategori guru. (Suffean Hussin, 1993).

Trend yang berlaku sekarang menunjukkan profesion perguruan kini dimonopoli oleh kaum wanita. Jadual 1 di bawah menunjukkan jumlah guru lelaki dan perempuan di sekolah rendah dan menengah.

Sekolah
Jumlah guru lelaki
Jumlah guru perempuan
Keseluruhan
Rendah
58,138
116,563
174,701
Menengah
46,128
81,645
127,773

104,266
198,208
302,474
Jadual 1 : Bilangan guru mengikut jantina dan jenis sekolah

Salah satu implikasi negatif pendominasian gender, khususnya kaum wanita dalam profesion ini ialah meluasnya berbagai perkembangan yang tidak sihat seperti kenakalan remaja, keruntuhan moral, masalah disiplin, jenayah berat yang semakin meluas disebabkan ketidakmampuan guru wanita menangani masalah sosial yang semakin mencabar. Kekurangan peranan bapa di sekolah serta corak sosiolisasi yang lemah sekali gus menunjukkan profesion perguruan tidak berkemampuan dalam menangani masalah asas pendidikan yang dihadapi oleh masyarakat pada masa ini dan menjelang abad ke-21 (Abd Rahim, 2000). Bagi menangani masalah ini, para guru mestilah melengkapkan diri dengan pengetahuan psikologi kanak-kanak, remaja dan seterusnya mengetahui serba sedikit ilmu kaunseling bagi menangani masalah tersebut di atas. Pelbagai pendekatan perlu diterokai bagi menarik minat pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran seterusnya mengelakkan salah laku pelajar di dalam kelas dan seterusnya mengelakkan masalah disiplin sekolah.

Tanggungjawab dan beban kerja guru yang semakin bertambah menyebabkan guru memainkan bermacam jenis peranan. Mereka bukan sahaja menjadi guru tetapi juga bertugas sebagai kerani dalam mengendalikan urusan sampingan seperti urusan buku teks murid, hal ehwal kebajikan murid, disiplin murid, akaun persatuan dan kelab murid, kegiatan sukan dan ko-kurikulum murid dan berbagai lagi. Dalam menjalankan tugas sebagai pendidik, guru diperlukan membuat perancangan pengajaran, persediaan alat-alat mengajar, menyemak buku murid, menanda kertas peperiksaan atau ujian, mengawas peperiksaan, menghadiri mesyuarat, menghadiri kursus dan sebagainya. Beban tugas yang banyak ini menyebabkan guru semakin tertekan. Oleh itu, guru memerlukan kompetensi pengurusan masa bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut. Antara kriteria guru berkesan ialah guru yang dapat mempamerkan mutu pengajaran yang baik dan dapat menjalankan tugas yang berkaitan dengan pengurusan dengan cara yang berturutan dan semula jadi dalam kedudukannya.

Ramai guru berpendapat beban tugas guru adalah sangat membebankan. Beban tugas yang banyak sebenarnya merupakan fenomena biasa dalam kehidupan pendidik. Kenyataan ini perlu dihadapi dan sedia diketahui sebelum guru tersebut memilih profesion perguruan. Beban tugas yang tidak diuruskan dengan sistematik akan menyebabkan berlakunya tekanan dan seterusnya menghasilkan mutu

kerja yang mengecewakan apabila dibuat penilaian. Guru perlu pandai membuat perancangan dan strategi, membahagikan keutamaan urutan tugas dan tanggungjawab yang perlu dipelajari melalui pengalaman, pemerhatian dan bertanya kepada guru berpengalaman. Guru haruslah sedar atau beringat bahawa setiap langkah mereka sebenarnya dalam pemerhatian dan sentiasa dinilai. Pelajar kini semakin bijak dan boleh memberi penilaian dan tindak balas atas tindakan guru.

Keberkesanan dalam profesion perguruan berkait rapat dengan keupayaan guru dan usaha guru yang gigih untuk menyempurnakan tanggungjawab terhadap pelajar, sekolah dan masyarakat. Antara tumpuan keberkesanan dalam profesion ini adalah sejauh mana berkesannya penggunaan sumber dan teknologi pengajaran, penggunaan kaedah pengajaran, mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat dan berkesan dalam bilik darjah, pengawalan bilik darjah serta keberkesanan menanamkan sikap serta nilai murni pembelajaran di kalangan pelajar (Suffean Hussin, 1993).

Seorang guru yang kompeten seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan yang cemerlang dan terkini terhadap mata pelajaran yang diajar. Mereka juga perlu mempunyai kemahiran menggunakan kaedah pengajaran yang mudah difahami dan dikuasai murid. Penyampaian yang sistematik dan melibatkan pelajar secara aktif akan menjadikan corak pengajaran guru menjadi lebih berkesan. Setiap murid diberi perhatian dan dibantu bagi mengatasi kelemahan masing-masing dan meningkatkan prestasi akademik masing-masing. Jika hal ini dapat dilakukan maka isu kelas tambahan atau tuisyen tidak akan berlaku lagi. Pada masa kini, murid-murid dan ibu bapa menghabiskan banyak masa dan wang untuk pergi ke kelas tuisyen kerana tanggapan ibu bapa terhadap kelemahan guru dalam ilmu pengajaran dan pembelajaran (Abd.Rahim, 2000). Persoalan tentang keberkesanan guru dalam pengajaran sering menjadi tanda tanya apabila masyarakat cuba mengukur dan menilai prestasi mereka dari sudut peningkatan kemajuan akademik, tingkah laku para murid yang cuba dibentuk ataupun tingkah laku mereka sendiri.

Profesion perguruan bukanlah satu profesion yang dapat menghasilkan prestasi yang baik tanpa penglibatan yang penuh dan menyeluruh terhadap murid, sekolah dan masyarakat. Justeru itu, guru perlu dedikasi terhadap profesionnya memandangkan sebahagian

besar masa guru itu dihabiskan dengan berfikir, merancang dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkait dengan pengajaran dan murid-muridnya. Masyarakat umumnya mengharapkan guru-guru yang bertanggungjawab, mempunyai tingkah laku yang baik, rajin, bermoral tinggi dan tidak melanggar norma-norma masyarakat.
Menurut Abd Rahim, 2000, guru yang profesional memerlukan mutu personal yang sesuai dengan tugas dan status guru. Mutu personal guru antaranya meliputi sahsiah dan sikap, minat, kreativiti dan motivasi, kemahiran berkomunikasi, sifat-sifat kepimpinan, pengetahuan am yang luas, dan mempunyai pencapaian yang istimewa yang boleh meningkatkan profesionalisme perguruan. Kelemahan mutu personal guru memberikan kesan yang buruk dan menjejaskan mutu dan keberkesanan pendidikan serta imej perguruan. Guru yang kurang komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menyebabkan imej guru dipandang rendah oleh masyarakat.





8.6 CABARAN DALAM PROFESION PERGURUAN
Guru merupakan agen penyebaran ilmu pengetahuan, yang membentuk generasi masa akan datang, memainkan peranan bagi memastikan generasi muda yang terhasil daripada sistem pendidikan hari ini mampu meneruskan kesinambungannya pada masa akan datang. Walaupun dilanda pelbagai perubahan dalam pelbagai aspek kehidupan, para guru seharusnya mampu untuk menjadi individu yang boleh bersaing di persada dunia dan menjadikan perguruan ini sebagai profesion yang sama hebat dengan bidang kerjaya yang lain.
Negara bergantung sepenuhnya kepada guru yang dianggap sebagai pemangkin sistem pendidikan, perlu bersedia melaksanakan pelbagai usaha bagi menjayakan aspirasi negara. Dasar negara yang kini menekankan kepada “k-workers” atau pekerja berilmu pengetahuan jelas menunjukkan bahawa pekerja berilmu pengetahuan adalah aset terpenting negara.
Memandangkan guru merupakan aset terpenting dalam organisasi pendidikan, maka adalah penting sekali setiap individu dalam perguruan sentiasa ditambah nilai dan diasah sesuai dengan perkembangan semasa. menyatakan, bagi menggunakan sumber manusia yang ada secara berkesan, sesebuah organisasi mesti
memastikan bahawa semua individu bersedia untuk belajar pada setiap kesempatan yang ada dan organisasi yang berjaya adalah yang mengetahui bagaimana mendapatkan komitmen dan keupayaan untuk belajar di setiap peringkat dalam organisasi tersebut (Senge, 1994). Oleh itu, para guru mestilah mengubah persepsi bahawa pembelajaran adalah sebagai amalan sesekali atau bila perlu sebaliknya menjadikan pembelajaran sebagai amalan berterusan atau sepanjang hayat (long life learning).
Persaingan era globalisasi merupakan antara faktor penyebab guru perlu membuat anjakan paradigma dan menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat dalam diri mereka. Guru masa kini perlu melengkapi diri dengan kemahiran berkomunikasi bukan sahaja dalam bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan malahan juga bahasa Inggeris. Penguasaan dwi bahasa dikatakan akan mengangkat profesionalisme perguruan kerana peranan guru hari ini bukan hanya sebagai seorang yang memberi pelajaran tetapi juga sebagai pendidik dan profesion yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Perkembangan pendidikan melibatkan pemindahan ilmu dan teknologi yang memerlukan pengetahuan bahasa Inggeris. Oleh itu, guru perlu mahir dalam bahasa antarabangsa ini bagi membolehkan mereka memperoleh, membina, mengembang, dan memindahkan pengetahuan dan teknologi dalam segenap bidang. Penguasaan bahasa antarabangsa ini perlu dipertingkatkan di kalangan semua guru kerana bahasa tersebut merentas penyebaran pengetahuan yang terdapat di Internet dan juga buku rujukan. Keperluan komunikasi bahasa Inggeris ini juga adalah selaras dengan hasrat negara untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang mempunyai ciri daya kreatif, daya saing, tinggi ketahanan diri, menguasai bahasa dan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa-bahasa antarabangsa, cekap dan berwibawa. Keperluan ini juga selaras dengan dasar kerajaan melaksanakan pendidikan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2003.
Ledakan maklumat pula menuntut pendidik mempunyai kemahiran komputer (Computer literate). Kemahiran ini perlu dikuasai bukan sahaja oleh guru malahan pihak pentadbiran pengurusan. Tuntutan ini menyeluruh kepada semua peringkat
jawatan perguruan kerana tugas pengurusan masa kini menjadi lebih mudah dengan adanya komputer dan kemahiran menggunakannya. Seorang guru dapat mengkaji punca sesuatu masalah dengan cara mengumpul dan menganalisis maklumat serta data yang berkaitan. Dalam proses ini, kemahiran serta ilmu pengetahuan baru dapat diperoleh. Maklumat yang diperoleh ini juga boleh disimpan untuk keperluan jangka masa panjang. Selain itu, kecanggihan teknologi Internet dan jaringan setempat membolehkan perkongsian maklumat ini berlaku dengan mudah, cepat dan tepat. Keadaan ini akan membolehkan perkongsian pengetahuan dan penyebaran ilmu di kalangan pendidik. Proses membuat keputusan dalam menyelesaikan masalah akan dibuat secara lebih sistematik, dan tepat berpandukan analisis maklumat yang dibantu dengan kecanggihan teknologi dan perisian komputer.
Guru digalakkan meningkatkan penguasaan penggunaan teknologi maklumat untuk meningkatkan kepakaran. Teknologi maklumat dan komunikasi membuka peluang yang luas kepada pendidik. Kepantasan perubahan teknologi maklumat memerlukan guru juga bersama menjana ilmu pengetahuan terkini dan sentiasa menyedari perubahan semasa. Contoh ketara dalam teknologi maklumat ialah, bentuk komputer dari komputer meja, kepada komputer riba dan terkini computer tablet yang telah pun digunakan oleh tiga buah sekolah rintis yang melibatkan penggunaan sebanyak 309 unit computer tablet dan dilaksanakan sejak tahun 2004. Pengetahuan komputer di kalangan guru amat penting kerana ia dapat mengatasi banyak kelemahan dan halangan pembelajaran yang bersifat tradisional dan terlampau terikat kepada pendekatan belajar berpusatkan guru (Abd. Rahim, 2000)

9.0 CADANGAN

Beberapa cadangan telah dinyatakan di bawah ini untuk tujuan pengembangan dan peningkatan profesional perguruan :

Kajian bebas tugas mungkin perlu dijalankan dengan lebih terperinci daripada dua sudut penting iaitu sudut keadilan dan sudut tahap minimum

dan maksimum yang ada kaitan dengan keberkesanan dan kesejahteraan individu

Mengambil kira sahsiah calon pendidik terutama daripada aspek status kesihatan mental dan kesesuaiannya dengan tugas kerja.

Mengambil kira ciri- ciri calon- calon ke jawatan pengetua dan pembantu pengetua supaya mereka dapat memainkan peranan sebagai penggerak dalam suasana yang lebih demokratik, mesra, fasilitatif

Latihan latihan kepengetuaan perlu mengambil kira tentang perkembangan diri dan pengetahuan tentang psikologi serta kemahiran berhubung yang lebih berkesan.

Konsep kecekapan guru ( untuk tujuan peningkatan kerja ) mungkin perlu di luaskan dengan mengambil kira pengetahuan dan kemahiran menangani tingkah laku pelajar dan menjalinkan hubungan yang fasilitatif.

Selari dengan perkara perkara di atas konsep prestasi sekolah perlu di luaskan daripada prestasi dalam peperiksaan sahaja kepada turut merangkumi keupayaan mengurangkan tingkah laku tingkah laku bermasalah di kalangan pelajar.

Meneruskan program program yang di jalankan dengan pusat pengajian tinggi seperti program pensiswazahan dan yang serupa dengannya yang boleh mempertingkatkan profesion perguruan.

Menyediakan kaunselor atau konsultan untuk guru menyatakan masalah mereka tanpa risau akan akibatnya ke atas prestasi kerjaya mereka., Kaunselor ini juga boleh membantu guru melihat peluang perkembangan kerjayanya atau pun mencuba menyesuaikan diri dalam persekitaran kerjayanya.


10.0 PENUTUP

Perkembangan kerjaya adalah satu keperluan kepada guru bukan hanya untuk kebaikan pihak lain seperti pelajar dan sekolah tetapi ialah untuk diri guru tersebut secara khasnya dan untuk profesion pendidikan secara amnya. Walaupun begitu masih terdapat beberapa halangan seperti tiada minat guru sendiri, suasana kerja yang tidak memberangsangkan serta polisi sistem pendidikan yang tiada memberi insentif kepada guru yang berusaha memperkembangkan kerjayanya. Keadaan ini sebenarnya boleh diperbaiki jika pihak pihak berkenaan mengambil langkah -langkah yang dicadangkan demi untuk memperkembangkan kerjaya guru serta profesion pendidikkan.
















RUJUKAN

Abd. Rahim Abd. Rashid, 2000. Wawasan dan agenda pendidikan. Utusan Publications.

Abd. Kadir Hj. Abd. Wahab .2001. Persepsi Guru-Guru Kanan Mata Pelajaran Terhadap Tahap Profesionalisme Guru Cemerlang Sek. Men. Projek Sarjana Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia

Abu Bakar Nordin, 1991, Kurikulum: Perspektif dan Perlaksanaan, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur

Azizah Mohd Salleh & Rosadah Abd Majid. 1999. Isu-Isu Pedagogi dan Kurikulum dalam Pendidikan Guru Sains: Prosiding Isu-Isu Pendidikan Negara. Jld.2,26-27 November.Universiti Kebangsaan Malaysia

Gurnam Kaur Sidhu dan Gurcharan Singh Sandhu (2005) . Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) diterbit oleh, Penerbit fajar bakti Sdn.Bhd.(008974-T)

Jemaah Nazir Persekutuan. 1993. Buku Panduan pengurusan Profesional Sekolah Menengah. Bil II : Malindo Printers Sdn.Bhd. Kementerian Pendidikan Malaysia

Jemaah Nazir Sekolah. 1997. Pemilihan Guru Cemerlang. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur

Jemaah Nazir Sekolah. 2000. Pemilihan Guru Cemerlang. Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 2000. JNS.500/345/Jld.17(3) Kementerian pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur


Kementerian Pendidikan Malaysia. 2001. Kursus Semakan Semula Kurikulum Sains dan Matematik. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2004. Surat Pekeliling Ikhtisas 2001-2003, Kuala Lumpur: Bahagian Sekolah.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1990. Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia, Pembangunan Pendidikan 2001 – 2010. Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur.

K.Suppiah A.L Kamoo.2001. Pembangunan profesionalisme berterusan
di kalangan guru-guru di daerah Tampin. Kertas Projek Sarjana.
Universiti Kebangsaan Malaysia

Lilia Halim & Abdullah Mohd Noor. 1998. Pengetahuan isi kandungan (Pedagogical Content Knowledge-PCK) dan peranannya dalam mempelajari cara mengajar. Kertas Kerja Seminar ke 12 Jawatankuasa Penyelaras pendidikan Guru.
Medley, D.M. 1982. Teacher effectiveness, dalam Encyclopedia of Educational research oleh H. Mitzel. New York: Free Pree. 1894 – 1903. Robiah Sidin. 2002. Konsep guru profesional. Profesian Perguruan:
Cabaran Masa Kini (1): 1- 11.

Pressley, M. & Mc Cormick, C. B. 1995. Advanced educational psycholoy for educators, reseachers and policymakers. New York: Harper Collins Colllege Publishers

Robiah Sidin. 2002. Konsep guru profesional. Profesion Perguruan:
Cabaran Masa Kini (1): 1- 11.
.
Rohaty Mohd Majzub. 2002. Konsep guru profesional. Identiti Guru: Isu
Cabaran Dan Halatuju (8):78-85.

Senge, P. 1994. The Fifth Discipline Fieldbook : Strategies and Tools for Building a Learning Organisation, Doubleday : New York

Shukri Hj Zain dan Syed Ismail Syed Mohamad, 2004. Sekolah selamat: Identifikasi profesionalisme guru. Jurnal pengurusan dan kepimpinan pendidikan, Jilid 14, Bil. 02.

Sufean Hussin. 2004. Pendidikan di Malaysia: sejarah, sistem dan falsafah. Ed. Ke-2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tajul Ariffin Noordin. 2002. Konsep guru profesional. Etika Keguruan:
Suatu Analisis Menurut Paradigma Pendidikan Bersepadu
(3):57-65.

Wan Zahid b Mohd Noordin (1996) Persidangan Pendidikkan Nasional : Pengisian wawasan pendidikkan 1993-1995 . Urusetia Program Bina Negara Kementerian Pendidikkan Malaysia , Kuala Lumpur.

Zakaria Ismail (1993). Faktor faktor yang mempengaruhi perlibatan kerja dan kesannya keatas sikap dan tingkahlaku pekerja. ( dalam Wan Faei, Habibah , Narini Ratnasingam penyunting ) Psikologi dan Budaya kerja di malaysia. Prosiding Persidangan Psikologi Malaysia ke -3 1993. Persatuan Psikologi Malysia.

No comments:

Post a Comment