1. PENDAHULUAN
Semenjak mencapai kemerdekaan, Malaysia sebagai sebuah negara membangun telah mengalami berbagai perubahan dari segi ekonomi, sosial, kebudayaan dan pendidikan. Ekoran dari perubahan ini pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk menjadikan rakyat negara ini berilmu dan cemerlang melalui sistem pendidikan yang teratur dan moden. Menurut Mohd Yusop (2003) pendidikan mampu mengubah nasib seseorang termasuk mobiliti sosial kehidupan samada menurun atau menaik dalam sesebuah masyarakat dengan bantuan mekanisme sistem pendidikan.
Dalam usaha mencapai taraf pendidikan yang setanding di peringkat antarabangsa, pelbagai perubahan telah dilakukan dalam sistem pendidikan masa kini. Perubahan ini sejajar dengan matlamat yang terkandung dalam Wawasan 2020 dan Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua, 1991-2000:
Perhatian yang lebih akan diberikan dalam memastikan sistem pendidikan selaras dengan perubahan permintaan dan pasaran buruh. Kawalan yang rapi terhadap sistem pelajaran dan latihan serta usaha-usaha bagi memperbaiki lagi kurikulum yang diajar adalah sesuai dengan keperluan industri (RRJP2: 99).
Matlamat utama pendidikan di sekolah ialah untuk melahirkan insan yang cemerlang dan seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Pelajar yang berkemahiran dan berketrampilan diharapkan mampu menjadi tenaga kerja yang berkualiti serta aset penting kepada negara. Bagi tujuan tersebut kurikulum yang mapan, guru berkualiti, prasarana terkini dan sistem pengurusan pendidikan yang cekap telah menjadi agenda utama dalam perancangan kerajaan seterusnya. Menurut Finch dan Crunkilton (1999), kurikulum pendidikan dibentuk untuk mencapai dua tujuan iaitu pendidikan untuk kehidupan dan pendidikan untuk mendapatkan pekerjaan. Kepentingan kedua-dua tujuan ini saling berhubungan antara satu sama lain.
Aspek pendidikan dan latihan lebih ditekankan lagi dalam teras pembangunan sumber manusia dalam RRJP3 untuk menyediakan tenaga kerja yang berupaya menghadapi cabaran ekonomi berasaskan pengetahuan. Ini dapat dilihat dalam matlamat yang terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga, 2000-2010 yang telah digubal berasaskan Dasar Wawasan Negara (DWN):
Pembelajaran sepanjang hayat akan digalakkan di kalangan rakyat memandangkan ia adalah amat kritikal bagi mereka untuk sentiasa mendapatkan pengetahuan baru dan meningkatkan asas kemahiran selepas meninggalkan sistem pendidikan dan latihan formal…Sistem pendidikan dan latihan akan diorientasikan semula supaya pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang diperolehi dapat menyokong ekonomi berasaskan pengetahuan (RRJP3: 156).
Dalam RRJP3 keutamaan diberi kepada penambahan peluang pendidikan dan latihan yang berkualiti serta pengukuhan asas sumber manusia bagi menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Usaha ditumpukan ke arah mewujudkan sistem pendidikan dan latihan yang cemerlang, meningkat serta meluaskan latihan perguruan terutamanya dalam memantapkan sistem pengajaran mata pelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris. Pembelajaran sepanjang hayat digalakkan melalui pembelajaran jarak jauh serta penubuhan kolej komuniti dan universiti terbuka. Penerapan nilai-nilai positif seperti perasaan milik bersama, pencapaian kecemerlangan, setia dan cinta kepada negara serta disiplin, berwibawa, dedikasi dan sikap positif yang lain juga diberi penekanan.
Dalam RRJP3, pembangunan sumber manusia diteruskan sebagai strategi utama bagi memastikan semua rakyat berkongsi kemakmuran negara dan membangunkan tenaga buruh yang dinamik yang mampu bersaing di peringkat dunia. Peningkatan permintaan kemahiran dan kepakaran teknologi serta tenaga buruh yang dilengkapi dengan pengetahuan tacit dan kemahiran berfikir yang tinggi akan diperolehi dari sistem pendidikan dan latihan yang terdapat di Malaysia samada secara pendidikan formal, pendidikan non formal ataupun pendidikan informal.
2. LATAR BELAKANG PENDIDIKAN
Pendidikan menurut Saedah (1993) bermakna memelihara atau mengasuh anak walaupun tidak menghadkan proses ini kepada kanak-kanak, tetapi memikirkannya sebagai proses pemeliharaan. Menurut Kidd (1973), pendidikan ialah perkembangan dan penyuburan fikiran dan kuasa-kuasa semula jadi yang sistematik. Ia bermula ketika prasekolah berterusan di sekolah dan juga berlangsung seumur hidup. Sistematik di sini membawa maksud bahawa pembelajaran telah dirancang dan meliputi pendidikan formal dan pendidikan non formal.
Namun untuk memahami pengertian pendidikan secara total, diperjelaskan pengertian secara umum menurut Khurshid dalam Tajul Ariffin (1990: 238):
Pendidikan bukanlah hanya memberi tunjuk ajar kepada masyarakat. Ia adalah satu proses bagi sesebuah negara menanam dan memupuk kesedaran dan keinsafan jiwa dan rakyatnya. Tersedia dalam proses ini ialah latihan untuk generasi muda mendapat kepandaian dan kemahiran dalam lapangan hidupan mereka dan juga membuat mereka sedar tentang tugas dan tanggungjawab dalam menyampaikan kebudayaan dan warisan akliah mereka kepada generasi-generasi akan datang dan memberangsangkan mereka dengan idealisma-idealisma hidup. Pendidikan ialah satu latihan akliah, jasmani dan rohaniah dan matlamatnya ialah untuk melahirkan manusia, laki-laki dan wanita, yang berkebudayaan tinggi dan sanggup melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai insan yang baik dan warganegara yang berguna.
Ballantine (1997) telah menyarankan lima fungsi pendidikan dalam masyarakat, iaitu:
a. Pembentuk ahli masyarakat yang produktif dan mewarisi budaya.
b. Penyebar budaya.
c. Pengawal sosial dan perkembangan sosial.
d. Pemilihan, latihan dan kedudukan individu dalam masyarakat.
e. Perubahan dan pembaharuan.
Seseorang individu di sepanjang tempoh hidupnya, sejak dilahirkan sehingga ke akhir hayatnya akan mengalami tiga jenis pendidikan dalam kontinum pendidikan sepanjang hayat iaitu pendidikan formal, pendidikan non formal dan pendidikan informal. Oleh kerana pendidikan ialah proses yang berlaku sepanjang hayat, maka pendidikan tidak terbatas pada ruang, masa ataupun tempat. Walau bagaimanapun, matlamat akhir pendidikan adalah menuju kesempurnaan dan kebaikan selaras dalam FPK bahawa pendidikan haruslah merupakan usaha berterusan dan adalah menjadi matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) untuk menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan dan kemajuan negara dan memberi peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia. Di samping memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran, pendidikan yang diterima oleh pelajar haruslah dapat menimbulkan minat rangsangan dan keyakinan diri pelajar untuk terus mencari ilmu pengetahuan walaupun telah tamat pendidikan formal.
Menurut Sufean Hussin (2002), terdapat pertalian rapat antara taraf kemajuan sesebuah negara dengan taraf kemajuan dalam bidang pendidikan, iaitu negara-negara yang maju mempunyai kualiti pendidikan yang tinggi juga. Rajah 1 menjelaskan pendidikan formal, non formal dan informal merupakan asas penyediaan sumber tenaga manusia yang mahir yang boleh melaksanakan berbagai-bagai kerja dalam berbagai-bagai sektor secara kreatif dan fleksibel.
RAJAH 1 Hubung Kait Pendidikan Dengan Sumber Penyertaan Dan Pembangunan.
Sumber: Sufean Hussin 2002
Maka pendidikan kini penting bagi mencapai matlamat pembangunan sesebuah negera kerana melalui pendidikan, ia dapat menyediakan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang dan menyediakan generasi baru sebagai peserta yang berkesan dalam proses pembangunan. Oleh kerana tahap penyertaan dan pencapaian pendidikan penduduk menjadi penentu utama kemajuan sesebuah negara, Malaysia sendiri mengagihkan dalam lingkungan 20 peratus daripada jumlah perbelanjaan negara dan sekitar lima peratus daripada KNK untuk pendidikan.
2.1 Pendidikan Sepanjang Hayat
Pendidikan sepanjang hayat (PSH) adalah satu konsep yang komprehensif yang mencakupi pembelajaran formal, non formal dan informal dan meliputi seluruh jangka hidup seseorang individu bagi mencapai perkembangan mutakhir dalam kehidupan peribadi, sosial dan professional. Ia menampilkan pendidikan sebagai satu keseluruhan, iaitu pembelajaran yang berlaku di rumah, sekolah, masyarakat dan tempat kerja melalui media massa dan situasi-situasi lain dan struktur bagi mencapai dan mempertingkatkan kecemerlangan diri (Dave et al. 1985).
Menurut Hassan (2002), konsep PSH atau lifelong learning bermaksud peluang yang dapat dan meneruskan pendidikan setiap individu tanpa mengira batas usia. Ia merujuk kepada proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi samada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional, atau secara informal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja.
Manakala definisi yang diberikan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) ialah:
Lifelong learning should extend throughout life, include all skills and branches of knowledge, use all possible means, and give the opportunity to all people for full development of the personality (1977: 2).
Dan sekali lagi definisi PSH telah diperluaskan oleh UNESCO (1997: 253-254) semasa International Adult Education Conference:
Learning throughout life implies a rethinking of content to reflect such factors as age, gender, equality, disability, language, culture and economic disparities…Both [youth and adult learning] are necessary elements of a new vision of education in which learning becomes truly lifelong (The Hamburg Declaration on Adult Learning).
Dalam sesuatu organisasi pula, konsep ini merujuk kepada proses di mana pekerja mendapatkan pengetahuan tacit serta melalui pengalaman bagi meningkatkan kemahiran. Mengikut Raymond (2002), PSH memerlukan pekerja memahami keseluruhan sistem kerja termasuk perhubungan di antara kerja mereka, unit kerja mereka dan organisasi. Pekerja diharapkan memperolehi kemahiran baru, menggunakannya dalam kerja dan berkongsi maklumat dengan pekerja lain.
Pengalaman yang bersifat pengetahuan seperti ini tidak akan dapat dipelajari secara bentuk yang biasa, tidak juga secara formal dan latihan. Ianya memerlukan pusingan yang berterusan, mencipta, dissemination dan memahami erti pengkongsian ilmu. Berdasarkan kepada pandangan di atas, PSH dapat disimpulkan kepada proses seperti berikut:
i. Proses pembelajaran seseorang secara berterusan samada bagi tujuan meningkat kemahiran atau membangunkan kerjaya daIam sesuatu bidang pekerjaan pada masa sekarang mahu pun pada masa hadapan; dan
ii. Proses pembelajaran seseorang bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tidak akan berakhir apabila seorang itu meninggalkan aIam persekolahan, ianya adalah proses sepanjang hayat.
Konsep PSH mempunyai tiga prinsip dasar, iaitu;
1. pembelajaran sepanjang tempoh waktu hidup secara sedar dan bertujuan;
2. pembelajaran dalam pelbagai keadaan; dan
3. pembelajaran kendiri iaitu individu mempunyai motivasi untuk sentiasa belajar tanpa ada unsur paksaan (Cropley 1980).
Di Malaysia dalam RRJP3, penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat juga digalakan dan dilaksanakan di kalangan rakyat memandangkan ia adalah amat kritikal bagi mereka untuk sentiasa mendapatkan pengetahuan baru dan meningkatkan asas kemahiran selepas meninggalkan sistem pendidikan dan latihan formal. Oleh kerana pembelajaran sepanjang hayat akan menjadi penting dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, peluang akan disediakan kepada mereka yang tidak mempunyai pendidikan asas yang kukuh untuk menyambung pendidikan di luar sistem persekolahan atau di tempat kerja serta belajar mengikut keupayaan mereka.
Peluang mengikuti kursus latihan dan program pendidikan yang mampu dibiayai akan disediakan melalui internet atau media ICT lain supaya ramai mendapat peluang untuk memperolehi kecekapan dan kelayakan baru bagi kemajuan kerjaya mereka. Di samping itu, penubuhan kolej komuniti dan universiti terbuka serta pendidikan jarak jauh akan menyediakan satu lagi saluran bagi mereka untuk melanjutkan pendidikan di peringkat tertiari. Langkah tersebut akan membolehkan mereka yang telah meninggalkan sistem persekolahan kerana memasuki pasaran buruh berpeluang untuk terus mendapatkan pendidikan dan latihan (RRJP3).
Menurut Sufean Hussin (1993) lagi, pendidikan non formal dan informal berlaku sepanjang tempoh hidup individu. Walau bagaimanapun pendidikan non formal berlaku dalam tempoh masa tertentu kerana ia lebih sistematik daripada pendidikan informal. Rajah 2 di bawah menjelaskan kedudukan pendidikan formal, non formal dan informal dalam kontinum PSH.
I1 II I2
Umur
(Tahun) A B C D E
0 5-7 18-25 60
Lahir Jangka Hayat Mati
I1: Pendidikan Non Formal & Informal (Kanak-kanak)
II: Prasekolah & Pendidikan Formal
I2: Pendidikan Non Formal & Informal (Dewasa)
A: Asuhan di rumah atau pusat asuhan
B: Tadika
C: Sekolah, Maktab, Universiti
D: Pendidikan Dewasa
E: Pendidikan Berterusan
RAJAH 2 Kontinum Pendidikan Sepanjang Hayat
Sumber: Sufean Hussin 1993
Sementara Rajah 3 di bawah menunjukkan perspektif keseluruhan PSH pada aspek mutu kehidupan dan pembangunan. Mutu kehidupan meliputi keselesaan hidup dan memenuhi keperluan kehidupan individu dan masyarakat. Pembangunan pula meliputi konteks alam sekitar, sosial, ekonomi dan politik. Ia juga meliputi dimensi pembangunan peribadi, sosial dan vokasional.
Individu
Perkumpulan dalam Masyarakat
- keluarga
- masyarakat
- negara
MUTU KEHIDUPAN
PEMBANGUNAN
Dimensi
- peribadi, professional, sosial, vokasional
Konteks Pendidikan
- alam sekitar, pemakanan, perumahan, kesihatan, kebudayaan, moral, kerjaya, teknologi,ilmu, ekonomi, politik
-
PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT
Program-program
Kursus-kursus
Pendidikan Berterusan
Keadaan formal, non formal,
informal
RAJAH 3 Kerangka Pendidikan Sepanjang Hayat
Sumber: Sufean Hussin 2002
2.2 Pendidikan Informal
Menurut Sufean Hussin (1993), pada peringkat bayi dan kanak-kanak, individu itu akan menerima pendidikan awal dalam institusi keluarga di rumah. Pendidikan ini berbentuk informal, iaitu pengalaman pembelajaran yang pelbagai, menyentuh aspek persediaan kanak-kanak bagi mewarisi budaya hidup masyarakat mereka. Kanak-kanak menerima pengalaman pembelajaran dari segi bahasa sebagai media untuk komunikasi dan sosialisasi; pembelajaran nilai-nilai kehidupan yang membina sistem personaliti dan budi pekertinya; dan pembelajaran pelbagai kemahiran bagi memenuhi keperluan perkembangan hidupnya.
Pendidikan informal ini melalui pelbagai cara yang tidak rigid dan tidak khusus seperti melalui interaksi berbahasa dengan ibu bapa dan rakan-rakan; melalui media permainan bagi memantapkan kemahiran psikomotor; melalui media komunikasi seperti radio dan televisyen; dan melalui bahan-bahan bercetak seperti buku, majalah dan akhbar.
Pendidikan informal yang diterima oleh kanak-kanak dalam tempoh 5-6 tahun pertama hidupnya memberi kesan yang menyeluruh dan mendalam. Pengalaman pembelajaran asas dan utama yang menentukan haluan perkembangan pada aspek intelek, sikap, nilai, emosi dan jasmani individu pada masa berikutnya. Suasana rumahtangga dan taraf pendidikan dan pemikiran ibu bapa merupakan faktor penting yang akan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Maka, di sinilah letaknya kepentingan pendidikan sebagai agen pembangunan individu dan seterusnya masyarakat. Justeru, pendidikan informal yang diterima oleh kanak-kanak dalam institusi keluarga dan daripada interaksi persekitaran semula jadi dan persekitaran sosial, merupakan pendidikan yang sama penting dan kadangkala lebih penting daripada pendidikan formal yang diterima di sekolah.
Seperti yang dinyatakan oleh Mohd Izham (t.th.), pendidikan informal ialah pendidikan secara tidak langsung berasaskan pengalaman dan pemerhatian seseorang itu dengan orang dan keadaan dalam persekitarannya. Ia melibatkan interaksi sosial atau proses sosialisasi. Pembinaan sikap, nilai dan pandangan seseorang kebanyakan berlaku tanpa disedari oleh individu itu sendiri kerana pembelajaran berlaku secara informal. Pendidikan informal bermula dari rumah, di bawa ke sekolah dan ke dalam masyarakat. Ia merupakan PSH.
Pendidikan informal menurut Coombs et al. (1973: 10-11) pula, ialah:
...the truly lifelong process whereby every individual acquires attitudes, values, skills and knowledge from daily experience and the educative influences and resources in his or her environment – from family and neighbours, from work and play, from the market place, the library and the mass media.
Sungguhpun seseorang individu telah melalui pendidikan formal dan pendidikan non formal dan ia memperolehi kemahiran asas 3M dan fungsi kemahiran-kemahiran lain, namun hal ini masih belum mencukupi. Ini memandangkan bahawa ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang sentiasa berkembang dengan pesat, pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi pada masa sekarang akan menjadi ketinggalan (obsolete) dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang. Ciri utama pendidikan informal ialah pembelajaran kendiri dan ketiadaan interaksi pengajar-pengajar seperti dalam pendidikan formal dan non formal. Individu sendiri yang berusaha belajar dan memahami bahan-bahan yang dilihat atau maklumat yang didengar. Dengan demikian pendidikan informal melalui pembelajaran kendiri adalah cara utama untuk sentiasa mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran sejajar dengan perkembangan yang berlaku. Kepekaan individu menghayati prinsip dan konsep PSH merupakan diri individu moden dan progresif.
Di antara media yang berpengaruh dalam pendidikan informal ialah pameran, ekspo, tayangan filem, surat khabar, buku, radio, televisyen dan internet. Media surat khabar, radio, televisyen dan internet menyebarkan dengan cepat tentang kejadian dan perkembangan terbaru dalam semua bidang dari peringkat tempatan hingga ke peringkat antarabangsa. Media-media berkenaan lebih berkesan dan berpengaruh mengubah pemikiran, sikap dan nilai semua golongan dan lapisan masyarakat kerana liputan media tersebut lebih relevan dengan persoalan kehidupan manusia. Contohnya televisyen dan radio sering digunakan untuk pembelajaran jarak jauh bagi menjangkau masyarakat di kawasan pedalaman. Satu cara lain pembelajaran jarak jauh ialah kursus gaya pos yang proses pengajaran dan pembelajaran adalah melalui media pos.
Maka, pendidikan informal adalah proses pendidikan yang berlaku seumur hidup seseorang itu. Seseorang itu akan memperoleh dan menambah pengetahuan, kemahiran dan membentuk sikap serta pandangan berdasarkan pengetahuannya setiap hari samada di rumah, di sekolah, di tempat kerja ataupun dalam pergaulannya dalam masyarakat. Malah dia juga memperolehi pengetahuan dan sikap secara tidak langsung dari media massa termasuk internet. Walaupun pembelajarannya tidak sistematik dan tidak teratur tetapi melalui pendidikan informal inilah seseorang itu memperoleh kebanyakan pengetahuannya.
Kesimpulannya, pendidikan informal adalah proses pendidikan yang berlaku seumur hidup dan cara mereka memperolehi pengetahuan, kemahiran dan perubahan sikap adalah melalui kaedah pembelajaran yang tidak sistematik.
2.3 Pendidikan Formal
Pendidikan formal pula ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dalam sesuatu institusi yang mempunyai struktur dari segi kronologi dan hirarki. Ia selaras dengan falsafah dan sistem pendidikan sesebuah negara dan meliputi jangka masa dari sekolah rendah hingga ke universiti (Ibrahim 1992; Karsono 1993). Dalam kajian Badrul Hisham (1995), beliau telah menjelaskan definisi tentang pendidikan formal berdasarkan kenyataan Harman (1976) seperti berikut:
Formal education is the term most often employed to identify conventional schools and the normative school system. Formal education suggests an organized enterprise involving clearly defined groups of students and teachers. Education in this sense of schooling provides organized conditions for learning, enabling the students to acquire new knowledge and to put into a general context the facts and experience they have absorbed in unorganized learning situations.
Menurut Coombs et al. (1973: 10-11), pendidikan formal ialah:
...the hierarchically structured, chronologically graded ‘educational system’, running from primary school through the university and including, in addition to general academic studies, a variety of specialized programmes and institutions for full-time technical and professional training.
Kemudian Coomb dan Ahmad (1974) mendefinasikan pendidikan formal sebagai pendidikan yang sangat diinstitusikan, berperingkat-peringkat mengikut umur dan berstruktur, mengikut hirarki yang berlangsung dari sekolah rendah hingga ke universiti.
Manakala menurut Sufean Hussin (1993) pendidikan formal dijalankan oleh orang yang terlatih, mereka ini mempunyai autoriti dan pengaruh. Pendidikan ini meliputi pendidikan sekolah rendah, sekolah menengah, menengah tinggi atau prauniversiti dan pendidikan tertiari seperti universiti, kolej dan maktab. Menurut Doll (1986) kurikulum sekolah adalah kandungan pelajaran formal dan informal serta proses di mana pelajar mendapat pengetahuan dan kefahaman, membina kemahiran dan mengubah sikap, kegemaran dan nilai yang diajar di sekolah (Ishak Ramly 2003).
Di Malaysia, pendidikan formal ialah pendidikan yang dikendalikan di bawah Sistem Pendidikan Kebangsaan (SPK) sebagaimana termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, SPK terdiri daripada:
i. pendidikan prasekolah;
ii. pendidikan rendah;
iii. pendidikan menengah;
iv. pendidikan lepas menengah; dan
v. pendidikan tinggi.
Walau bagaimanapun sekolah ekspatriat tidak termasuk dalam SPK. Mengikut akta itu juga, terdapat tiga kategori institusi pendidikan dalam SPK, iaitu:
i. institusi pendidikan kerajaan;
ii. institusi pendidikan bantuan kerajaan; dan
iii. institusi pendidikan swasta.
Maka, kesimpulannya pendidikan formal ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dalam sesuatu institusi yang mempunyai struktur dari segi kronologi dan hirarki. Ia selaras dengan sistem pendidikan sesebuah negara dan meliputi jangka masa dari sekolah rendah hingga ke universiti.
2.4 Pendidikan Non Formal
Pendidikan non formal (PNF) ialah segala bentuk aktiviti pendidikan yang tersusun dan sistematik untuk sesuatu golongan berdasarkan keperluan dan aspirasi mereka (Carton M. 1985). Nor Azizah Salleh (1990) dalam kajiannya mendefinisikan PNF adalah apa jua pendidikan yang terancang tetapi di luar sistem pendidikan sekolah atau institusi pengajian tinggi. Sebagaimana di terangkan juga oleh Jarvis (2001:21) bahawa PNF membawa maksud “… any form of systematic learning conducted outside of a formal organization.” Ianya bermatlamat tersendiri mengikut pihak penganjur untuk peserta-peserta tertentu samada untuk memberi pengetahuan, kemahiran, minat dan nilai tertentu yang membawa kepada keadaan positif kepada peserta. Agensi kerajaan yang memberikan PNF termasuklah FELDA, KEMAS, RISDA dan Kementerian Pertanian. Di antara programnya adalah berkaitan dengan pertanian, kesejahteraan keluarga dan pendidikan vokasional. Pendidikan yang dianjurkan oleh pihak swasta adalah seperti Malaysian Trade Union Congress (MTUC) yang memberi kursus kepimpinan dan kesedaran tentang hak-hak pekerja. Badan sukarela seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) mengadakan kursus pertolongan cemas kepada ahli-ahlinya.
Sementara kajian yang dibuat oleh pasukan SEAMEO (1974: 2) telah memilih definisi yang diutarakan oleh Coombs et al. (1973: 10-11) tentang PNF yang dihuraikan seperti berikut:
…any organized educational activity outside the established formal system – whether operating separately or as an important feature of some broder activity – that is intended to serve identifiable learning clienteles and learning objectives.
Setahun kemudian, Coombs dan Ahmed (1974: 8) telah mendefinasikan semula PNF sebagai:
...any organized, systematic, educational activity carried on outside the framework of the formal system to provide selected types of learning to particular subgroups in the population, adults as well as children.
iaitu apa sahaja aktiviti pendidikan yang tersusun dan sistematik yang dijalankan di luar rangka kerja sistem formal untuk memberi jenis-jenis pembelajaran yang terpilih, untuk kumpulan tertentu dalam masyarakat, samada untuk orang dewasa atau kanak-kanak.
Menurut Mohd Izham (t.th.) pula, PNF merangkumi apa jua pendidikan di luar sistem pendidikan formal yang dirancang dengan matlamat tertentu untuk kumpulan sasaran tertentu untuk menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan individu dan kumpulan samada dibidang vokasional, sosial, keperluan profesional dan peribadi. PNF disediakan oleh pelbagai agensi samada kerajaan, swasta, badan sukarela dan individu.
PNF tidak semestinya mengeluarkan sijil atau mengadakan peperiksaan. Peserta pendidikan ini merangkumi kanak-kanak prasekolah sehinggalah kepada orang yang telah bersara. Tempat dan masa ia diadakan juga lebih anjal dari sistem persekolahan: samada selepas waktu pejabat, semasa cuti sekolah atau hujung minggu. Contoh PNF ialah pendidikan prasekolah, kursus vokasional yang dianjurkan oleh GiatMARA dan pihak swasta, kursus agama di masjid dan surau, kelas bahasa asing anjuran swasta, kursus dalam perkhidmatan untuk guru, kursus pertanian untuk petani, kursus ekonomi rumahtangga untuk surirumah, kursus motivasi untuk remaja, kursus akademik jarak jauh, kursus kesihatan di klinik untuk ibu mengandung, dan pelbagai kursus, seminar, forum dan bengkel anjuran persatuan-persatuan di negara ini.
Ishak Ramly (2003) pula menghuraikan PNF selalunya dikendalikan oleh semua anggota masyarakat secara kolektif dan instruktif. Walaupun begitu ia hanya terbatas dalam kelompok dan komuniti itu sahaja. Ia tidak mengikut waktu dan jadual khusus dengan objektif yang khusus dan berstruktur. Sistem pengurusannya masih sederhana dan komunikatif.
Antara ciri-ciri PNF yang diutarakan oleh Sufean Hussin (1993) ialah:
1. Para pesertanya tidak terbatas kepada golongan muda, dewasa atau golongan tua. Namun demikian, ia tertumpu kepada mana-mana golongan tertentu dengan matlamat dan objektif tertentu.
2. Ia dijalankan atau diorganisasikan oleh sesuatu pihak atau agensi.
3. Suasana pembelajaran adalah formal iaitu ada kurikulum yang berstruktur dan formal serta ada infrastruktur seperti bilik darjah dan kemudahan-kemudahan pembelajaran dan pengajaran.
4. Ada organisasi pentadbiran dan pengendalian yang kemas berserta sumber-sumber sokongan seperti sumber kewangan dan sumber tenaga pengajar.
5. Ia kadangkala mempunyai sistem penilaian atau peperiksaan tertentu dan juga penganugerahan sijil bagi mengesahkan penyertaan dan pencapaian.
PNF melengkapkan pendidikan di sekolah kerana apa yang diajar di sekolah lebih kepada akademik. Ianya juga memberi peluang untuk memberi pendidikan berterusan kepada mereka yang telah bekerja untuk meningkatkan kerjaya masing-masing. Ia juga memberi peluang pendidikan kepada mereka yang tercicir dari sistem pendidikan formal melalui kelas akademik swasta atau pelajaran gaya pos seperti yang dijalankan oleh Maktab Adabi, Stamford College dan lain-lain. Selain itu, ia memberi peluang kepada individu untuk belajar menimba ilmu baru di bidang yang di minati, contohnya pelajaran bahasa Arab, kursus pengurusan perniagaan, kursus komputer, penulisan skrip filem atau seni silat.
PNF di Malaysia telah lama diadakan memberi khidmat pendidikan kepada warganya oleh kerajaaan semenjak merdeka lagi. Pihak kerajaan telah memberi pendidikan awam percuma, terutama pendidikan literasi pada tahun 1950an. Begitu juga agensi pendidikan agama dan badan sukarela. Selepas tahun 1960an, pihak swasta turut aktif memberi sumbangan ke arah PNF di Malaysia (CAP 1997; NorAzizah Salleh et al. 1996). PNF kini mudah diperolehi kursusnya di bandar-bandar di mana pelbagai kursus professional, akademik dan vokasional diberi oleh pihak swasta. Kursus ini dikenakan yuran dan sijil dikeluarkan.
Jenis-jenis pendidikan yang tergolong dalam PNF seperti yang dinyatakan oleh Sufean Hussin (1993) ialah:
i. Pendidikan berterusan (continuing education)
ii. Pendidikan lanjutan (further education)
iii. Pendidikan dewasa (adult education), dan
iv. Pendidikan berulang (recurrent education).
i. Pendidikan Berterusan
Secara amnya dapat ditakrifkan sebagai pendidikan yang memberi tumpuan kepada individu (kanak-kanak, remaja, dewasa) yang sudah kenal huruf dan sudah memperolehi kemahiran asas. Ini bermakna individu yang buta huruf tidak tergolong sebagai peserta dalam pendidikan berterusan. Pada masa ini pengertian pendidikan berterusan telah disempitkan kepada kaum remaja atau orang dewasa yang telah melalui persekolahan formal wajib (Sufean Hussin 1993). Sementara Jarvis (1983) menyatakan bahawa pendidikan berterusan adalah pendidikan bersifat lepas tempoh persekolahan.
Menurut Siti Nor Musa (2003) pendidikan berterusan sebagai sebahagian sentuhan konsep PSH bermaksud peluang untuk mendapat dan meneruskan pendidikan setiap individu tanpa mengira batas usia. Ia selaras dengan konsep pendemokrasian pendidikan ke arah proses pembangunan sumber manusia yang bersifat menyeluruh. Pendidikan berterusan menurut Sharan dan Mazanah (2001) ialah pendidikan lepas program ijazah, juga pengetahuan terkini dalam profesion mereka.
ii. Pendidikan Lanjutan
Pendidikan ini adalah untuk golongan yang sudah kenal huruf dan yang sudah melalui pendidikan wajib. Pendidikan wajib dalam konteks Malaysia ialah pendidikan sekolah rendah iaitu semua kanak-kanak wajib mengikutinya seperti yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) melalui Seksyen 29A(2) yang mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun. Sementara Seksyen 29A(4) pula menyebut ibu bapa yang gagal mematuhi peruntukan 29A(2) boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya (Mohd Izham & Ab. Halim 2005).
Dalam tahun 1950an hingga akhir tahun 1970an pendidikan jenis ini diadakan dengan meluas di Malaysia melalui Sekolah Lanjutan Kampung bagi menampung kanak-kanak yang lebih umur dan tercicir daripada pendidikan formal. Sekolah ini menyediakan pelajaran akademik dan vokasional untuk peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Kursus vokasional yang diadakan ialah pelajaran perdagangan, pelajaran teknik dan pelajaran khas untuk orang pekak (Sufean Hussin 1993).
iii. Pendidikan Dewasa
Pendidikan dewasa ialah pendidikan yang bersifat liberal atau terbuka yang diadakan di waktu kelapangan yang seseorang dewasa boleh memperbaiki dan meluaskan pengetahuan, kemahiran atau hobinya. Coles (1972) mentakrifkan pendidikan dewasa sebagai pendidikan untuk orang dewasa lelaki dan perempuan bagi memenuhi keperluan dan minat yang pelbagai menurut tahap kebolehan dan kefahaman dan bagi mengisi perubahan peranan dan tanggungjawab dalam kehidupan. Di Malaysia pada tahun 1960an, pendidikan dewasa mempunyai objektif utama untuk membasmi buta huruf di kalangan kaum dewasa, khususnya mereka di kawasan luar bandar. Kini, tempat dan peranannya digantikan dengan bentuk dan nama baru yang dikenali sebagai pendidikan komuniti, pendidikan jarak jauh, pendidikan maju dan pendidikan berterusan (Ishak Ramly 2003).
Walaupun terdapat pelbagai definisi mengenai pendidikan dewasa, pada tahun 1997 UNESCO telah memberikan definisinya iaitu:
Adult education denotes the entire body of learning processes taking place, formal or otherwise, whereby people regarded as adults by the society to which they belong develop their abilities, enrich their knowledge, and improve their technical or professional qualifications or turn them in a new direction to meet their own needs and those of their society. Adult learning encompasses both formal and continuing education, non-formal learning and the spectrum of informal and incidental learning available in a multi-cultural learning society, where theory-and practice-based approaches are recognized (The Hamburg Declaration on Adult Learning, 1997: 253).
Menurut Sharan & Mazanah (2001) terdapat pelbagai istilah yang telah digunakan dalam menerangkan pendidikan dewasa seperti pendidikan berterusan, pendidikan sepanjang hayat, pendidikan non formal dan latihan kepada golongan yang telah berumur 17 tahun ke atas.
iv. Pendidikan Berulang
Pendidikan ini pula adalah pendidikan bertempoh-tempoh untuk golongan dewasa yang sedang bekerja. Seseorang pekerja berhenti bekerja sementara waktu untuk mengikuti kursus selama dua hingga empat tahun. Selepas itu menyambung kerjanya semula di tempat yang sama atau di tempat lain. Selepas bekerja untuk beberapa tahun pekerja itu mengikuti kursus semula dan bekerja balik semula. Pendidikan jenis ini disebabkan oleh perubahan pembangunan teknologi dan industri dalam sektor ekonomi. Pengalaman pembelajaran dalam pendidikan berulang adalah seperti formal tetapi memberi tumpuan terhadap peningkatan kemahiran ikhtisas atau vokasional.
Kumpulan sasaran program PNF yang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan institusi termasuk badan kerajaan, pertubuhan, badan sukarela dan swasta ialah orang awam yang terdiri dari pelbagai kumpulan seperti golongan remaja, suri rumah, wanita bekerja, petani, pekerja pejabat, peniaga, pekerja kilang, pekerja professional dan pesara tidak lagi berada dibangku sekolah, justeru pendidikan yang boleh diberikan ialah PNF. Secara amnya, kursus-kursus dalam domain PNF adalah bercorak praktikal, vokasional spesifik dan releven untuk sesuatu kumpulan sasaran dan untuk sesuatu maksud atau tujuan. Oleh itu, program atau kursus kurikulum dan aktiviti adalah fleksibel dan pelbagai.
Sufean Hussin (1993) menyimpulkan bahawa bentuk, jenis dan matlamat PNF adalah pelbagai dan mempunyai skop yang luas, para pesertanya pula terdiri daripada pelbagai golongan individu, iaitu golongan muda, belia, wanita dan orang tua. Kepentingan PNF telah ditekankan oleh Doraisamy (1984), menurut beliau oleh kerana pendidikan merupakan satu proses yang berterusan, maka PNF yang pada umumnya untuk keperluan orang dewasa hendaklah diteruskan selepas tamat pendidikan formal.
PNF sering digunakan untuk menerangkan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang berlaku di luar dari sistem pendidikan formal. Aktiviti-aktiviti ini melibatkan sekumpulan pelanggan, dianjurkan oleh sesuatu komuniti, pihak swasta, NGOs yang dijalankan di luar persekitaran sekolah. Latihan pula lebih menekankan latihan yang dijalankan dalam perkhidmatan, bengkel, seminar, kuliah dan kursus-kursus yang dianjurkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran seseorang itu (Sharan & Mazanah 2001).
Secara umumnya PNF ialah segala bentuk aktiviti pendidikan yang tersusun dan sistematik untuk sesuatu golongan berdasarkan keperluan dan aspirasi mereka yang tidak termaktub dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.
3. ISU-ISU PERBINCANGAN
ISU 1: Tidak Ada Garis Pemisah Yang Jelas Antara Pendidikan Formal Dengan Pendidikan Non Formal.
Dalam memperjelaskan isu ini, perlu dilihat kembali definisi yang diambil kira mengenai pendidikan formal dan PNF. Secara umumnya pendidikan formal ialah sistem pendidikan yang telah distrukturkan secara kronologi oleh sistem pendidikan sesebuah negara dan meliputi jangka masa dari sekolah rendah hingga ke peringkat tertiari. Sementara PNF pula ialah apa jua aktiviti pendidikan yang tidak distrukturkan dan dijalankan di luar sistem formal tadi, iaitu merangkumi apa jua pendidikan di luar sistem pendidikan formal.
Perbezaan antara pendidikan formal dengan PNF mudah dilakukan setelah mengenal pasti apa yang dikatakan pendidikan formal. Maka PNF ialah apa yang tinggal setelah pendidikan formal dikenal pastikan. Namun begitu, masalahnya menurut Carron dan Carr-Hill (1991) dalam Rogers (2004), PNF hanya dapat difahami jika ia berkaitan dengan pendidikan yang disediakan dalam sistem pendidikan di sekolah dan kolej. Menurut Coombs dan Ahmad (1974) pula, oleh kerana asas pendidikan yang melibatkan pendidikan informal, formal dan non formal bukanlah satu tutupan kedap air maka ada kalanya ia bertindihan, adakalanya secara tidak disangka-sangkakan ia bergabung.
Kekeliruan tentang perbezaan antara pendidikan formal dengan PNF jelas dilihat oleh Evans (1981) yang menerangkan bahawa sempadan antara PNF dengan pendidikan formal adalah jelas dengan melihat perbezaan antara sekolah dengan bukan sekolah... tetapi dalam aktiviti-aktiviti tertentu tidak jelas samada ia melibatkan pendidikan formal atau PNF. Perkara ini telah diperkuatkan lagi dengan kenyataan Hallak (1990) yang menyatakan bahawa batas antara pendidikan formal dengan PNF adalah kabur.
McCall (1970: 8) mendefinisi pendidikan formal sebagai the regular graded school system dan PNF sebagai the entire range of learning experiences outside of the regular, graded school system.
Menurut Paulston (1972: xi), Simkins (1976: 54-55) dan Rogers (2004: 155-156) dan ramai lagi yang bersetuju bahawa hubungan antara PNF dengan pendidikan formal memang wujud, iaitu pertama, sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan, kedua sebagai tambahan kepada pendidikan formal dan ketiga sebagai pilihan dari pendidikan formal.
Di sini kita lihat pula perbandingan jenis pendidikan yang di utarakan oleh Paulston (1972) dengan Simkins (1976) dan lihat bagaimana kedudukan pendidikan itu dalam sistem pendidikan.
RAJAH 4 Sistem Pendidikan Paulston
Sumber: Paulston R.G. 1972, hlm. x.
PENGETAHUAN INFORMAL
Formal PENDIDIKAN Non Formal
RAJAH 5 Sistem Pendidikan Simkins
Sumber: Simkins T. 1976, hlm. 9.
Merujuk Rajah 4, Paulston (1972) telah mengklasifikasikan pendidikan kepada empat komponen iaitu pendidikan formal, iaitu sistem pendidikan di sekolah, kolej dan universiti; pendidikan non formal, iaitu program pendidikan luar dari sistem pendidikan formal, seperti pendidikan dewasa, latihan pengurusan, kelas pemulihan dan latihan belia. Seterusnya ialah pendidikan informal di mana ilmu dipelajari secara tidak sistematik secara umum melalui institusi kebudayaan, sosial, undang-undang dan media massa. Akhir sekali ialah pendidikan antarabangsa, iaitu ilmu yang diperolehi dari luar negara. Beliau juga tidak menafikan bahawa dalam keempat-empat komponen pendidikan ini, PNF kurang difahami dan dikaji. Namun kini PNF telah tidak dilihat sebagai terpisah dalam pembangunan tetapi sebagai pendidikan yang membingungkan dan tunggang-langgang (bewildering hodgepodge). Menurut beliau lagi, oleh kerana berlakunya ketidaksanggupan pendidikan formal menangani keperluan pembangunan globalisasi, kini telah mula diberi perhatian dan input dari pendidikan formal ke PNF.
Sementara dalam Rajah 5 menurut Simkins (1976), kita dapat lihat perkaitan pendidikan formal dengan PNF dalam keseluruhan sistem pendidikan. Pendidikan formal dapat ditakrifkan dengan jelas dan PNF ialah yang luar dari pendidikan formal. Kebanyakan masyarakat, pendidikan formal meliputi semua sistem persekolahan, universiti, pendidikan lanjutan sepenuh masa dan/atau latihan vokasional dan latihan guru. Keputusan untuk memasukkan jenis pendidikan ini berbeza-beza mengikut kehendak masyarakat dan sistem pendidikan sesebuah negara, dan masalahnya ialah bagaimana menghadkan atau membezakan yang mana pendidikan formal dan PNF. Inilah kelemahannya dalam menggunakan pendekatan ini.
Perbandingan yang jelas pula telah di buat oleh golongan ideologues dalam Rogers (2004) antara pendidikan formal dengan PNF seperti di bawah ini:
Formal
Non Formal
· Bersistem iaitu peringkat rendah, menengah dan tertiari.
· Pendidikan bermatlamat untuk masa depan.
· Untuk memenuhi keperluan negara.
· Tiada sistem; aktiviti pendidikan berterusan, dari satu peringkat ke peringkat yang lain.
· Pendidikan seumur hidup (in and through life).
· Untuk memenuhi kehendak individu.
Walau bagaimanapun, jika dihalusi secara terperinci dan mengambil kira aktiviti pendidikan yang dijalankan, terdapat banyak perbezaan antara pendidikan formal dan non formal. Mengikut Paulston (1972), program-program pendidikan formal dan non formal mempunyai berbagai-bagai perbezaan termasuklah dari segi struktur, kandungan, masa, kawalan, lokasi, fungsi, ganjaran, kaedah, peserta dan kos. Namun, Simkins (1976) dan Rogers (2004) telah membuat perbandingan antara PNF dengan pendidikan formal hanya mengikut fungsi, masa, kandungan, sistem kemasukan dan kawalan sahaja.
JADUAL 1 Model Pendidikan Formal dan Pendidikan Non Formal
FORMAL
NON FORMAL
Fungsi
· Jangka panjang dan menyeluruh
· Berdasarkan kelayakan
· Jangka pendek dan khusus
· Tidak berdasarkan kelayakan
Masa
· Jangka masa panjang
· Persediaan (prepartory)
· Sepenuh masa
· Jangka masa pendek
· Berulang (recurrent)
· Separuh masa
Kandungan
· Pendidikan berpusat
· Akademik
· Memerlukan kelayakan masuk
· Pendidikan terbuka
· Praktikal
· Kelayakan masuk ditentukan oleh kumpulan pelanggan
Sistem Kemasukan
· Berasaskan sekolah
· Bersendiri
· Strukturnya ketat
· Berpusatkan guru
· Sumber intensif
· Berasaskan persekitaran
· Berkaitan dengan komuniti
· Struktur lebih fleksibel
· Berpusatkan pelajar
· Penjimatan
Kawalan
· Berperaturan
· Berhirarki
· Diri sendiri
· Demokrasi
Sumber: Simkins 1976, hlm. 12-15 (ringkasan sahaja).
Oleh kerana tidak ada garis pemisah yang jitu dalam memastikan samada sesuatu program itu merupakan pendidikan formal atau tidak, perkara ini terus menjadi isu perbincangan. Berdasarkan Jadual 1, sesuatu program itu akan tergolong sebagai formal atau non formal jika ia menepati semua ciri-cirinya. Jika itu terjadi, maka hanya sebilangan sahaja program yang dilaksanakan sebagai formal kerana dalam model yang diketengahkan oleh Simkins terdapat 15 dimensi yang telah dikategorikan dalam lima kumpulan. Contohnya dalam program latihan untuk peladang, ia tidak diklasifikasikan sebagai formal walaupun program latihannya itu menepati kebanyakan ciri-ciri pendidikan formal dan juga ia bukan dalam kategori sistem pendidikan formal.
Kritikan terhadap pendidikan formal adalah kerana kosnya yang tinggi (costliness), perkara yang tidak berkaitan (irrelevance), dan tidak mudah diubah suai (inflexibility). Seterusnya bagaimana untuk kita meminda ciri-ciri ini dalam membangunkan non formal atau pilihan lain yang sesuai dengan peruntukkan formal bagi mengatasi kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap pendidikan formal.
Pertama, PNF lebih murah daripada pendidikan formal. Programnya kebiasaannya dalam jangka masa pendek dan dibentuk berdasarkan jangka masa yang diperlukan untuk pembelajaran tertentu. Jangka masa ini berbeza mengikut program dan individu itu sendiri. Kemudahan fasilitinya mudah dan murah dan tumpuan maksimunnya ialah kepada penyediaan kemudahan pembelajaran. Tenaga pengajarnya terdiri daripada profesional, separuh masa mahu pun secara sukarela. Faktor-faktor ini berkemampuan untuk PNF memberikan pembelajaran kepada lebih ramai orang daripada yang dapat diberi oleh pendidikan formal, terutama kepada masyarakat yang masih ramai belia dan orang dewasanya tidak menerima pendidikan formal.
Kedua, PNF lebih bersesuaian dengan keperluan masyarakat berkenaan. Ini adalah kerana PNF hanya melibatkan jangka masa pendek dan pengkhususannya yang berkait rapat dengan kehendak semerta seseorang dan masyarakat berkenaan. Perkaitan antara pendidikan dengan pekerjaan yang dapat memenuhi keperluan mereka, selain menumpukan kepada kemahiran, latihan amali dan mengikut keperluan setempat. PNF lebih menumpukan kepada keperluan individu samada program itu secara separuh masa ataupun secara jangka pendek. Maka, dalam ruang dan masa terdekat, didapati PNF dapat menghasilkan pulangan yang lebih cepat kepada masyarakat pekerja itu. Seperkara lagi program yang tidak berkesan dapat dikenal pasti dan diperbaiki atau digugurkan dalam program seterusnya. Perkara ini tidak dapat dilakukan dalam sistem pendidikan formal kerana ia melibatkan dasar dan birokrasi.
Ketiga, kelebihan yang dapat menandingi pendidikan formal ialah mudah diubah suai. Program-program yang dijalankan pelbagai, dan dikelolakan oleh pelbagai agensi, badan bukan kerajaan dan juga badan sukarela. Birokrasi dapat dikurangkan dan kuasa pengurusan dan pengendalian program di peringkat tempatan. Semua ini akan dapat mempengaruhi pengurusan program mengikut kehendak dan keperluan setempat yang tidak dapat dipenuhi oleh pendidikan formal dalam sistem pendidikan.
Oleh kerana tidak ada garis pemisah yang jelas antara pendidikan formal dan PNF, maka telah berlaku ketidak pastian sesuatu program itu terutama yang melibatkan program PNF terutama apabila pendidikan formal juga menjalankan aktiviti program non formal. Sebagai contoh, universiti merupakan institusi formal yang mengeluarkan graduan-graduan ijazah pertama, selain peringkat sijil dan diploma, tetapi bila ia menjalankan program PJJ atau separuh masa ataupun mengadakan kursus-kursus jangka pendek, maka adakah ini program PNF? Jika golongan dewasa melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau doktor falsafah, adakah ini termasuk dalam pendidikan formal atau PNF? Perkara seperti inilah yang telah mencabar pendidikan formal dan PNF dan seterusnya menjadikan ia sebagai isu saya yang kedua.
Maka di Malaysia, garis pemisah antara pendidikan formal dengan PNF ialah apa yang dikatakan pendidikan formal dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan dan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan yang tidak dinyatakan itulah PNF.
ISU 2: Pendidikan Formal Telah Dicabar Oleh Pendidikan Non Formal
Seperti yang telah diterangkan pembentukan kurikulum pendidikan terlalu bergantung kepada keperluan masyarakat, secara umumnya kurikulum pendidikan ini dibentuk untuk mencapai dua tujuan iaitu pendidikan untuk kehidupan dan pendidikan untuk mendapatkan pekerjaan. Namun begitu kepentingan kedua-duanya saling berhubungan antara satu sama lain. Contohnya dalam sesebuah keluarga yang kehidupannya daif dapat mengeluarkan anaknya daripada lingkungan kedaifan hidup serta mencorakkan kehidupannya melalui mekanisme sistem pendidikan formal. Fenomena seperti ini telah dibuktikan berlaku dalam masyarakat Malaysia. Sebagai contoh taraf hidup masyarakat Melayu dan bumiputra di Malaysia dapat dipertingkatkan dengan cepat sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada tahun 1969. Media yang digunakan ialah pendidikan dan sistem kuota bagi kemasukan pelajar Melayu dan bumiputra ke institusi-institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di samping memberi keutamaan kepada mereka yang terlibat dalam projek-projek pembangunan ekonomi negara.
Oleh kerana pendidikan mampu memainkan peranan penting untuk mencapai sesuatu matlamat, iaitu mempunyai mekanisme untuk mengubah mobiliti sosial seseorang samada mobiliti menurun atau menaik. Implikasi daripada kesedaran bahawa pendidikan mampu mencorakkan manusia di masa hadapan, tanpa disedari telah mewujudkan persaingan untuk mendapatkan tempat belajar yang terhad, berkualiti dan ternama. Dalam persaingan ini akan ada pelajar yang berjaya mendapat tempat dan sebaliknya. Di sinilah PNF memainkan peranannya dalam menjayakan pembangunan negara seterusnya merealisasikan Wawasan 2020.
Kebanyakan orang percaya bahawa sistem pendidikan berfungsi sebagai ejen penyebaran ilmu semata-mata, yang tidak terpengaruh dengan urusan politik, tetapi ini bukanlah hakikat sebenarnya kerana dasar, matlamat dan kurikulum pendidikan sentiasa terpengaruh dengan perkembangan politik dan aspirasi masyarakat. Ini kerana tujuan pendidikan ialah menghasilkan manusia yang berfikir, bertindak, bertingkahlaku dengan cara yang dinyatakan (Connell 1981).
Oleh kerana manusia dalam masyarakat yang maju dan kompleks mempunyai seribu satu macam keperluan. Justeru itu, dasar-dasar kerajaan digubal untuk mengisi keperluan manusia yang berbagai-bagai itu. Maka akan timbullah berbagai dasar yang digubal oleh kerajaan dan swasta untuk mengisi keperluan manusia dan pembangunan negara. Dalam pendidikan, rakyat Malaysia meletakkan ia pada nilai yang tinggi, maka dasar-dasar pendidikan kerap dikaji semula dan diperbaharui oleh kerajaan. Namun tanpa garis panduan dasar, kita akan melihat sistem yang kucar-kacir kerana tiadanya unsur keseragaman dan kesejajaran dalam operasi. Maka yang menjadi mangsa ialah dasar pendidikan formal yang terpaksa berubah-ubah mengikut keperluan PNF dalam memenuhi keperluan sumber manusia dan pembangunan negara. Di sini dipertikaikan apakah tujuan sebenar pendidikan kepada kerajaan dan masyarakatnya? Kerana yang menjadi mangsa keadaan ialah anak murid dan guru. Perkara ini terjadi apabila sesuatu dasar memaksa dan menyusahkan orang awam atau apabila organisasi memaksa staf berkorban tanpa ganjaran yang memuaskan. Dasar-dasar yang baik ialah dasar-dasar yang berteraskan keadilan, munasabah, wajar dan memberi faedah besar kepada rakyat dan pekerja (Sufean Hussin 2002).
Menurut Sufean Hussin 2002 lagi, pada akhir dekad 1990an, apabila Kementerian Pendidikan mengamalkan bahawa pendidikan itu satu industri maka berakhirlah idealisme dan tradisi akademik ala Universiti Oxford atau Harvard iaitu pembelajaran untuk keilmuan komprehensif dan wujudlah kini tradisi pragmatisme kehidupan akademik dan keringkasan pendidikan tinggi ala universiti vokasional Amerika Syarikat.
Persoalan yang timbul ialah apakah kemudahan pendidikan formal kita mencukupi bagi menampung keperluan negara dalam menjayakan Wawasan 2020? Kebimbangan ini dapat dilihat dalam tulisan Fege (1992) yang bertajuk Public Education: Can We Keep It? Menurut beliau, “The public school is on trial, and it may not survive. We must confront head-on the challenges that seek to destroy a concept at the core of our common national purpose” (1992: 86).
Untuk menjawab persoalan ini kita perlu lihat cabaran utama dalam sistem pendidikan negara iaitu untuk menghasilkan tenaga kerja yang mencukupi bagi menampung permintaan pasaran buruh yang berorientasikan kemahiran dan teknologi tertentu dalam bidang-bidang ekonomi berkenaan. Cabaran kedua ialah keupayaan negara menghasilkan ahli sains dan penyelidik yang mampu meningkatkan daya saing dalam pasaran dunia global dan glokal. Cabaran ketiga adalah ke arah membentuk sebuah masyarakat berteknologi yang progresif yang dapat membudayakan penggunaan teknologi dan seterusnya melahirkan masyarakat yang berteraskan sains dan teknologi disamping menunjangi aspek keilmuan dan penghayatan keagamaan dalam kehidupan mereka (Shahril 1999).
Pendidikan formal yang menekankan pendidikan umum, penguasaan akademik melalui kurikulum yang rigid dan suasana pembelajaran yang formal tentu sekali tidak mungkin dapat memenuhi segala keperluan perkembangan dan kehidupan individu. Tambahan pula batasan masa dan batasan tentang segala angkubah pembelajaran dan pengajaran yang berinteraksi mempengaruhi had dan kadar pencapaian keperluan perkembangan dan kehidupan. Ini bermakna setiap individu yang melalui pendidikan formal tidak memperolehi pengetahuan, kemahiran dan perkembangan yang serupa. Individu yang mampu dan berjaya melengkapkan semua peringkat pendidikan formal memperolehi pengetahuan, kemahiran dan perkembangan yang lebih baik daripada individu yang menghabiskan sebahagian daripada peringkat pendidikan formal. Tidak semua berupaya melalui proses penstrukturan aras ilmu ini kerana ia melibatkan masa, kemampuan minda, ketahanan fizikal dan ketabahan hati. Dengan kata lain individu yang tercicir dan tersingkir daripada pendidikan formal pada peringkat awal menghadapi fenomena ketidakberuntungan hidup dalam banyak hal bagi tempoh hidup selanjutnya (Sufean Hussin 1993).
Seorang individu mula mendapatkan pendidikan formal di institusi sekolah, maktab ataupun universiti sejak berumur 6 tahun hingga 18-21 tahun. Selama tempoh itu, individu itu menerima pendidikan dan pengalaman pembelajaran yang berstruktur dan bertahap-tahap mengikut kurikulum yang ditetapkan. Bermula umur 6 tahun individu mengalami regimentation akademik yang dianggap penting untuk dikuasai oleh individu bagi menyediakan individu itu dengan pelbagai kemahiran bagi memikul tanggungjawab dalam masyarakat pada masa akan datang. Selain daripada itu, pelajar menghadapi beberapa peperiksaan yang bertujuan untuk menyaring dan menyingkirkan mereka keluar daripada peringkat pendidikan formal seterusnya. Jadual 2 menunjukkan kadar penyertaan pelajar di institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan dari tahun 1970 hingga 2000. Walaupun kadar penyertaan pelajar semakin meningkat pada semua peringkat pendidikan, namun penyertaan ini masih boleh dipertingkatkan dan pelajar yang tercicir perlu diberi perhatian agar dapat meneruskan kehidupan mereka dengan mengikuti PNF agar dapat memenuhi keperluan pasaran dan ekonomi negara.
JADUAL 2 Kadar Penyertaan Pelajar di Institusi Pendidikan Kerajaan dan Bantuan Kerajaan, 1970-2000
* Jumlah penduduk 17+ - 19+ bagi tahun 1970.
** Jumlah penduduk 17+ -24+ bagi tahun 1970.
Sumber: Pembangunan Pendidikan 2001-2010, hlm. 1-5.
Dalam tempoh persekolahan, pelajar menghabiskan sebahagian besar masanya menjalankan aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum. Pendidikan informal dan non formal masih tetap berlaku dalam tempoh persekolahan formal tetapi penekanan bagi kedua-dua jenis pendidikan ini adalah kurang berbanding dengan pendidikan formal.
Secara amnya, hanya sebilangan kecil murid yang berjaya mengikuti pendidikan formal hingga ke peringkat tinggi. Peratusan pelajar yang masuk ke Tahun 1 dan berjaya menamatkan pendidikan hingga ke Tingkatan 5 di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan telah meningkat daripada 65.0 peratus bagi kohort 1988-1998 kepada 79.8 peratus bagi kohort 1990-2000. Pada tahun 1997, kadar peralihan enrolmen ke Kelas Peralihan dan Tingkatan 1 (kohort 1991-2001) adalah sebanyak 89.3 peratus. Ini menunjukkan sebanyak 10.7 peratus pelajar tidak meneruskan pendidikan ke sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan. Pada peringkat seterusnya, kadar keciciran pelajar Tingkatan 1 ke Tingkatan 2 adalah sebanyak 2.4 peratus dan daripada Tingkatan 2 ke Tingkatan 3 adalah sebanyak 3.7 peratus. Sebanyak 7 peratus lagi pelajar yang meninggalkan sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan selepas mengambil peperiksaan PMR. Kadar keciciran pelajar Tingkatan 4 ke Tingkatan 5 adalah sebanyak 4 peratus. Pada tahun 1997, terdapat seramai 432 000 orang penduduk Malaysia berumur 17 tahun. Daripada jumlah itu, seramai 317 000 orang (73%) menduduki peperiksaan SPM dan SPVM, manakala 219 000 (51%) lulus peperiksaan tersebut. Walau bagaimanapun, institusi pendidikan dan latihan yang sedia ada hanya dapat menampung lebih kurang 81 030 orang (37%) sahaja daripada pelajar yang lulus. Lebih kurang 63 peratus penduduk yang berumur 17 tahun pada tahun 1997, memasuki pasaran kerja tanpa latihan dan kemahiran (KPM 2001). Justeru itu, apa yang patut dibuat ke atas mereka yang menamatkan pendidikan formal separuh jalan? Patutkah mereka diberi peluang seluas-luasnya untuk mendapatkan pendidikan selain daripada yang berbentuk formal?
Berdasarkan FPK, pendidikan haruslah merupakan usaha yang berterusan. Ia itu di samping memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran, pendidikan yang diterima oleh pelajar haruslah dapat menimbulkan minat rangsangan dan keyakinan diri pelajar untuk terus mencari ilmu pengetahuan walaupun sudah tamat pendidikan formal.
Di sinilah letaknya kepentingan PNF dalam usaha menyediakan peluang untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap bagi mereka untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap bagi mereka yang menamatkan pendidikan formal separuh jalan. Juga, di sinilah letaknya kepentingan PNF dalam usaha membangunkan sumber tenaga manusia bagi sebilangan besar mereka yang tercicir dari sistem pendidikan formal atau mempunyai pendidikan formal tetapi tidak mencukupi dari segi keperluan tugasan kerja, di mana pengetahuan dan kemahiran baru diperlukan. Sumber tenaga manusia perlu dimajukan secara menyeluruh dan komprehensif bagi tujuan pembangunan masyarakat dari segi pemikiran bagi meningkatkan penyertaan yang berkesan dalam bidang sosial, ekonomi dan politik.
Perkara ini telah diperjelaskan oleh Bowsher (1989) dalam bukunya Educating America dalam Karsono (1993) di mana beliau telah menjelaskan bahawa latihan dan kemahiran yang diperolehi daripada pendidikan formal yang dirancang begitu teliti dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat universiti masih tidak mencukupi mengikut keperluan majikan tertentu. Fenomena ini wujud kerana dijangkakan majoriti pekerja di negara tersebut akan mengalami pengalaman perubahan jenis pekerjaan sebanyak lima ke enam kali dalam jangka masa hayat mereka bekerja. Perubahan pekerjaan itu berlaku samada pilihan sendiri atau kerana diberhentikan sebab kilang/firma tempat mereka bekerja ditutup. Semua pekerja yang pada mulanya memperolehi pekerjaan berasaskan kelayakan pendidikan formal terpaksa mendapatkan kemahiran-kemahiran baru menerusi PNF yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi menerusi program pendidikan berterusan (continuing education) mereka, atau mengikuti program latihan yang disediakan oleh pihak majikan berkenaan.
Berdasarkan Jadual 3 di bawah, diharapkan dapat memberikan satu gambaran umum mengenai perkara tersebut dan langkah-langkah dari segi jangka pendek dan jangka panjang perlu ditumpukan bagi penyelesaiannya. Maka di sini, peranan PNF dapat meningkatkan cabaran-cabaran di atas terutamanya bagi langkah-langkah jangka pendek.
JADUAL 3 Guna Tenaga Mengikut Pekerjaan Terpilih, 2000-2010
(‘000 orang)
Pekerjaan
Stok
2000
Guna Tenaga
2010
Tambahan Bersih
Keluaran
(2001-2010)
Awam
Swasta
Jurutera
64,376
201,615
137,239
122,651
6,967
Pembantu Jurutera
139,066
470,810
331,744
296,658
36,067
Perubatan Profesional Kesihatan
21,270
45,878
24,608
11,748
12,860
Pembantu Kesihatan Bersekutu
45,052
147,405
102,353
55,907
46,446
Guru Sekolah
298,083
369,756
71,673
67,911
0
Nota: * Output termasuk guru prasekolah dan sekolah rendah
Sumber: Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga 2001-2010, hlm. 164 (sebahagian sahaja).
Walaupun SPK telah dapat meningkatkan kualiti pendidikan dari segi taraf pendidikan tenaga kerja seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 4. Tetapi masih ramai tenaga kerja di Malaysia masih di taraf pendidikan menengah pada tahun 2000 walaupun telah berlaku peningkatan sejak dari tahun 1990. Sementara Jadual 5 memperlihatkan keciciran murid sekolah rendah dalam SPK. Maka di sini PNF perlu di perluaskan dalam program PSH agar mereka ini akan dapat mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk menampung keperluan sumber tenaga manusia dalam pembangunan negara agar jangkaan 35 peratus tenaga kerja mempunyai sekurang-kurangnya pendidikan di peringkat tertiari. Namun keciciran murid dalam pendidikan formal sejak di sekolah rendah masih perlu diberi perhatian.
JADUAL 4 Profil Pendidikan Tenaga Buruh, 1990-2010
(‘000 orang)
1990
%
2000
%
2010
%
Jumlah Tenaga Buruh
7,042.0
9,572.5
12,939.6
Taburan Umur
100.0
100.0
100.0
15-24
2,014.0
28.6
2,498.3
26.1
3,112.2
24.1
25-34
2,204.1
31.3
2,979.2
31.1
4,118.9
31.8
35-54
2,436.5
34.6
3,611.3
37.7
4,995.5
38.6
55-64
387.4
5.5
483.7
5.1
713.1
5.5
Struktur Pendidikan
100.0
100.0
100.0
Rendah
2,380.2
33.8
2,604.3
27.2
1,643.3
12.7
Menengah Rendah & Pertengahan
4,042.1
57.4
5,624.5
58.8
6,767.4
52.3
Tertiari
619.7
8.8
1,343.7
14.0
4,528.9
35.0
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (%)
65.3
65.5
68.1
Lelaki
85.6
85.4
86.4
Perempuan
44.1
44.5
49.0
Sumber: Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga 2001-2010,
hlm. 160.
JADUAL 5 Enrolmen Tahun 1 dan Tahun 6, Bilangan dan Peratus Keciciran Sekolah Rendah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.
Tahun 1
Tahun 6
Bilangan Keciciran
Peratus
Tahun
Enrolmen
Tahun
Enrolmen
1993
481,173
1998
468,754
12,419
2.6
1994
473.530
1999
460,552
12,978
2.7
1995
495,504
2000
480,106
15,398
3.1
Sumber: Pembangunan Pendidikan 2001-2010, hlm. 2-11.
Tidak dinafikan pendidikan formal perlu dilalui, walau bagaimanapun PNF dan latihan sambil bekerja menjadi semakin penting di dalam melahirkan golongan tenaga kerja peringkat pertengahan dan pekerja separuh mahir bagi pembangunan negara. Ini disebabkan:
i. Sistem pendidikan formal jarang dapat mengeluarkan pekerja-pekerja terlatih dan mahir. Oleh itu latihan perlu diberikan didalam perkhidmatan atau sebelum perkhidmatan.
ii. Terdapat beberapa latihan dan pendidikan di luar sistem pendidikan formal yang lebih murah, cepat dan lebih efektif.
iii. Bagi mereka yang telah bekerja, menghadiri kelas-kelas PNF di institusi swasta dan pusat-pusat latihan adalah satu cara untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran (Saedah et al. 1993).
PNF di Malaysia dikendalikan oleh berbagai institusi dan pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan. Secara keseluruhannya menurut Abdul Jabar (1982) PNF ini dapat dibahagikan kepada tujuh jenis, iaitu:
i. Pendidikan asas mengenai kebersihan, kesihatan keluarga, pemakanan dan masyarakat.
ii. Latihan vokasional untuk kemahiran berladang ternakan, perikanan dan pertukangan tangan.
iii. Pendidikan pemulihan dan lanjutan untuk mereka yang tidak berada di sekolah untuk memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran.
iv. Pendidikan kenal huruf.
v. Pendidikan gaya pos.
vi. Pendidikan agama.
vii. Pendidikan koperatif dan program-program pendidikan lain untuk orang dewasa.
Menurut Shamsudin Ahmad (1977) dalam Mazanah (2001) terdapat pelbagai agensi dan institusi termasuk kerajaan, separuh kerajaan, pertubuhan, organisasi swasta dan lain-lain menjalankan dan melaksanakan program-program non formal ini. Jadual 6 menunjukkan jenis-jenis program non formal yang dijalankan oleh antara berbagai-bagai agensi di negara ini.
JADUAL 6 Agensi dan Program-Program Non Formal di Malaysia
Agensi
Program
1.
Kerajaan
1.1
Kementerian Pelajaran
Kursus, seminar, bengkel dalam perkhidmatan.
1.2
Kementerian Sumber Manusia
Program latihan, kemahiran dan khidmat.
1.3
Kementerian Pertanian
- MARDI
Kursus, bengkel, latihan untuk petani, penternak, nelayan, program belia luar bandar.
1.4
Kementerian Belia dan Sukan
- IKBN
Kursus vokasional dan kemahiran untuk belia.
1.5
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
- MPSM
- NOSS
Program latihan pelancongan, kursus kecekapan berbahasa, seminar, skim perantisan perhotelan dll.
1.6
Kementerian Kesihatan
Pendidikan kesihatan keluarga, kursus lanjutan, latihan.
1.7
Jabatan Perkhidmatan Awam
- INTAN
Kursus-kursus yang bersangkut-paut dengan pengurusan dan perkhidmatan awam.
2.
Badan-Badan Separuh Kerajaan
2.1
MARA
- GiatMARA, IKM, IKTM, AIM, GMI, MFI, BMI
Kursus-kursus vokasional dan teknikal dan kemahiran.
2.2
Lembaga Tabung Haji (LTH)
Kursus keagamaan, kursus haji dan umrah.
3.
Badan-Badan Sukarela
3.1
Persatuan Pengguna Malaysia
3.1
ABIM
Kursus pendidikan, seminar dan simposium Islam untuk belia.
4.
Agensi Swasta
4.1
Malaysian Textile and Apparel Centre
4.3
Institut Latihan Perindustrian
5.
Kesatuan Sekerja
5.1
Malayan Trade Union Congress (MTUC)
Kursus mengenai undang-undang sekerja dll.
5.2
CAP
6.
Persatuan Profesional
6.1
Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF)
Program latihan dan perkhidmatan.
6.2
Persatuan Perpustakaan Malaysia
7.
Universiti
Kursus-kursus luar kampus, PJJ, kursus, seminar, persidangan.
8.
Institusi-institusi lain
Sumber: Ibrahim Saad 1992, hlm. 206-210 (sebahagian sahaja)
Di samping jadual di atas, setiap badan atau institusi besar mempunyai pusat-pusat latihannya sendiri. Kebanyakan institusi ini menjalankan latihan khusus untuk memenuhi kehendak sendiri, tanpa mengambil kira badan-badan atau institusi lain.
Cabaran PNF
Namun begitu, PNF memerlukan penilaian semula mengikut acuan Malaysia. Tidak dinafikan PNF mempunyai matlamatnya yang tersendiri. Ia merupakan lanjutan dari proses pendidikan formal, malah PNF dapat memberi peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik, tercicir dari pendidikan formal atau yang mahu meningkatkan pengetahuan atau kemahiran mereka. Dari segi ini PNF tidak memerlukan penilaian semula kerana institusi itu sahaja yang paling mengetahui apakah kursus yang sesuai bagi masyarakat institusi itu. Maka dari segi pengetahuan dan kemahiran, tidak perlu penilaian semula.
Tetapi kita perlu kembali kepada tujuan pendidikan kita dari tiga domainnya iaitu kognitif, afektif dan psikomotor dan juga untuk merealisasikan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, iaitu cabaran agar negara membangunkan sumber tenaga yang mempunyai ciri-ciri K-worker, celik dan mahir dalam ICT, mampu bersaing pada peringkat tempatan dan pada peringkat global, bahkan memiliki jati diri dan daya saing yang tinggi. Penggubalan DPK yang sentiasa mengutamakan isu perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina, India dan kaum bumiputra Sarawak dan Sabah bagi memenuhi FPK.
Walaupun PNF telah mencabar kedudukan pendidikan formal dalam mengejar pengetahuan dan kemahiran yang sentiasa mencabar dalam globalisasi kini tetapi salah satu dari tujuan pendidikan dari segi nilai moral dan akhlak telah dipinggirkan. Domain psikomotor telah sedikit sebanyak mula diketepikan dalam matlamat dan tujuan PNF oleh pihak-pihak bukan kerajaan dan swasta. Akibatnya berlaku pengucupan nilai moral dalam PNF sebaliknya penumpuan lebih kepada pengetahuan dan kemahiran. Kesinambungan yang diperolehi dari pendidikan formal tersangkut dipertengahan jalan ketika menuju ke destinasinya.
Menurut Ibrahim Saad (1992), perkara ini berlaku kerana kebanyakan PNF itu bertujuan untuk menyampaikan pengetahuan dan memberi latihan dalam sesuatu kemahiran. Juga PNF berbentuk tempatan iaitu khusus bagi sesuatu golongan atau tempat dan terhadap sesuatu kandungan, tidak terdapat yang berbentuk nasional. Contohnya KEMAS berbentuk nasional, tetapi ia dilaksanakan untuk sesuatu golongan tertentu sahaja. Berdasarkan faktor-faktor ini, PNF adalah untuk memperolehi pengetahuan dan mendapat latihan yang khusus dalam sesuatu bidang tertentu.
Maka perlu ada penyelarasan dasar kerajaan dalam pendidikan formal dan PNF agar matlamat pendidikan dalam DPK untuk melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatupadu; dan melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketrampilan dan sejahtera akan terlaksana.
Penilaian kembali PNF harus dibuat dari segi bukan pengetahuan, iaitu dari segi sikap, nilai, norma, tatasusila dan tingkah laku. Kalau pendidikan formal telah memberi penekanan kepada aspek-aspek afektif ini, maka PNF juga mesti mengubah orientasi ke arah tersebut. Ini kerana dalam proses pemasyarakatan, pemantapan nilai atau sikap itu akan lebih berkesan jika setiap institusi itu mempunyai matlamat yang serupa. Misalnya, kalau di sekolah kita ingin memupuk semangat harmoni antara kaum, tetapi keluarga di rumah ataupun kakitangan di pejabat tidak menghayati sikap demikian, maka proses pemasyarakatan di rumah dan di pejabat adalah bertentangan dengan apa yang berlaku di sekolah. Oleh itu usaha pemasyarakatan tidak akan berkesan.
Masalah hari ini pula tidak ada satu usaha yang betul-betul boleh dianggap sebagai gerakan nasional untuk menanam sifat berdisiplin dan bermotivasi di kalangan orang dewasa. Memang ada kempen-kempen dijalankan secara informal melalui media tetapi ia perlu lebih bersepadu agar ia dapat dihayati dengan lebih berkesan. Juga telah diadakan Kem Bina Insan dan Program Khidmat Negara tetapi ia tidak melibatkan semua rakyat Malaysia. Maka PNF haruslah mementingkan penyaluran sikap, sifat dan nilai yang sejajar dengan cita-cita dan kehendak negara dalam merealisasikan aspirasi negara ke arah Wawasan 2020. Penyampaian pengetahuan dan kemahiran harus diiringi dengan nilai, sikap dan sifat-sifat berdisiplin dan motivasi kerana pengetahuan dan kemahiran sahaja tanpa motivasi tidak akan menggalakkan penambahan pengeluaran.
Dengan perkataan lain, seperti yang disarankan oleh Ibrahim Saad (1992) PNF yang diberi oleh mana-mana institusi haruslah mempunyai orientasi yang serupa dengan pendidikan formal, iaitu orentasi yang menekankan nilai berdisiplin dan bermotivasi.
ISU 3: Pendidikan Non Formal Dalam Pembangunan Negara Malaysia
Pendidikan adalah salah satu institusi yang sangat penting untuk kemajuan masyarakat dan pembangunan masyarakat yang menganggotainya. Melalui pendidikan kita boleh mewariskan serta mengembangkan nilai dan ilmu, dan menurun serta memajukan teknologi dan peradaban dari generasi ke generasi. Begitu juga, melalui pendidikan kita boleh menambah serta kebolehan seseorang, memperbaiki kedudukan sosio-ekonominya, mempertajamkan fikiran yang kritikal serta kreatifnya, dan meningkatkan moral dan etikanya. Pendidikan merupakan satu kekuatan nasional yang boleh menjamin masa depan rakyat dan negara.
Secara realitinya latihan dan kemahiran yang diperolehi daripada pendidikan formal yang dirancang begitu teliti dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat universiti masih tidak mencukupi mengikut keperluan majikan tertentu yang sedang berlaku di negara-negara maju telah menular ke Malaysia akhirnya. Perkembangan ini telah menyebabkan Malaysia dalam program pembangunannya iaitu RRJP telah meletakkan pendidikan dan latihan sebagai salah satu teras pembangunan sumber manusianya dan menekankan PSH ke arah mencapai Wawasan 2020.
Pelbagai agensi dan institusi termasuk kerajaan, separuh kerajaan, pertubuhan, organisasi swasta dan lain-lain menjalankan dan melaksanakan program-program non formal ini. Kebanyakan institusi ini menjalankan latihan khusus untuk memenuhi kehendak sendiri, tanpa mengambil kira badan-badan atau institusi lain. Maka sudah tentulah matlamat dan orientasinya akan berbeza antara satu dengan yang lain.
Mengikut Kementerian Pelajaran (1981), PNF di Malaysia mempunyai lima objektif:
i. Untuk menimbulkan kesedaran akan perubahan-perubahan yang berlaku dalam alam sekitar yang akan membawa perubahan dalam masyarakat.
ii. Menyediakan golongan belia untuk aktiviti-aktiviti pengeluaran dengan memberi mereka kursus-kursus yang berkaitan yang boleh membaiki diri mereka.
iii. Menyediakan golongan belia untuk mengambil bahagian dan melibatkan diri dalam perdagangan dan perusahaan.
iv. Mendidik dan menanam semangat yang sesuai bagi perkembangan peribadi, sosial dan masyarakat.
v. Membina satu masyarakat demokratik berasaskan prinsip-prinsip Rukunegara.
Menurut Ibrahim (1992), berdasarkan PNF yang diutarakan itu, PNF adalah untuk memperolehi pengetahuan dan mendapat latihan yang khusus dalam sesuatu bidang tertentu dan untuk memenuhi keperluan tempatan.
Namun begitu, sebagaimana termaktub dalam RRJP3, sistem pendidikan dan latihan diorientasikan semula supaya pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang diperolehi dapat menyokong ekonomi berasaskan pengetahuan. Peluang pendidikan dan latihan yang berkualiti di semua peringkat akan dipertingkatkan. Bagi menyediakan tenaga kerja yang berupaya menghadapi cabaran ekonomi berasaskan pengetahuan, usaha telah dipergiatkan untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam menyediakan pendidikan dan latihan yang berkualiti bagi melengkapi usaha kerajaan serta membangunkan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan serantau.
Perbincangan PNF lebih menumpukan kepada PNF terhadap golongan lepasan pendidikan formal iaitu golongan belia dan dewasa. Oleh kerana pendidikan telah terbukti menjadi alat yang sesuai untuk meningkatkan taraf kehidupan seseorang, maka tanpa disedari PNF berpotensi untuk memainkan peranan untuk mencapai sesuatu matlamat dalam kehidupan manusia di masa hadapan seterusnya dalam pembangunan negara. PNF dapat memenuhi matlamat FPK bahawa pendidikan haruslah merupakan usaha yang berterusan walaupun sudah tamat pendidikan formal.
Oleh itu hubungan dan sumbangan pendidikan formal dan non formal di dalam melahirkan sumber manusia professional dan separuh mahir bagi pembangunan negara dapat digambarkan dalam Rajah 6.
Sumber Manusia
Pendidikan Formal
1. Pendidikan Rendah
2. Pendidikan Menengah
3. Pendidikan Tertiari
Pendidikan Non Formal
Tenaga Manusia Profesional
Dan Separuh Profesional
Pembangunan Negara
RAJAH 6 Hubungan Pendidikan Formal dan Non Formal Di dalam Pembangunan Sumber Manusia
Sumber: Saedah et.al. 1993
RRJP3 merupakan fasa kedua usaha negara mencapai Wawasan 2020 yang telah dimulakan pada tahun 1991. Pembangunan sumber manusia yang berkualiti akan dipergiatkan bagi menyediakan tenaga kerja produktif dan membina masyarakat yang sentiasa berusaha dan meningkatkan pengetahuan serta berilmu. Oleh kerana buat masa ini sistem pendidikan formal tidak mampu memenuhi kehendak komersil dan industri, dan menghasilkan tenaga kerja yang berupaya dan bersifat inovatif, produktif dan berkemahiran, maka cara baru penyampaian pendidikan, termasuk E-Pembelajaran dalam PNF harus dibentuk (MAPEN II).
PSH diperkenalkan untuk meningkatkan secara berterusan kualiti tenaga kerja yang diperlukan sejajar dengan perubahan teknologi agar pengangguran struktur dapat diminimumkan. Pendidikan jarak jauh (PJJ) dan pembelajaran maya akan dibangunkan sebagai satu elemen penting dalam meneruskan pengajian di tempat kerja. Sehubungan dengan ini, sektor swasta digalak untuk menyediakan latihan berasaskan perusahaan, program PJJ, universiti terbuka dan pembelajaran melalui laman web terutamanya dalam bidang teknikal. Diharapkan melalui PNF yang merupakan pelengkap, tambahan maupun sebagai pilihan lain kepada pendidikan formal, pelajar-pelajar atau calon yang berumur atau yang bekerja boleh meneruskan pembelajaran ke peringkat tertinggi.
Golongan Belia
Golongan belia adalah generasi dalam struktur populasi masyarakat yang terpenting sekali. Mereka inilah yang menjadi teras kekuatan negara. Untuk menghadapi cabaran yang muncul daripada pembangunan ekonomi dan globalisasi yang pesat serta menyumbang secara berkesan kepada pembinaan bangsa, golongan belia perlu dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang bersesuaian serta nilai yang baik. Bukan sekadar mengadakan pendidikan kemahiran untuk mereka yang tercicir daripada pendidikan formal, bukan semata-mata untuk mewujudkan rakyat yang berguna sebagai alat pembangunan negara dan juga tidak boleh digunakan untuk kepentingan-kepentingan politik.
Program latihan kemahiran untuk pelajar lepasan sekolah terus dilaksanakan oleh pelbagai latihan kemahiran sektor awam dan swasta. Dalam RRJP2, seramai 4,072 belia telah dilatih dalam pelbagai bidang termasuk hospitaliti dan IT di IKBN. Seramai 12,000 orang belia menjalani kursus jangka pendek dalam pelbagai pertukangan yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Program pembangunan keusahawanan yang meliputi latihan dalam pengurusan perniagaan dan penyediaan kemudahan pinjaman telah dipergiatkan untuk membolehkan lebih ramai usahawan muda menceburi bidang perniagaan kecil.
Golongan belia yang berumur antara 15-24 tahun telah meningkat kepada 4.31 juta pada tahun 1998. Program pembangunan belia bertujuan menanam nilai positif dan menyediakan pembangunan kemahiran untuk membolehkan mereka memberi sumbangan kepada pembangunan negara. DBN telah dikaji semula pada tahun 1997 dengan penekanan kepada perolehan ilmu pengetahuan, pembangunan kemahiran dan keusahawan, gaya hidup sihat, pemupukan keperibadian, interaksi sosial, pembangunan perkongsian pintar serta rangkaian antarabangsa.
Terdapat berbagai-bagai program telah dilaksanakan antaranya ialah program Rakan Muda, Program Khidmat Sosial Negara (PKSN), latihan kemahiran untuk pelajar lepasan sekolah dan program pembangunan keusahawan telah dilaksanakan oleh pelbagai institusi latihan kemahiran sektor awam dan swasta bagi memenuhi PNF kepada golongan ini.
Golongan Wanita
Hubungan antara Badan Bukan Kerajaan (BBK) dengan kerajaan dalam pembangunan wanita diperkukuhkan dengan BBK memainkan peranan melengkapi usaha kerajaan mempertingkatkan peranan dan kedudukan wanita dalam masyarakat. Pelbagai BBK melaksanakan beberapa aktiviti seperti kursus dalam perniagaan dan pengurusan, penjagaan kesihatan keluarga, khidmat kaunseling dan pembangunan kepimpinan serta program untuk meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan wanita dalam pembangunan negara. Institut Wanita Malaysia telah menyediakan latihan asas kepada 11,600 wanita dalam bidang tertentu seperti pemasaran, pengurusan, perancangan, belanjawan dan kewangan.
Bagi membantu golongan wanita, pelbagai agensi kerajaan seperti KEMAS dan FELDA telah mengadakan program latihan yang merupakan PNF untuk menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan kecil. Program latihan dan latihan semula juga dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan BBK dalam mempertingkatkan peranan dan kedudukan wanita dalam masyarakat. Semua program dan latihan yang di anjurkan merupakan sebahagian PNF yang tidak dapat disediakan oleh pendidikan formal dalam membangunkan negara.
Walaupun strategi yang digunakan bagi pembangunan sumber manusia ialah pendidikan pada semua peringkat, formal dan non formal, namun program pendidikan, terutama yang berbentuk latihan kurang tersusun bagi kaum wanita. Antara dasar pembangunan sumber manusia yang dikenal pasti ialah menambah bekalan tenaga mahir dan meningkatkan mutu latihan dan pendidikan terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Antara peranan PNF dalam pembangunan negara akan dibincangkan dalam sektor-sektor terpilih di bawah. Juga kita dapat melihat peranan PNF dalam mempertingkatkan tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam program-program latihan dan kemahiran yang tidak dapat dipenuhi oleh pendidikan formal yang dilalui sejak sekolah rendah hingga ke peringkat tertiari, itupun jika seseorang pelajar itu berkemampuan untuk menamatkan hingga ke universiti.
Sektor Teknologi Maklumat (IT)
Pada tahun 1998, jumlah tenaga pekerja dalam sektor IT adalah seramai kira-kira 87,000. Kumpulan terbesar terdiri daripada pekerja sokongan teknikal dengan kira-kira 28,000 kakitangan atau 32.2 peratus daripada jumlah keseluruhan guna tenaga dalam sektor IT, manakala kumpulan terkecil ialah jurutera perisian seramai kira-kira 8,000 atau 9.6 peratus. Antara kepakaran dan kemahiran yang diperlukan ialah dalam pembangunan dan integrasi sistem, pengurusan operasi penyelidikan dan pembangunan (P&P), pembangunan perisian, pengurusan pengkalan data dan perangkaian telekomunikasi.
Dari segi penawaran, sejumlah 12 institusi pengajian tinggi awam, 7 politeknik dan 154 institusi swasta menawarkan kursus mengenai IT dan multimedia di peringkat sijil, diploma dan ijazah. Jumlah enrolmen di institusi tersebut seramai 65,200 pelajar. Di samping itu, institut latihan perindustrian mengendalikan kursus berkaitan IT seperti CAD-Senibina, CAD-Mekanikal, CAD/CAM dan penyenggaraan komputer dan seramai 753 pelatih telah diberi latihan dalam kemahiran tersebut.
Di sektor awam, latihan IT telah dipergiatkan sebagai persediaan untuk pelaksanaan Kerajaan Elektronik (EO). Dalam hal ini, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dipertanggungjawab melaksanakan dan menyelaras latihan IT bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran dengan tujuan menambah bilangan kakitangan yang berkebolehan dalam aplikasi IT. Bagi tempoh 1996-1999, INTAN telah mengendalikan sebanyak 3,921 kursus dengan jumlah peserta seramai 144,885 orang. Bagi tempoh yang sama, sebanyak 153 kursus EO telah dikendalikan bagi 3,499 pegawai sektor awam. Bagi tahun 2000, INTAN telah merancang mengendalikan 43 kursus EO bagi 922 peserta. Di samping itu, kakitangan teknikal yang terlibat dalam projek EO telah diberi pendedahan kepada teknologi terkini seperti pengaturcaraan Java dan teknologi berorientasikan objek dan multimedia. Bagi meningkatkan lagi kemahiran kakitangan teknikal, INTAN telah mengendalikan 4 kursus Diploma Pengurusan Maklumat bagi 116 peserta dan 5 kursus Sijil Pengaturcaraan bagi 130 peserta bagi tempoh 1996-1999. Bagi tahun 2000, INTAN telah merancang mengendalikan satu kursus Diploma Pengurusan Maklumat bagi 25 peserta dan dua kursus Sijil Pemprograman bagi 50 peserta.
Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menyediakan imbuhan semula untuk latihan berasaskan IT bagi memastikan pembelajaran dan peningkatan pengetahuan dan kemahiran IT secara berterusan di kalangan pekerja. Dalam tempoh kajian semula RMT, sejumlah RM64.8 juta atau 14.6 peratus daripada jumlah imbuhan semula HRDF ialah untuk kursus berasaskan IT. Program ini melibatkan pembiayaan untuk 193,140 atau 13.2 peratus daripada jumlah tempat latihan yang diluluskan. HRDF memperkenalkan skim latihan untuk pekerja yang diberhentikan pada Mei 1998. Di bawah skim ini, sejumlah RM846,000 telah dibelanjakan untuk membiayai 203 tempat atau 36 peratus daripada jumlah tempat latihan yang diluluskan untuk kursus IT di peringkat sijil dan diploma.
Dalam tempoh sedekad yang lalu, sektor IT telah melalui perubahan yang pesat. Pembangunan sumber manusia dalam sektor ini turut menghadapi pelbagai cabaran. Hasil daripada kajian yang dijalankan ke atas 50 buah industri antarabangsa yang mengusahakan IT di Malaysia, masalah utama pembangunan industri IT pada masa ini ialah kekurangan tenaga kerja yang berkemahiran. Pada tahun 1999, dijangkakan lebih kurang 10,000 tenaga kerja tempatan diperlukan. Bilangan komputer peribadi (PC) yang digunakan telah bertambah daripada 400,000 unit pada tahun 1993 kepada lebih kurang 1.8 juta unit pada 1999. Kenaikan empat setengah kali ganda ini telah mengakibatkan permintaan yang tinggi untuk kakitangan terlatih dalam bidang IT.
Dari penjelasan di atas, kita boleh lihat bagaimana PNF telah memainkan peranan yang penting berbanding pendidikan formal dalam memenuhi permintaan tenaga mahir dan separa mahir dalam sektor teknologi maklumat, walaupun telah mewujudkan Sekolah Bestari tetapi bilangannya yang terhad iaitu setakat melibatkan 90 buah sekolah pada peringkat awal dan penubuhan Universiti Multimedia, namum PNF lebih pantas dan pintas dalam memenuhi keperluan semasa dan permintaan kepada sumber manusia.
Sektor Pembuatan
Pertumbuhan pesat sektor pembuatan dalam tempoh RRJP2 telah menimbulkan permintaan yang tinggi terhadap pekerja dalam sektor pembuatan. Kini industri elektronik merupakan salah satu daripada penyumbang pendapatan eksport terbesar selain menawarkan pekerjaan terbesar di Malaysia. Industri Elektronik Amerika-Malaysia (MAEI) telah memainkan peranan penting dalam sektor perindustrian elektronik disamping telah membelanjakan sebanyak RM27 juta bagi pendidikan dan latihan. Lebih 39,000 pekerja atau 67 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja MAEI telah meningkatkan kemahiran mereka.
Beberapa langkah telah diambil untuk memperbaiki sistem penyampaian kemahiran di pelbagai institusi latihan bagi membolehkan mereka lebih responsif kepada keperluan pasaran. Dalam hubungan ini, sejumlah RM41 juta diperuntukkan bagi menaikkan taraf kemudahan 11 Pusat Pembangunan Kemahiran (PPK) dalam tempoh kajian semula. Di samping itu, kerajaan melalui institusi latihan peringkat tinggi di bawah MARA seperti German Malaysia Institute (GMI), Malaysian French Institute (MFI) dan British Malaysia Institute (BMI) mengendalikan kursus yang khusus bagi memenuhi keperluan industri termaju berteknologi tinggi.
Bagi melengkapkan usaha kerajaan, sektor swasta digalakkan untuk menubuhkan pusat kemahiran khusus untuk memenuhi permintaan bagi pekerja mahir. Sebagai sebahagian daripada inisiatif galakan ini, kerajaan menyediakan geran pelancaran kepada pelbagai pusat kemahiran khusus yang diinisiatifkan oleh sektor swasta seperti Malaysian Textile and Apparel Centre dan Malaysian Plastics Design Centre. Pada masa yang sama, usaha telah diambil untuk memaksimumkan penggunaan HRDF melalui pengenalan beberapa program latihan baru.
Sektor Pelancongan
Bagi sektor pelancongan, antara aktiviti yang dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan ialah pendaftaran, pelesenan dan pertauliahan institusi-institusi latihan pelancongan, pelaksanaan program-program latihan pelancongan, kursus-kursus kecekapan bahasa asing, seminar, skim perantisan perhotelan di bawah Majlis Pembangunan Sumber Manusia (MPSM) dan program latihan jurulatih dan frontliners di bawah program Hos Malaysia. Disamping itu, program-program lain termasuk Pembangunan Standard Kemahiran Kebangsaan (NOSS) dan pengeluaran Sijil Kemahiran Malaysia, pewujudan insentif latihan dan perakuan pengambilan pekerja asing sektor pelancongan.
Standard Kemahiran Kebangsaan (SKK) dalam industri pelancongan telah digubal bagi meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan yang disediakan. Sehingga tempoh 1998, terdapat sembilan institusi latihan awam swasta, empat buah hotel dan 15 institusi latihan awam di iktiraf oleh Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) bagi menganjurkan kursus yang berkaitan dengan pelancongan. Pada masa yang sama, MLVK dengan kerjasama NTHRDC, telah membangunkan enam lagi NOSS dalam bidang konvensyen, pengemasan rumah, kaunter hadapan, jualan makanan dan minuman, dan chef.
Sektor Pertanian
Program latihan dan khidmat pengembangan pertanian yang disediakan oleh pelbagai agensi awam meliputi pelbagai bidang pengurusan pertanian seperti amalan agronomi, pengurusan ladang, pemasarsan, pengendalian lepas tuai, pemprosesan dan penggunaan teknologi baru telah disediakan agar dapat meningkatkan produktiviti serta pendapatan pekebun kecil.
Sektor Pembinaan
Untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga mahir di dalam sektor pembinaan, enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) didirikan untuk menyediakan latihan mengikut modul. Ini adalah tambahan kepada kursus-kursus peringkat ijazah, diploma dan sijil di IPTA dan IPTS dan juga di sekolah-sekolah teknik dan vokasional kerajaan. Ini diharapkan dapat memenuhi permintaan tenaga buruh sektor ini dan meningkatkan latihan yang bermutu, kualiti tenaga buruh mahir dari segi teknikal dan pengurusan.
Berikut ialah di antara latihan kemahiran yang dijalankan oleh pihak awam dan swasta dalam memenuhi keperluan dan permintaan PNF dalam pembangunan negara:
1. Latihan Kemahiran (Awam & Swasta)
Kerajaan telah melaksanakan latihan dan pendidikan kepada para lepasan sekolah menengah yang tidak berjaya memasuki kolej, politeknik atau universiti. Daripada 88,883 calon pada peringkat SPM yang gagal mendapat tempat melalui Unit Pusat Universiti (UPU) dalam tahun 1999, 77.0 peratus adalah di kalangan Bumiputera. Ini mencerminkan jumlah yang besar di kalangan Bumiputra lepasan SPM yang tidak mendapat peluang melanjutkan pelajaran atau mendapat latihan. Keciciran murid Bumiputra yang tidak menamatkan pendidikan di sekolah rendah samada sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan juga agak besar, iaitu kira-kira 4.0 peratus atau 18,000 orang pada tahun 1999. Sementara kadar keciciran di kalangan orang asli di sekolah rendah ialah kira-kira 60 peratus. Yang lebih membimbangkan lagi ialah 94.9 peratus daripada anak-anak orang asli gagal menyempurnakan persekolahan hingga tamat ke peringkat tingkatan lima sekolah menengah (MAPEN II).
Oleh itu, lebih banyak peluang latihan perlu diadakan untuk kemajuan kerjaya mereka. Kebanyakan daripada mereka melanjutkan pe1ajaran dan latihan ke institusi latihan seperti IKM yang pada tahun 1997 jumlah enrolmen pelajar di institusi ini adalah seramai 5,791 orang, 5,901 orang pada tahun 1998 dan 6,528 orang pada tahun 1999. Di IKBN enrolmen pelajarnya adalah seramai 2,401 orang pada tahun 1997, 2,636 orang pada tahun 1998 dan 2,640 orang pada tahun 1999, manakala lnstitut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (ClAST) telah menghasilkan pelatih seramai 5,309 orang pada tahun 1997, 5,295 orang pada tahun 1998 dan 5,295 pada tahun 1999. Institusi-institusi ini semua merupakan sebahagian PNF yang terdapat di Malaysia untuk melatih mereka yang kurang berjaya dalam pendidikan formal dalam memenuhi keperluan tenaga sumber manusia dalam pembangunan negara.
Dalam proses mengatur dan melaksanakan agenda pendidikan Bumiputera, MARA telah menubuhkan institusi latihannya sendiri. GiatMARA merupakan program latihan ketukangan dan kemahiran jangka pendek, iaitu antara 6-12 bulan. Sehingga kini, terdapat 132 buat pusat GiatMARA yang telah berjaya menghasilkan seramai 60,164 orang pe1atih dalam pelbagai bidang kemahiran. IKM menawarkan program latihan kemahiran dan teknikal secara formal pada peringkat sijil dan diploma yang jumlahnya sehingga kini sebanyak 11 buah kesemuanya. Dari tahun 1995-1999, IKM te1ah berjaya menghasilkan seramai 15,794 lulusan pada peringkat sijil dan diploma. Institut Kemahiran Tinggi MARA (IKTM) menawarkan program latihan teknikal dan teknologi tinggi pada tahap sijil dan diploma yang bilangannya sebanyak 3 buah dan telah menghasilkan lulusan seramai 1,268. Kolej Profesional MARA (KPM) menawarkan program perakaunan dan perniagaan pada tahap sijil dan diploma. Terdapat 2 buah pusat latihan KPM yang telah menghasilkan seramai 5,347 lulusan sehingga tahun 1999. Akademi Infotrain MARA (AIM) menawarkan program latihan teknikal dan teknologi khusus dalam bidang IT pada tahap diploma dan ijazah yang sehingga tahun 1999 terdapat sebanyak 7 buah akademi yang menghasilkan seramai 650 lulusan. Badan Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut menjalankan aktiviti awam dan swasta untuk pekerja mahir dan penyelia tapak binaan.
Kerjasama antara kerajaan juga diadakan khusus untuk kemahiran berteknologi tinggi seperti GMI yang menyediakan latihan dalam teknologi pengeluaran dan elektronik industri, MFI yang menawarkan kursus-kursus mekanikal automasi, penyelenggaraan mesin, pemasangan elektrik dan teknologi kimpalan. Di samping itu, kerajaan telah menubuhkan dua lagi institusi latihan tinggi yang baru untuk memenuhi permintaan tenaga manusia berkemahiran tinggi dalam kursus ketrampilan, terutamanya dalam teknologi termaju. BMI yang mengambil alih Politeknik Tuas pada bulan November 1997 menawarkan kursus dalam bidang kejuruteraan dan IT. Sementara itu, Japan-Malaysia Technical Institute (JMTI) mula beroperasi pada bulan Julai 1998, juga dalam bidang yang sama.
Program latihan kemahiran bertujuan menyediakan bekalan pekerja mahir yang mencukupi terutamanya untuk memenuhi keperluan sektor industri yang semakin berkembang. Pelbagai langkah telah diambil untuk menambah kapasiti latihan melalui pertambahan kemudahan sedia ada dan penubuhan institusi baru serta pengambilan pelatih yang ditingkatkan melalui pengenalan sesi latihan dua syif dan pelaksanaan kelas hujung minggu yang tidak dapat disediakan oleh pendidikan formal.
Demi memastikan program latihan kemahiran tidak terjejas akibat kekurangan tenaga pengajar, Program Latihan Pengajar Kebangsaan diperkenalkan di CIAST pada tahun 1996 untuk meningkatkan bilangan pengajar di institusi latihan awam. Di samping itu, pengajar pelatih telah dilatih di luar negara sementara pengajar yang sedang berkhidmat dihantar ke negara seperti Jerman, Jepun dan United Kingdom untuk memperoleh kemahiran dalam teknologi baru muncul.
2. Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja
Sebagai usaha menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju berlandaskan teknologi tinggi dan K-ekonomi, sememangnya wajar bagi semua pihak bertanggungjawab ke atas soal kesihatan dan keselamatan pekerja. Kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan dijalan raya akan mengakibatkan kesengasaraan kepada keluarga terlibat dan negara turut kehilangan tenaga pekerja yang produktif. Setakat ini hanya ada sebuah syarikat di bawah penyeliaan KSM iaitu Institut Kesihatan dan Keselamatan Pekerja Negara (IKKPN) atau National Institute Occupational Safety and Health (NIOSH) yang mengawasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara. Sehingga Ogos 2000, seramai 37,589 peserta telah mengikuti latihan mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan di NIOSH.
Cabaran PNF Terhadap Pembangunan Sumber Manusia
Bagi Malaysia, cabaran yang terbesar bagi menyediakan diri dalam era ekonomi baru ialah melengkapkan sumber tenaga manusianya dengan pelbagai kemahiran yang relevan. Kemajuan ekonomi yang pesat di Malaysia banyak berorientasikan input driven yang menelan pelaburan modal yang besar. Meningkatkan mutu kemahiran tenaga kerja Malaysia amat penting kerana berdasarkan sumber Political & Economic Risk Consultancy yang dipetik oleh Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, mutu pekerja-pekerja mahir Malaysia berada di tangga ke-12 (4.83) dari satu negara yang dibuat kajian. Di kalangan negara-negara ASEAN, Filipina (4.65) mengatasi Malaysia sementara Singapura (2.45) di tempat keempat, dan India (4.29) di tempat ke-10. Bagi kos pekerja-pekerja mahir, Malaysia dan Amerika Syarikat adalah sama (5.06) sementara kualiti pekerja mahir berada di tempat ketiga (2.22), manakala di Filipina hanya 3.24, Singapura 6.41 dan India 2.14. Keadaan ini memerlukan negara menyediakan lebih banyak pekerja yang berasaskan teknologi dan latihan kemahiran yang bertaraf global (MAPEN II).
Pendidikan negara tidak memberi fokus kepada penyelesaian masalah secara kreatif tetapi terlalu menekankan pembelajaran secara menelaah. Jumlah pelajar peringkat tinggi juga masih rendah, dengan hanya sebilangan kecil dalam jurusan sains. Hubungan juga tidak mantap di antara institusi pendidikan tinggi dengan industri. Maka PNF memainkan peranannya dalam memenuhi keperluan sumber manusia selaras dengan pembangunan negara ke arah Wawasan 2020.
Pertama, tidak terdapat satu badan khusus untuk mengawasi sistem latihan kemahiran vokasional bagi golongan belia, terutama yang tercicir daripada peperiksaan utama seperti PMR dan SPM.
Kedua, tidak terdapat koordinasi di antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber Manusia dan sektor swasta untuk mengawasi dan mengkaji masalah serta merancang program ke arah melengkapkan generasi belia dengan kemahiran yang menepati keperluan pasaran. Sering berlaku pertindihan program-program yang dibuat dan persaingan untuk mendapat pelajar begitu ketara dalam program yang dianjurkan oleh pihak swasta.
Ketiga, tidak terdapat data yang lengkap mengenai jumlah pelajar yang tercicir dan yang telah menamatkan alam persekolahan di peringkat PMR dan SPM untuk tempoh 1990-2000. Tiada saluran rasmi diwujudkan bagi mengenal pasti di mana mereka berada selepas meninggalkan alam persekolahan.
Keempat, tidak terdapat sebarang sasaran mengenai bentuk kemahiran yang dikehendaki dalam tempoh 1990-2000. Walaupun beberapa langkah telah dilaksanakan ke arah menghasilkan tenaga kerja berkemahiran menerusi institusi seperti MARA, IKBN dan politeknik serta sekolah vokasional, namun bekalannya masih tidak mencukupi untuk keperluan negara. Antara faktor yang menyumbang kepada masalah ini ialah tenaga pengajar yang tidak mencukupi dan tempat yang terlalu terhad.
Kelima, dalam sektor IT dasar dan pendekatan yang kurang terbuka serta sistem pendidikan yang kurang memberi penekanan kepada kebolehan dan kreativiti di samping suasana persekitaran IT yang tidak kondusif telah mengekang pertumbuhan golongan pereka cipta di negara ini. Ini menyebabkan mereka ke PNF yang mudah diperolehi.
Keenam, dalam sektor kesihatan kurang kolej/sekolah latihan baru contohnya Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sungai Buluh yang telah ditunda menyebabkan perancangan tenaga manusia kesihatan juga tergendala. Projek-projek latihan lain juga turut terjejas. Kekurangan kemudahan latihan Anggota Sains Kesihatan Bersekutu (ASKB) akan memberi kesan ke atas mutu perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan. Kemudahan yang sedia ada menawarkan latihan asas sahaja disebabkan peralatan yang tidak canggih dan pengajar yang tidak mempunyai kelayakan tinggi. Kebanyakan ASKB tidak dapat diberi pelepasan untuk mengikuti kursus lanjutan atau latihan dalam perkhidmatan bagi mempertingkatkan tahap kemahiran mereka disebabkan kekurangan kakitangan di hospital dan klinik di tempat mereka bekerja.
Ketujuh, begitu juga yang dialami dalam sektor pembinaan, mereka menghadapi masalah meningkatkan kemahiran disebabkan kurangnya pusat latihan serta kursus yang sesuai. Kerjaya di dalam sektor pembinaan yang agak tidak pasti dalam jangka panjang dan pengalaman kerja dan kemahiran yang tidak diiktiraf oleh institusi pendidikan adalah faktor lain yang telah mengurangkan minat pekerja menceburi sektor ini.
Strategi PNF Dalam Pembangunan Negara
1. Pendidikan Sepanjang Hayat. Menggalakkan pendidikan sepanjang hayat selepas sistem pendidikan formal. Ini akan membolehkan negara terus memajukan pembangunan sumber manusia di samping menggunakan potensi sumber manusia sepenuhnya. Peluang-peluang belajar turut diperluaskan terutama bagi menyediakan peluang kedua kepada pelajar-pelajar yang tidak dapat memasuki IPT dengan menyediakan kaedah kolej-kolej komuniti di peringkat daerah dan negeri di seluruh negara. Pendidikan juga boleh diikuti menerusi PJJ, program Universiti Terbuka dan internet yang semakin luas penggunaannya.
2. Pekerja Berilmu, Bermaklumat dan Berpengetahuan. Bagi mewujudkan pekerja berilmu, bermaklumat dan berpengetahuan dalam sektor-sektor pembuatan dan perkhidmatan, dalam pembangunan ekonomi negara, maka menuntut ilmu berterusan atau pendidikan sepanjang hayat untuk mendapat pelbagai kemahiran atau meningkatkan kemahiran amat diperlukan bagi pekerja sepenuh masa atau sementara melalui PNF. Kesan globalisasi akan menjadikan ciri-ciri ini lebih penting untuk dimiliki oleh pekerja. Bagaimanapun, perkara yang paling penting yang menentukan pekerja dan organisasi bertahan dalam K-Ekonomi ialah tahap pengetahuan dan pembelajaran yang dimiliki pekerja dan syarikat. Maka PNF memainkan peranan penting dalam memastikan pekerja sentiasa berilmu, bermaklumat dan berpengetahuan dengan kemahiran dan ilmu terkini.
3. Kemahiran Mendidik Anak-Anak. Kemahiran keibubapaan (parenting skills) harus diberi keutamaan dan diajar bukan sahaja di pusat komuniti dan tempat kerja yang bersifat non formal tetapi di adakan dalam sistem persekolahan melalui aktiviti KoKurikulum. Menerusi program ini, kita dapat melahirkan satu generasi ibu bapa yang lebih bertanggungjawab dan berdedikasi dalam mendidik anak-anak agar dapat menghasilkan generasi muda yang bertanggungjawab, berwawasan serta berdisiplin.
4. Jaminan. Satu jaminan diberi di mana jika pelajar sains gagal untuk memasuki terus ke universiti bagi mengikuti program Diploma atau Sarjana Muda, sebagai contohnya mereka diberi peluang kedua melalui kursus seperti Pra-Sains yang dikendalikan oleh universiti dan politeknik, kolej komuniti dan program latihan di Institut Latihan Perindustrian.
5. Mewujudkan Insentif Latihan. Syarikat perlu digalakkan meningkatkan lagi latihan tenaga kerja dan pembangunan sumber manusia. Sistem percukaian harus menyediakan insentif kepada majikan untuk lebih berbelanja ke atas latihan, seperti membenarkan potongan cukai berganda (double-tax deduction) bagi perbelanjaan latihan. Kerajaan juga perlulah menimbangkan memberi insentif kepada majikan yang memberi latihan kepada wanita, terutama dalam sektor perkilangan.
6. Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia. HRDF yang berasaskan tenaga kerja di sektor swasta, sepatutnya lebih digunakan untuk membiayai pembangunan kemahiran keseluruhan dan penyerapan berterusan kemahiran yang lebih tinggi oleh mereka yang masih bekerja.
7. Kemudahan Latihan dan Modul. Mewujudkan kemudahan latihan dan modul yang bersesuaian dengan industri. Pihak kontraktor/syarikat bertanggungjawab menyediakan program latihan dan modul bagi meningkatkan efisensi pekerja ke arah industri yang berasaskan pengetahuan.
8. Kerajaan Elektronik. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang positif dan berwawasan ke arah mewujudkan EO. EO merupakan satu daripada flagship application MSC. INTAN memainkan peranan dalam mengenal pasti tahap kemahiran dalam bidang teknologi maklumat peserta khusus dan personel perkhidmatan awam. Sistem ujian yang dibangunkan oleh INTAN boleh digunakan bagi menentukan kursus atau seminar yang perlu diikuti oleh seorang pegawai atau staf bagi meningkatkan kemahirannya.
9. Tenaga Kerja Berpengetahuan. Meningkatkan bilangan tenaga kerja berpengetahuan menerusi program latihan dan modul, latihan intensif di tempat kerja dan di luar tempat kerja. Juga mengiktirafkan program-program latihan yang berkaitan.
10. Keseimbangan. Perlu ada keseimbangan di antara pendidikan formal dan PNF. Ini disebabkan PNF boleh memberikan latihan dan pengalaman yang tidak terdapat di dalam pendidikan formal. Penekanan kepada PNF masih kurang kerana pendidikan formal masih dianggap sebagai penyumbang utama kepada tenaga mahir.
11. Penyelarasan. Program PNF dilaksanakan secara compartmentalized iaitu setiap kementerian melaksanakan program PNF bagi melatih tenaga manusia terlatih. Oleh itu, dicadangkan agar satu badan induk sumber manusia diwujudkan untuk menyelaraskan kerja-kerja latihan dan PNF.
Kesimpulannya pendidikan dan pembangunan sumber manusia adalah kunci peningkatan daya saing negara. Bekalan tenaga kerja secukupnya yang terlatih, produktif dan komited adalah keperluan utama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan. Sistem pendidikan negara harus memenuhi kehendak komersil dan industri, dan boleh menghasilkan tenaga kerja yang berupaya, bersifat kompetitif, produktif dan berkemahiran. Maka di sinilah PNF memainkan peranan dalam memenuhi keperluan tersebut dalam pembangunan negara mencapai Wawasan 2020. Kepentingan PNF dalam pembelajaran sepanjang hayat tidak dapat dinafikan selepas pendidikan formal di sekolah dan di IPT.
4. PENUTUP
Sesuatu sistem pendidikan yang dirancang adalah bermatlamat untuk memberi faedah kepada individu, masyarakat, negara dan dunia sejagat. Walaupun pelbagai pihak cuba mentafsirkan pelbagai pengertian dan terdapat beberapa jenis pendidikan yang telah diutarakan oleh pengkaji-pengkaji dengan pelbagai nama yang diberi, namun pada asasnya hanya ada tiga jenis pendidikan dalam kontinum pendidikan sepanjang hayat iaitu pendidikan informal, pendidikan formal, pendidikan non formal. Secara hakikatnya adalah sesuatu yang berkait dan saling lengkap melengkapi antara pendidikan formal, non formal dan informal kerana pendidikan ialah proses yang berlaku di sepanjang hayat seseorang tanpa ada batasan ruang, masa dan tempat.
Oleh kerana PNF adalah apa jua pendidikan yang terancang di luar sistem pendidikan sekolah atau institusi tinggi formal, maka peranan PNF sebagai pelengkap, tambahan maupun sebagai pilihan lain kepada pendidikan formal telah ditekankan secara tidak langsung dalam pendidikan sepanjang hayat yang terkandung dalam RRJP3 dalam usaha negara mencapai Wawasan 20202. PNF berupaya memberi pendidikan lanjutan kepada orang awam dan pelbagai golongan masyarakat untuk membentuk generasi yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berakhlak mulia, bersifat penyayang, berpengetahuan dan berkemahiran, dengan penumpuan terhadap sains dan teknologi. Kini, melalui PNF, dunia pendidikan di Malaysia telah berkembang dengan lebih pesat dan terbuka dan setiap anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama bagi mendapatkan pendidikan.
RUJUKAN
Abdul Jabar Abu Bakar. 1982. Malaysian adult education programmes. Dlm. Bulletin of the Unesco Regional Office for Education in Asia & Pacific. Isu khas, Januari.
Abdul Razaq Ahmad & Shaharom Tm Sulaiaman. 2005. Buku & pendidikan: Ke arah penghayatan membaca. Malaysia: Yayasan Istana Abdulaziz & Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Adler, Mortimer Jerome. 1993. Reformasi pendidikan: Penyingkap minda bangsa Amerika. Van Doren, Geraldine (pnyt.). Terj. Zaiton Ab. Rahman & Shamsiah Md. Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Had Salleh (pnyt.). 1980. Pendidikan ke arah perpaduan: Sebuah perspektif sejarah. Kuala Lumpur: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Badrul Hisham Alang Osman. 1995. Pengaruh pendidikan formal dan non formal terhadap prestasi usahawan. Tesis Sarjana. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ballantine, J.H. 1997. The sociology of Education: A systematic Analysis. Ed.ke-4. New Jersey: Prentice Inc.
CAP. 1977. State of the environment in Malaysia: A compilation of selected papers CAP-SAM National Conference State of the Malaysian Environment, 5-9 January 1996. Pulau Pinang.
Carton, M. 1985. Education and the world of work. Paris: UNESCO, IBE.
Coles, E.K.T. 1977. Adult education in developing countries. Oxford: Pergamon Press.
Connell W.F. (pnyt.) 1981. Asas Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Coombs, P.H. & M. Ahmad. 1974. Attacking rural poverty: How non-formal education can help. Baltimore: John Hopkins University Press.
Coombs, P.H., Prosser R.C. & M. Ahmad. (1973). New paths to learning for rural children and youth. New York: International Council for Educational Development (ICED).
Cropley, A.J. 1980. Towards a system of lifelong education. Oxford: Pergamon Press.
Dave, R.H., Perera, D.A. & Ouane, A. 1985. Learning strategies for postliteracy and continuing education: A cross-national perspective. Hamburg: Unesco Institute for Education.
Doraisamy, John. 1984. The importance of nonformal education. Dlm. Key questions on Malaysian education: Highlights of the CAP Seminar on Education and Development, hlm. 111-112. Pulau Pinang: CAP
Evans D.R. (1981). The planning of NFE. Paris: UNESCO IIEP.
Fege Arnold F. 1992. Public education: Can we keep it?. Educational Leadership, November: 86-89.
Finch, C.R. & Crunkilton, J.R. 1999. Curriculum development in vocational and technical education: Planning, content and implementation. Ed. ke-5. Boston: Allyn Bacon.
Fordham, P.E. 1993. Informal, non-formal and formal education programmes in YMCA George William College. ICE301 lifelong learning unit 2. London: YMCA George William College.
Hallak Jaques. 1990. Beyond the school systems: Priorities in managing NFE programmes. Dlm. Investing in the future: Setting educational priorities in the developing world. Paris: UNESCO IIEP.
Hassan Jantan. 2002. Konsep pembelajaran sepanjang hayat: Menjadi agenda dalam pengurusan sumber manusia. Jabatan Perkhidmatan Awam: Buletin JPA.
Ibrahim Saad. 1992. Perubahan pendidikan di Malaysia: Satu cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jarvis, P. 1983. Adult and continuing education: Theory and practice. London: Croom Helm.
Jarvis, P. 2001. Learning in later life. London: Kogan Page.
Karsono Ahmad Dasuki. 1993. Konsep dan sistem pendidikan jarak jauh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 1971. Country Report on Non-Formal Education in Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2004. Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2001a. Mercu tanda pendidikan di Malaysia (Educational Milestones in Malaysia).
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2001b. Pembangunan Pendidikan 2001 – 2010.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2003. Trend indikator pendidikan Malaysia.
Kidd, J.R. 1973. How adults learn. New York: Association Press.
Ishak Ramly. 2003. Inilah kurikulum sekolah. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
M. Bakri Musa. 2003. An Education system worthy of Malaysia. Malaysia: Strategic Information Research Development (SIRD).
McCall Steen. 1970. Non-formal education: A definition. Washington: AID.
Malaysia. 2001a. Laporan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II): Dasar Pembangunan Wawasan, 2001 – 2010.
Malaysia. 2001b. Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga 2001 – 2010.
Mazanah Muhamad & Associates. 2001. Adult and continuing education in Malaysia. Malaysia: Universiti Putra Malaysia & UNESCO Institute for Education.
Mohd Izham Mohd Hamzah. t.th. Modul Alam Sekitar. Kuala Lumpur: Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Izham Mohd Hamzah & Ab Halim Tamuri. 2005. Mengurus proses perubahan terancang dalam pendidikan di era dunia tanpa sempadan: Implementasi perubahan dari perspektif barat dan Islam. Kertas kerja Prosiding Wacana Pendidikan Islam (Siri 4). Universiti Kebangsaan Malaysia, Melaka, 25-26 Jun.
Mohd Yusop Abd. Hadi. 2003. Ketidakadilan dalam sistem pendidikan formal: Satu kemunculan di luar jangkaan. Jurnal Sains Sosial KUiTTHO 1(1): 42-53.
Muhamad Aszahari Abdul Rahman. 2004. Kecemerlangan pendidikan negara. Kuala Lumpur: Kementerian Penerangan.
Nor Azizah Salleh. 1990. Pendidikan non formal dari pengalaman pelajar UKM. Jurnal Pendidikan UKM 15: 11-18.
NorAzizah Salleh, Robiah Sidin & Faridah Halimi. 1996. A review of nonformal educational research in Malaysia: A country report. Monograf Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Paulston R.G. 1971. Planning non-formal alternative. National Youth Organization in LDC, Pittsburg: Universiti of Pittsburg.
Paulston Rolland G. 1972. Non-formal education: An annotated international bibliography. New York: Praeger Publishers.
Raymond A. Neo. 2002. Pengurusan sumber manusia memperolehi kelebihan bersaing. Terj. Kuala Lumpur: McGraw-Hill Companies Malaysia Sdn Bhd.
Rogers, Alan. 2004. Non-Formal Education: Flexible schoolinh or participatory education?. China: The University of Hong Kong dan Kluwer Academic Publisher.
Saedah Siraj, Shahril @ Charil Marzuki, Zainun Ishak & Lee Pau Wing. 1993. Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
SEAMEO. 1974. Beyond school walls: A study of non-formal education in the SEAMEO Region 1973-1974. Bangkok: SEAMES
Shahril @ Charil Marzuki & Habib Mat Som. 1999. Isu pendidikan di Malaysia: Sorotan dan cabaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Simkins, Tim. 1976. Non-formal education and development: Some critical issues. Monographs 8, University of Manchester.
Siti Nor Musa. 2003. Persepsi pentadbiran sekolah terhadap pembelajaran sepanjang hayat melalui program pendidikan jarak jauh dalam meningkatkan profesionlisme guru. Tesis Sarjana. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sufean Hussin. 2002. Dasar pembangunan pendidikan Malaysia: Teori dan analisis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sufean Hussin. 1993. Pendidikan di Malaysia: Sejarah, sistem dan falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tajul Ariffin Noordin. 1990. Pendidikan suatu pemikiran semula. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
The Hamburg Declaration on Adult Learning. 1997. Adult Education and Development, 49: 251-260.
Yusup Hashim & Sharifah Alwiah Alsagoff. 1999. Pendidikan jarak jauh: Teori & amalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Azmi Ramli. 1993. Dasar awam di Malaysia. Jil. 1. Kuala Lumpur: Golden Books Centre Sdn. Bhd.
Zahara Idris. 1982. Dasar-dasar kependidikan. Bandung: Penerbit Angkasa.
No comments:
Post a Comment