Tuesday, February 17, 2009

Pembelajaran Secara Maya





Pendahuluan

Teknologi internet telah menghasilkan suatu impak yang besar terhadap bidang komunikasi dan pengajaran pembelajaran di universiti. Pengajaran dan pembelajaran secara maya merupakan suatu kaedah baru dalam menyusun dan menyampaikan bahan kuliah kepada pelajar .

Dalam pendidikan, penggunaan internet bukan hanya tertumpu kepada pencarian maklumat sahaja tetapi juga sebagai medium penyampaian bahan pengajaran serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkesan.( Noraffandy & Wan Salihin ). Pembelajaran maya dibina adalah berdasarkan kepada teknologi komunikasi dan hipermedia yang boleh diakses pada bila-bila masa dari mana-mana lokasi.

Bahan-bahan pembelajaran diperoleh sebagai dokumen hipermedia termasuk latihan berasaskan komputer, video, animasi, simulasi, suasana eksperimental dan bahan-bahan berasaskan teks. Modul-modul yang bersaiz besar dipindahkan dalam bentuk cakera padat atau CD-ROM. Gol utama diadakan pembelajaran maya/ universiti maya ialah untuk menyediakan pengubahsuaian maksimum, bebas dan memberi perkhidmatan individu kepada pelajar dan pada masa yang sama menyediakan sokongan tutorial dan kontak sosial. ( Rozinah, 2000)


Latar belakang


Institusi pengajian yang pertama di Malaysia menyediakan sistem pembelajaran secara maya ialah Universiti Tun Abdul Razak ( UNITAR ) dan telah dilancarkan oleh KUB Malaysia Berhad pada bulan Disember 1997.Universiti maya ini menyediakan kualiti pendidikan pada harga yang berpatutan dengan penekanan dalam pembangunan kemahiran melalui penggunaan teknologi state-of-the- art. Model pembelajaran universiti maya ini direka bentuk dengan menggunakan perisian multimedia interaktif dan kemudahan intranet universiti. Komponen reka bentuk ini termasuk interaksi pengajian secara bebas, secara dalam talian dan tugasan bilik darjah maya melalui penilaian kendiri, kuiz dan peperiksaan bergred. Ia menyediakan program pendidikan jarak jauh, pendidikan bebas, interaksi talian, kelas maya, tugasan kerja, belajar secara kumpulan melalui e-mel, perbualan dalam talian, diskusi dalam talian melalui listserv, penilaian , kuiz dan peperiksaan.

Begitu juga , di Universiti Teknologi Malaysia, pembelajaran secara maya telah diperkenalkan sejak tahun 1997. Segala bentuk bahan pengajaran pensyarah merangkumi kuiz, tugasan, pengumuman dan lain-lain disimpan di dalam komputer pelayan untuk diakses oleh pelajar mengikut fakulti masing-masing.Di Fakulti Pendidikan UTM, pihak fakulti mengambil inisiatif menyediakan komputer pelayan khas untuk menyimpan bahan pengajaran pensyarah. Halaman ini dinamakan halaman CYBERDIDIK (http://cyberdidik.fp.utm.my/). Pelajar boleh mengakses bahan pengajaran mengikut subjek yang ditawarkan oleh jabatan masing-masing.


DEFINISI PEMBELAJARAN MAYA


Pembelajaran maya bermaksud pembelajaran dilakukan secara penghantaran dan akses ke koleksi bahan-bahan pengajaran yang berkoordinasikan ke atas media elektronik dengan menggunakan ‘web server’ untuk menyebarkan bahan tersebut atau ‘web browser’ untuk mengaksesnya dan Protocol Internet(IP) dan Protokol Pemindahan HyperText (HTTP) sebagai perantara (pertrukaran).

( Alan Jolliffe, Jonathan Ritter dan David Stevens,2001)


INTERNET SEBAGAI PEMBELAJARAN MAYA

Maklumat Pendidikan Dalam World Wide Web (WWW)

World Wide Web merupakan komponen yang paling popular dalam internet pada masa kini. Ia mula diperkenalkan sejak awal tahun 90-an dan kini digunakan oleh berjuta-juta orang pada setiap saat. Sejak ia menjadi popular pada tahun 1993, WWW menjadi tumpuan dalam bidang perniagaan, kajian dan pendidikan. Ramai pengguna menganggapnya sebagai langkah pertama ke arah terbinanya lebuhraya maklumat. Tetapi tidak ramai yang menyedari potensi WWW sebagai suatu alat pendidikan. Tersebar di serata ruang siber, kita dapat melihat contoh-contoh laman web yang disediakan oleh pendidik, pelajar serta penyelidik untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dan pada masa yang sama memberi peluang kepada para pelajar menyerlahkan kreativiti masing-masing.

Laman ini memaparkan berita-berita tempatan berkaitan alam persekolahan, isu semasa pendidikan, berita teknologi dan lain-lain maklumat untuk komuniti pelajar, guru serta ibu bapa.

















Laman ini menyediakan bahan pembelajaran yang berstruktur, nota lengkap dan ringkas, papan diskusi, bank soalan, latih tubi , contoh-contoh soalan dan lain-lain lagi.
















Bestarinet : Laman ini memberi kemudahan kepada para pendidik untuk berkongsi dan bertukar-tukar maklumat pendidikan. Sekiranya para pendidik mempunyai laman web pendidikan yang ingin dikongsi bersama guru lain, bolehlah dihantar ke laman ini dan ia akan disenaraikan secara automatik.

Mel Elektronik













Mel elektronik atau lebih dikenali dengan e-mel membolehkan kita menyediakan surat secara elektronik untuk dihantar kepada individu atau kumpulan. Kita juga boleh menerima dan membaca surat yang dihantar melalui e-mel. Ramai pengguna internet bergantung kepada e-mel untuk berbagai urusan termasuk pendidikan, perniagaan dan lain-lain. Semua ini dapat dilakukan dengan kos yang agak murah. Terdapat berbagai perisian yang boleh digunakan untuk kemudahan e-mel ini. Antaranya ialah Outlook Express, Netscape Mail, Eudora dan lain-lain.
Kumpulan Diskusi

Internet mengandungi beribu-ribu kumpulan diskusi, sebahagiannya dikawal oleh apa yang disebut listserver. Mana-mana ahli dalam sesuatu kumpulan boleh mengambil bahagian dalam perbincangan atau memulakan sesuatu topik baru. Listserv juga mengedarkan jurnal-jurnal elektronik, majalah elektronik yang biasanya tertumpu kepada bidang kajian tertentu.
Pengkalan Data Katalog

Di UKM pengkalan Data elektronik adalah merupakan pengkalan data yang paling popular di kalangan pelajar. Kita boleh mendapatkan senarai buku-buku yang diperlukan, data soal selidik, artikal-artikal, rancangan pengajaran, ujian dan lain-lain dari pengkalan data tersebut. Kita boleh mengakses katalog dari perpustakaan luar negara yang berkoeperatif dengan UKM.
Perbualan Dalam Internat

Para guru dan pelajar berpeluang berbual dan berkomunikasi antara satu sam alain melalui internat, sama ada secara lisan atau tulisan. Terdapat beberapa kemudahan berupa perisian atau komputer server yang telah menyediakan kemudahan tersebut. Antara bentuk saluran komunikasi atau perisian yang terdapat melalui internat ialah :
Internat Relay Chat (IRC)
Discussion group (eg. Forum)
Internat phone, netmeeting, cooltalk dan sebagainya
Video Conferencing
ICQ, dan lain-lain lagi


KAJIAN KEPUSTAKAAN

Kajian Norin Mustaffa (2004) bertujuan meninjau tahap penggunaan computer di kalangan guru-guru sekolah bestari negeri Perak. Secara umumnya hasil kajian mendapati kemahiran penggunaan komputer, masalah penggunaan komputerdan tahap penggunaankomputer di kalangan 226 orang guru sekolah bestari adalah pada tahap sederhana.

Kajian Kamaruzzaman ( 2001) bertujuan untuk menentukan penggunaan komputer ke atas 200 orang pelajar dan 60 orang pengajar di sebuah institusi pengajian tinggi teknikal

Kajian Kamaruddin ( 1998 ) mengenai ekspektasi dan kepuasan pengguna pangkalan data CD-Rom di kalangan 174 orang pelajar calon sarjana Pendidikan , Universiti Kebangsaan Malaysia, mendapati hanya sembilan jenis pangkalan data sahaja yang kerap digunakan oleh responden.














PEMBELAJARAN MAYA DI UKM

Pembelajaran maya di Ukm menggunakan Portal LearningCareUKM melalui pendekatan hibridadalah berasaskan konsep yang dikemukakan oleh Green (2000). Beliau menjustifikasikan keperluan satu sistem P&P yang bersepadu menggunakan pendekatan hibrid untuk mengintegrasikan kelebihan sistem masa kini yang menitikberatkan teknologi dengan kelebihan sistem konvesional yang mementingkan aspek interaksi pelajar dan pengajar bagi membolehkan penerapan nilai berlaku secara langsung mahupun tidak langsung

Portal LearningCare

Ia terdiri daripada dua komponen utama iaitu LearnCare dan GroupWeb. Komponen LearnCare merupakan sistem pembelajaran maya yang disediakan oleh Pusat Komputer untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang mengintegrasikan strategi pembelajaran maya. Kemudahan utama yang terdapat dalam LearnCare ialah:

MyDesktop
Resources
Groupweb
Myfortfolio

Komponen GroupWeb pula merupakan satu sistem untuk komunikasi berperantarakan komputer. Kemudahan yang terdapat dalam GroupWeb ialah:

Kemudahan Setting
Kemudahan E-mail
Kemudahan Forum

Senario Pembelajaran Maya di Universiti Kebangsaan Malaysia

Dalam konteks perkembangan universiti secara keseluruhannya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dan sedang melaksanakan beberapa projek teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) untuk melahirkan graduan yang berkemahiran, kakitangan yang berkemahiran dalam mengendalikan peralatan dan membangun kemudahan TKM untuk mewujudkan satu warga kampus dan masyarakat yang berpengetahuan sejajar dengan kehendak dan aspirasi negara Malaysia ( Economic Planning Unit 2001). Sebahagian projek ini ialah penggunaan sistem yang berasaskan web kepada warga kampus seperti E-kampus yang mempunyai pelbagai sistem maklumat berasaskan web seperti Sistem Maklumat Kakitangan, Sistem Maklumat Pelajar, Sistem Maklumat Eksekutif dan sebagaimya ( Aziz Deraman & Syahrul Fahmi Abdul Wahab 2003 )

Bermula pada sesi pembelajaran 2003/2004, pihak pengurusan akademik UKM telah memperkenalkan satu sistem untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara dalam talian atau e-pembelajaran melalui portal LearningCare di peringkar universiti. Sistem ini merupakan suatu sistem e-pembelajaran yang dapat dimaanfatkan oleh institusi pendidikan dan juga organisasi lain. Ianya merupakan alat yang boleh digunakan untuk membina masyarakat pembelajaran dan membantu wawasan untuk mewujudkan suatu budaya masyarakat yang sentiasa belajar di sepangjang hayat sebagai suatu realiti.

Sistem LearningCare ini terbahagi kepada 2 kompenan utama berdasarkan kepada cara pencapaiannya. Cara pencapaian yang utama ialah melalui sistem GroupWeb. Salah satu lagi cara pencapaian ke sistem ini ialah melalui sistem LearningCare Portal.





Penggunaan Portal E-pembelajaran di kampus UKM pada masa ini amat mengalakkan. Sejumlah 1069 kursus telah ditawarkan di mana Fakulti Sains Sosial mendahului Fakulti-fakulti lain dengan penewaran kursus sebanyak 195. Di antara kemudahan yang terdapat di dalam Portal ini adalah seperti senarai fakulti mengikut kursus, pengumuman, forum perbincangan, e-mel, hiperangkai kepada sumber pembelajaran, kaedah membuat dan mengurus nota secara dalam talian, penilaian secara dalam talian bank soalan dan lain-lain
( http://pirtal.ukm.my/educare) .

Mengikut senarai atau statistik yang terdapat pada portal LearningCare ini, semua fakulti dan sesetengah pusat di UKM telah menggunakan kemudahan ini untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran mereka. Bahan-bahan yang disediakan di dalam bentuk E ini adalah di gunakan sebagai bahan utama, bahan sampingan dan membantu pengajaran dalam kuliah. Ia juga membantu pembelajaran secara hybrid di dalam pembelajaran dalam kampus dibantu dengan bahan-bahan teks, multimedia dan komunikasi atas talian. Pelajar boleh mengakses bahan ini dan menghantar tugasan kursus melalui sistem ini juga. (Mohd Azul dan Norizan 2004)

KEBAIKAN PEMBELAJARAN MAYA

Tiada jurang masa dan jarak yang menghalang untuk belajar

Antara pusat pengajian tinggi tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya ini ialah UPM melalui Program IDEAL ( Institut Pendidikan & Pembelajaran Jarak Jauh ). Menerusi usahasama dengan syarikat tempatan Mahirnet Sdn. Bhd., UPM julung-julung kalinya menawarkan program Bacelor Komunikasi secara maya. Walaupun yuran agak tinggi berbanding dengan program ijazah saluran biasa, namun ia berbaloi, dengan jadual kuliah yang fleksibel, nota dan tutorial yang boleh didapati dari internet serta perkuliahan secara on-line. Ini dapat jimat kos dan masa terutama bagi mereka yang bekerja sepenuh masa serta tempat tinggal yang jauh daripada universiti.


Menarik lebih ramai pengguna kepada celik teknologi maklumat dan komunikasi(ICT).

“ Pengenalan konsep pembelajaran maya atau e-learning telah mempengaruhi bukan sahaja mekanisme pemindahan pembelajaran bahkan pembangunan dan peranan universiti secara fizikal. Rentetan ledakan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi termasuk ICT yang semakin dinamik telah menyebabkan negara memerlukan bukan sahaja kemahiran menggunakan ICT malah meneroka dan menjana ICT sendiri. Jadi universiti tidak dapat tidak, berada di barisan hadapan untuk menerajui perkembangan ini untuk membudayakan ICT bukan sahaja di kalangan warga kampus malah meningkatkan kesedaran kepada orang ramai supaya celik dan seterusnya mahir dalam ICT. “ (Ucapan Prof. Dato’ Dr. Ir. Mohd Zohadie bin Bardaie, Naib Canselor UPM sempena perasmian Konferensi Kebangsaan Penyelidikan Dan Pembangunan Sains Komputer, 2001)
Sumber maklumat mudah dan cepat



Pembelajaran maya dapat digunakan secara luwes iaitu pelajar dapat mengakses bahan serta mempelajarinya mengikut keperluan sendiri dari segi masa, teknik dan dalam keadaan tidak formal. Ia bersifat kos efektif di mana banyak bahan yang terdapat pada pelbagai laman mampu diakses oleh guru dan pelajar tanpa menggunakan banyak kos. Malah sumber percuma dalam internet banyak mendatangkan keuntungan kepada pengguna untuk tujuan pembelajaran maya dan juga bidang-bidang lain ( Fakhrul, 2002 )

Menurut kajian Marinah dan Ramli(2003), 96.2% daripada responden yang mengikuti program pengurusan perniagaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggunakan laman web sebagai media pembelajaran dan sangat bersetuju bahawa laman web tersebut sangat berfaedah kepada pembelajaran mereka kerana kuliah di bilik darjah dapat disokong dengan maklumat, nota dan arahan yang di masukan ke dalam webCT yang dibina
Meningkatkan minat guru dan pelajar

Penggunaan perisian kursus pendidikan melalui aplikasi CD-ROM dapat membantu meningkatkan pengajaran guru dan menarik minat pelajar. Rio Sumarji Sharifuddin (1997) dalam kajiannya ‘Pengajaran dan Pembelajaran Sains Berbantukan Komputer’ , mendapati pembelajaran yang menggunakan kaedah perayauan (exploratory) dan penemuan lebih berjaya berbanding pelajar yang hanya didedahkan dengan kaedah tradisional.

ISU-ISU

ISU 1 : Sejauh mana tahap ketrampilan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pelajar?

Di UKM terutamanya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, satu ujian literasi komputer dan ketrampilan pelajar Tahun Satu mengakses internet telah dijalankan sepanjang tahun 2004. Hasil dapatan kajian ini adalah tidak begitu memberangsangkan. Carta di bawah menunjukkan tahap ketrampilan pelajar-pelajar Tahun Satu ini di dalam penggunaan komputer. Jadual ini merupakan dapatan kajian yang dijalankan ke ata 269 pelajar Tahun Satu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di UKM (Norizan Abdul Razak, Mohd.Azul & Nik Hairi, 2004).

Carta ini menunjukkan dapatan kajian soal selidik yang diberikan kepada sampel pelajar Tahun Satu. Mejoriti pelajar merasakan mereka tidak pandai dan tidak cekap menggunakan ICT di kampus. Di dalam ujian pengetahuan dan kemahiran ICT yang diberikan kepada mereka, hanya sebilangan kecil sahaja yang mencapai markah yang tinggi dan boleh dikategorikan sebagai pengguna mahir dalam menggunakan internet dan e-mel. Pencapaian mejoriti dari mereka adallah sederhana dalam penggunaan perisian word, internet dan e-mel dan terhad dalam penggunaan Power Point dan Excel (Nik Hairi, Mohd Azul dan Norizan, 2004). Pencapaian pelajar dalam ujian pengetahuan dan kemahiran adalah seperti di dalam Carta 4























ISU 2 : Sejauh mana keberkesanan pembelajaran maya?

Keberkesanan kaedah pembelajaran maya belum dapat ditentukan dan kajian ke atasnya masih lagi dilakukan Konsep pembelajaran maya di negara ini masih lagi di peringkat permulaan dan memerlukan banyak pengkajian ke atasnya bagi meningkatkan kebolehcapaian serta keberkesanannya kepada kumpulan sasaran sama ada pelajar, kakitangan syarikat mahupun pengguna-pengguna internet dari seluruh dunia.

Berdasarkan tanggapan pengurus jualan e-business IBM Corporation kawasan Asia Pasifik, Heah kheng Lye bahawa yang menjadi penghalang kepada kemajuan pembelajaran maya bukanlah teknologinya tetapi sumber manusia. Pendekatan yang betul perlu diterapkan bagi memastikan kejayaan pembelajaran maya. Peralihan atau anjakan teknologi perlu diseimbangkan dengan peralihan pemikiran yang lebih positif.

Tenaga-tenaga pengajar, amnya di universiti mestilah bersikap positif dengan konsep ini serta menggalakkan para pelajar menggunakan kaedah ini. Seharusnya dengan adanya konsep ini, tenaga-tenaga pengajar dapat mengeksploitasinya sebaik mungkin.

ISU 3 : Sejauh mana pelajar berani?? Sejauh mana kualitinya?

Dalam Asiaweek( Vol 26 ) yang lalu melaporkan seorang eksekutif muda yang ingin mengikuti program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari sebuah institiusi pengajian tinggi di Ireland yang ditawarkan melalui internet. Tetapi, sebelum mendaftar beliau terlebih dahulu merujuk dengan Kedutaan Ireland di Kuala Lumpur. Beliau benasib baik kerana tindakan bijaknya itu. Rupanya tidak ada sebuah universiti atau badan-badan yang berkaitan di Ireland yang mengikhtiraf ijazah yang dikeluarkan oleh universiti tersebut.

Jadi, walaupun internet boleh menawarkan segala-galanya, ia bukanlah bermakna apa jua yang ditawarkan itu semuanya benar. Seribu satu macam penipuan yang boleh berlaku.
Dan sekiranya pembelajaran maya itu dikelolakan oleh universiti yang diikhtiraf, apakah kemungkinan pelajar yang mendaftar itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya? Bagaimana jika seorang pelajar yang tidak mengetahui apa-apa pun mendaftar, dan yang mengikuti pembelajaran itu hanya wakil kepada pelajar tersebut. Wakilnya tentulah boleh dipercayai dan bijak, yang boleh melakukan tugasan dengan baik. Tidakkah perkara seumpama ini boleh berlaku kerana siapa yang boleh memastikan bahawa hasil kerja yang dihantar oleh seseorang pelajar melalui internet ialah hasil kerjanya yang asli?

ISU 4 : Buku teks masih releven dalam dunia portal/maya?

Prof. Madya Zainun Ishak dari Jabatan Asas Pendidikan, Universiti Malaya (UM) berkata, buku teks masih diperlukan walaupun telah wujud pendidikan maya. Internet hanyalah sebagai sumber rujukan dan maklumatnya adalah pelengkap satu-satu tugasan sahaja,” katanya. Kebergantungan terhadap pendidikan maya sahaja tidak akan dapat membantu mewujudkan pelajar yang mempunyai jati diri. ( UTUSAN MALAYSIA, 31 JULAI 2001)

Prof. Dr. T. Subhan Mohd Meerah dari Jabatan Perkaedahan dan Amalan Fakulti Pendidikan , UKM berkata, walaupun pendidikan maya boleh dilaksanakan sepenuhnya namun kriteria pelajar yang menggunakannya perlu dikaji. “ Tidak semua pelajar boleh bertahan lama di hadapan komputer dan minat menggunakannya,” katanya. Justeru, buku teks adalah perlu sebagai pilihan kepada para pelajar tersebut. ( UTUSAN MALAYSIA, 31 JULAI 2001)


ISU 5 : Sejauhmana penyediaan prasarana dan kemudahan pembelajaran maya?

Untuk memastikan pembelajran maya dapat diwujudkan dengan berkesan, pihak pengelola mestilah menyediakan prasarana dan kemudahan yang sesuai dengan perkhidmatan yang akan diberi kepada pelajar-pelajarnya.

Kajian yang dilakukan oleh Rosli, Zamalia dan Shafiee (2001) menunjukkan tahap penggunaan ICT yang berkaitan pengajaran dan pembelajaran di kalangan pensyarah UiTM adalah sekitar 30%. Kajian ini jika diperluaskan di peringkat sekolah pasti akan memberikan peratusan nilai yang lebih rendah ekoran kekurangan kemudahan dan kemahiran.

Rancangan yang teliti perlu dibuat, meliputi beberapa aspek seperti ruang, peralatan, kemudahan dan belanjawan. Di antara prasarana bagi penyediaan pembelajaran maya ialah:

Menyediakan makmal komputer
Menyediakan sistem rangkaian dan sistem komputer
Menyediakan perkakasan
Menyediakan perisian
Menyediakan dan melatih kakitangan
Perolehan / penyediaan sumber elektronik

ISU 6 : Kekangan Kewangan?

Di zaman ekonomi meleset ini, masalah kewangan terdapat di mana-mana. Untuk sesebuah pusat pengajian tinggi melaksanakan pembelajaran maya di mana perpustakaan maya beroperasi memerlukan kos yang tinggi. Perpustakaan maya perlu mencari jalan untuk menjana kewangan bagi menampung keperluan.

Di antaranya perkara yang melibatkan kos ialah:

Produk baru di pasaran – CD-ROM , CD , langganan pangkalan data
Perkakasan, perisian dan penyelenggaraan
Latihan untuk kakitangan
Pengubahsuaian Prasarana

Hakikat ini turut diakui oleh Timbalan Pengarah Institut Multimedia, UPM, Prof. Madya Dr. Sidek Abd. Aziz yang berpendapat Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain terutama negara jirannya Singapura dalam aspek infrastruktur IT. “ Tidak semua sekolah mempunyai kemudahan tersebut sedangkan ia adalah alat utama untuk memastikan kejayaan pelaksanaan pendidikan maya,” katanya. Kekurangan tersebutmenurut beliau amat ketara di sekolah-sekolah kawasan luar bandar dan pedalaman. Beliau menambah, kos yang mahal untuk membangunkan sistem tersebut juga merupakan salah satu sebab pencapaiannya masih terbantut. “ Harga komputer yang mahal turut menyumbang kepada perkara tersebut, “ jelasnya. (UTUSAN MALAYSIA, 31 JULAI 2001)
CADANGAN


1. Perlunya satu kajian literasi komputer untuk mengenalpasti tahap literasi komputer pensyarah dan pelajar supaya langkah-langkah menaikkan literasi universiti dapat dijalankan.2. Meningkatkan penglibatan, kefahaman dan kerjasama pihak pengurusan di dalam apa juga aktiviti yang ingin dilakukan oleh pustakawan dan pembantu makmal komputer.3.Meningkatkan kemahiran kakitangan makmal komputer dan perpustakaan maya dengan memperbanyakkan lagi latihan, kursus dan bengkel.

4 Menjalinkan hubungan kerjasama di antara universi-universiti maya dari segi penyelidikan, pendidikan dan kepakaran.

5. Mempertingkatkan lagi keberkesanan pengendalian kurikulum pembelajaran maya.
KESIMPULAN



Kita perlu berusha ke arah memperkasakan pendidikan dan mewujudkan sistem pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia Gabungan pengajaran guru berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi serta penerapan nilai murni semasa pengajaran teutamanya semasa penerokaan ledakan sumber maklumat melalui internet akan dapat menjayakan pelaksanaan pembelajaran maya serta dapat melahirkan warga negara yang gemilang, terbilang dan berakhlak mulia.
Rujukan


Md. Noor Salleh, 1999. Pendidikan Jarak Jauh. Universiti Sains Malaysia: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.

No comments:

Post a Comment