Friday, February 13, 2009

Otak


Pengenalan


Sejak dari dahulu lagi manusia mencari dari manakah atau di manakah letaknya pemikiran, persepsi, perasaan, daya ingatan dan kesedaran atau secara amnya mencari di manakah letaknya “minda” seseorang. Dari persoalan inilah, kesedaran tentang kewujudan otak telah mula berkembang dan beberapa teori telah dikemukakan oleh para saintis.
Pada kurun ke 18 , Franz Gall telah membuat satu tanggapan bahawa otak terbahagi kepada beberapa bahagian yang memainkan peranan yang berbeza. Tanggapan beliau terbukti akan kebenarannya. Beliau juga telah memperkenalkan satu pendekatan yang kini dikenali sebagai phrenology. Kebanyakan penemuan tentang otak adalah hasil daripada pemeriksaan kecederaan. Contohnya pada tahun 1861, Dr Paul Broca telah menemui satu kawasan di dalam otak yang terletak di bahagian hadapan sebelah kiri yang mengawal kebolehan seseorang untuk bercakap. Penemuan ini adalah hasil daripada post-mortem yang dibuat terhadap seorang pesakit beliau yang hanya boleh menuturkan perkata “tan” dan kawasan ini sekarang dikenali sebagai “Broca’s Area”. Pada tahun 1872, Dr Camillo Golgi telah menemui satu kaedah yang membolehkan manusia dapat melihat secara jelas apakah yang membentuk otak. Apa yang dapat dilihat oleh Golgi adalah neuron.
Pada tahun 1889 Santiago Ramon telah menyatakan bahawa setiap neuron di dalam otak adalah satu unit yang tersendiri dan tidak bersambung antara satu sama lain. Ini adalah kerana beliau telah menemui ruangan yang wujud antara neuron-neuron di dalam otak yang mana dikenali sebagai sinaps (synapses). Bagi membolehkan setiap neuron berkomunikasi antara satu sama lain, ia perlu membina satu jalinan. Pelbagai kaedah telah dijumpai bagi memberi ruang kepada para saintis untuk membuat kajian mengenai otak . Antaranya ialah EEG (Electroencphalography), CAT (Computerized Axial Tomography), MRI (Magnetic Resonance Imaging) dan PET (Positron Emission Tomography).


Bahagian-bahagian Otak
Terdapat 3 bahagian yang utama iaitu :

(i) Cerebrum
(ii) Cerebellum
(iii) Brain Stem

(i) Cerebrum

85 % daripada berat otak adalah cerebrum. Terrbahagi kepada 2 bahagian iaitu
(a) Left Cerebral Hemisphere
(b) Right Cerebral Hemisphere
Setiap hemisfera terbahagi kepada 4 kawasan iaitu
(a) The Frontal Lobe - terletak di hadapan
(b) The Temporal Lobe - terletak di bawah
(c) The Parietal Lobe - terletak di tengah
(d) The Occipital Lobe - terletak di belakang
Satu lapisan nipis yang terdiri dari sel-sel saraf yang dikenali sebagai korteks membentuk bahagian luaran cerebrum.

(ii) Cerebellum

Bahagian yang bertanggungjawab tentang keseimbangan, koordinasi pergerakan dan postur. Terletak di belakang cerebrum. Juga mempunyai bahagian hemisfera kanan dan kiri.

(iii) Brain Stem

Bahagian yang menyambungkan cerebrum dengan saraf tunjang. Bahagian bawah brain stem adalah medulla oblongata. Medulla oblongata mengawal aktiviti seperti pernafasan dan degupan jantung . Di bahagian atas brain stem ialah hypothalamus dan thalamus. Bertanggungjawab dalam meregulasikan suhu badan, perasaan lapar dan lain-lain lagi.

Apa itu neuron?

Secara fizikalnya neuron terdiri dari 3 bahagian yang asas iaitu sel utama, dendrit dan axon.

(i) Sel utama / Cell body. Berbentuk bulat denga kelebaran lebih kurang 0.025 mm. Ia merupakan pusat menerima dan menghantar impuls. Juga bertanggungjawab menghasilkan protein.
(ii) Dendrit . Merupakan cabang-cabang yang terjulur keluar dari cell body. Seakan-akan seperti tiub yang membentuk seperti sarang labah-labah ataupun seperti ranting pokok. Kebanyakan cell body mempunyai lebih kurang 6 cabang utama dendrit. Jarak antara cell body dengan penghujung ranting dendrit lebih kurang 0.5 mm. Dendrit bertugas untuk menerima makumat dalam bentuk isyarat elektrik atau impuls yang dihantar oleh axon neuron yang lain.
(iii) Axon. Juga di kenali sebagai nerve fiber. Seakan-akan seperti tiub yang terbentuk dari cell body. Axon ditugaskan untuk membawa maklumat.

Neuron diselaputi dengan sejenis bahan yang dikenali sebagi myelin. Myelin bertindak menghasilkan neuron dan mempercepatkan penghantaran maklumat. Selain daripada neuron di dalam otak, terdapat juga sel neuroglia (glia) yang membantu neuron sembuh dari kecederaan dan memanduarah neuron ke otak fetus di dalam kandungan seseorang ibu. Terdapat lebih kurang 50 bentuk neuron di dalam otak yang berfungsi untuk menghantar dan menerima maklumat-maklumat dalam bentuk gelombang elektrokimia.



Sepertimana yang dijumpai oleh Santiago Ramon, neuron-neuron ini tidak bersentuhan antara satu sama lain. Ruangan kosong yang dipenuhi dengan sejenis cecair antara neuron ini dikenali sebagai sinaps. Di dalam sinaps pula terdapat sejenis molekul yang dikenali sebagai neurotransmitter.

Proses Penyampaian Maklumat

Penghantaran maklumat dari satu satu neuron ke neuron yang lain iaitu neurotransmission, merupakan satu proses elektrokimia. Ianya dimulakan apabila impuls dalam bentuk gelombang elektrik dari cell body dialirkan ke cabang axon. Apabila impuls sampai ke penghujung axon, ia perlu menyeberangi ruangan sinaps untuk sampai ke neuron yang lain. Pada penghujung axon terdapat karung-karung yang kecil yang mengandungi neurotransmitter. Gelombang impuls akan merangsang karung-karung ini dan seterusnya rangsangan ini akan menyebabkan neurotransmitter dibebaskan ke ruangan sinaps. Neurotransmitter ini akan menyeberangi ruangan sinaps dan melabuhkan dirinya kepada ruangan penerimaan cabang dendrit neuron yang lain. Di sini gelombang impuls akan mencetuskan isyarat elektrikal pada neuron yang baru. Dengan cara ini maklumat yang dibawa dari satu neuron ke neuron yang lain akan diubah dari bentuk isyarat elektrik ke bentuk kimia dan akhirnya ke bentuk elektrik semula dan proses ini akan berulang ulang.
Proses ini berlaku berterusan dan berulang-ulang sepanjang hayat seseorang manusia. Satu-satu neuron mampu menerima maklumat dari 100 000 neuron yang lain dalam satu saat. Setiap neuron pula boleh mempunyai 100 sianps di mana setiap sinaps mempunyai beratus ribu neurotransmitter. Hasil daripada proses penerimaan dan penghantaran maklumat ini yang berulang-ulang akan menyebabkan apa yang dipanggil sebagai “Lightning Storm”.





Perkembangan dan Fungsi Otak.

(i) Sejarah Perkembangan Otak Menurut Teori Evolusi

Menurut Teori Evolusi sejarah perkembangan otak dapat diimbau kembali dengan melihat struktur otak manusia .

Otak Reptilia – Reptilia yang hidup 300 juta tahun dahulu mempunyai otak yang mengutamakan kebolehan naluri semulajadi, pergerakan dan deria-deria yang asas seperti deria bau dan penglihatan. Bahagian otak reptilia ini dapat dilihat di dalam otak manusia di cerebellum dan saraf tunjang.

Otak Mamalia Purba – 200 juta tahun dahulu otak mamalia telah berkembang di mana ianya telah menambahkan fungsi daya ingatan dan emosi. Bahagian otak ini dapat dilihat di dalam otak manusia yang dikenali sebagai sistem limbic.

Otak Mamalia Moden – 1.5 juta dahulu, otak mamalia moden telah telah berkembang di mana telah dapat mengawal pemikiran dan penggunaan bahasa.

(ii) Proses Perkembangan dan Fungsi Otak

Proses perkembangan otak boleh dibahagikan kepada 5 peringkat yang utama iaitu :

A. Peringkat Kandungan dan Bayi
B. Peringkat Kanak-kanak
C. Peringkat Remaja
D. Peringkat Dewasa
E. Peringkat Tua



A. Peringkat Kandungan dan Bayi

(i) Perkembangan Fetus

Pembentukan neuron dan proses penjalinan antara neuron sudah mula berlaku ketika dalam kandungan lagi. Dalam tempoh 9 bulan dalam kandungan sebanyak 250 000 terbentuk setiap minit. Ketika dilahirkan, kebanyakan neuron yang diperlukan oleh seseorang sudahpun terbentuk cuma neuron-neuron ini tidak terjalin antara satu sama lain. Proses penjalinan ini hanya terbentuk melalui pengalaman.

(ii) Bayi – 2 tahun

Apabila seseorang bayi mula melihat, mendengar dan merasai segala sensasi , neuron-neuronnya akan mula mencetuskan isyarat-isyarat elektrik yang seterusnya akan menghantar gelombang elektrokimia melalui jejari neuron dan dibawa oleh neurotransmitter yang berada di kawasan sinaps ke neuron-neuron berdekatan. Neuron yang mencetuskan isyarat-isyarat ini akan terjalin antara satu sama lain. Berdasarkan faktor genetik, otak akan menghasilkan lebih neuron dari yang diperlukan tetapi kemudian otak hanya menyimpan mana yang perlu sahaja. Pengalaman yang dilalui oleh seseorang bayi amat penting kerana dari pengalaman awal inilah jalinan antara neuron dapat dibentuk dan seterusnya disimpan. Namun begitu bayi dapat membezakan bunyi-bunyian kerana lokasi pendengaran di dalam otak mereka sudah berkembang ketika dilahirkan. Bayi tidak dapat mengenali diri mereka sehingga ke usia 24 bulan. Ini adalah kerana , neuron di dalam otak mereka terutama sekali di bahagian hadapan belum terjalin antara satu sama lain.




B. Peringkat Kanak-kanak

Ketika ini otak sudahpun mempunyai bilangan sinaps dua kali ganda lebih banyak. Otak mula memperteguhkan jalinan neuron-neuronnya dan menyahkan mana yang tidak diperlukan. Penjalinan yang berlaku mula menjadi semakin kekal. Ketika inilah pertuturan dan pemahaman bahasa berlaku. Bila mencapai umur 6 tahun, pembelajaran bahasa baru menjadi semakin sukar. Walaupun seseorang dewasa boleh mempelajari bahasa baru namun tahap kemahiran mereka tidak akan sama seperti mempelajarinya ketika peringkat kanak-kanak. Ketika usia mencapai 4 tahun, otak sudah mencapai tumbesaran yang maksimum dan mencapi berat maksimum ketika 5 tahun. Peringkat kanak-kanak adalah peringkat yang terbaik untuk mahir dalam bidang matematik, logik dan muzik

C. Peringkat Remaja

Ketika ini otak sudah mencapai tahap terakhir jalinan. Penguasaan beberapa jenis kemahiran tertentu seperti mempelajari bahasa baru atau bermain alat muzik semakin berkurangan. Sebaliknya kemahiran-kemahiran lain seperti kebolehan membuat pengadilan , keupayaan mengendali emosi dan merancang meningkat. Ketika ini, otak akan membuang terus penjalinan yang tidak penting dan tidak diperlukan dan penjalinan yang lain semakin teguh dan lebih efisien. Ketika ini juga, otak semakin matang dan menyediakan remaja ke arah kehidupan sebagai seorang dewasa.

D. Peringkat Dewasa

Ketika ini seseorang mampu menggunakan keupayaan berfikir secara sepenuhnya. Walaupun seseorang itu masih mampu untuk belajar sepanjang hayatnya, litar-litar di dalam otak ketika ini kebanyakannya sudah lengkap terbentuk. Apa yang sudah terjadi ialah pengalaman yang telah dialami di dalam kehidupan telah mengubahsuai sedikit sebanyak kod genetik untuk disesuaikan dengan penjalinan yang telah terbentuk. Otak yang matang tidak bermakna ianya telah menjadi statik. Otak ketika ini masih berubah di mana beribu sel-sel otak akan mati setiap hari. Seawal usia 20 tahun otak akan kehilangan berat sebanyak 1 gram setiap tahun.

E. Peringkat Tua

Semakin berusia, perkembangan otak juga semakin perlahan. Semakin banyak neuron hilang fungsinya ataupun mati. Kebolehan mempelajari sesuatu yang baru, kemampuan sensori dan kemahiran fizikal juga akan menurun. Namun begitu pengalaman yang telah dikecapi mampu membantu seseorang menyelesaikan masalah. Ketika ini otak masih boleh bertindakbalas kepada rangsangan. Ini adalah kerana , sejenis sel glial yang khas akan merangsangkan pembentukan penjalinan baru. Otak adalah sentiasa dinamik sepanjang hayat seseorang.

Gangguan Otak.

Tidak semua otak dapat membentuk penjalinan yang sempurna maka tidak semua otak mempunyai tindakbalas yang serupa. Setiap otak adalah unik. Otak juga boleh menghadapi beberapa gangguan. Antara gangguan otak yang paling umum adalah seperti berikut :

(i) Alzheimer’s Disease
(ii) Schizophrenia
(iii) Parkinson’s Disease
(iv) Anxiety Disorders
(v) Migrain
(vi) Cluster Headaches
(vii) Tension Headaches
(viii) Penagihan Dadah
(ix) Neuropathic Pain
(x) Pengambilan Alkohol
(xi) Kemurungan
(xii) Bipolar Disorder
(xiii) Terencat akal
(xiv) ADHD
(xv) Dyslexia
(xvi) Autisme


(i) Penyakit Alzheimer

Berlaku apabila neuron-neuron di dalam korteks otak (kawasan ini adalah di mana kemahiran berfikir berlaku), hippocampus (kawasan yang melibatkan kemahiran belajar dan daya ingatan) dan kawasan-kawasan yang lain mati tanpa diketahui sebabnya. Penyakit ini boleh menyebabkan seseorang itu hilang daya ingatan dan tidak mampu melakukan aktiviti-aktiviti seperti makan, minum dan mengemaskan diri sendiri. Ianya juga akan menyebabkan sikap apati dan kemurungan di kalangan pesakitnya. Selain dari itu penyakit ini boleh menyebabkan seseorang pesakit itu merayau-rayau tanpa arah tujuan. Didapati bilangan pesakit Alzheimer adalah lebih ramai perempuan berbanding dengan lelaki. Sehingga kini tiada penawar lagi bagi penyakit ini. Ubat-ubatan yang diberi pada masa kini hanya mampu untuk meningkatkan sedikit daya ingatan mereka

(ii) Schizophrenia

Mempunyai masalah berfikir secara nyata, mengawal emosi, membuat keputusan dan membuat hubung kait. Mereka kerap menghadapi masalah halusinasi dan delusi yang amat menakutkan. Punca sebenar penyakit tidak diketahui dengan nyata. Hasil dari kajian yang dibuat didapati penyakit ini sering dikaitkan dengan tahap neurotransmitter dopamine yang tinggi. Selain dari itu didapati pesakit ini juga mempunyai masalah korteks hadapan yang lemah dan ventrikel di dalam otak yang membengkak. Jika seseorang ibu atau bapa adalah pesakit schizophrenia, risiko mendapat seorang anak yang mempunyai masalah ini adalah 10 %. Walaupun tiada penawar bagi penyakit ini, rawatan yang melibatkan pengambilan dadah tertentu mampu menghalang penghasilan dopamine yang berlebihan. Selain dari itu kaunseling secara individu atau kumpulan mampu mengurangkan simptom- simptom penyakit ini dan seterusnya cuba membantu mereka menghadapi kehidupan ini secara normal.

(iii) Parkinson’s Disease

Juga dikenali sebagai “Shaking Palsy” di mana tangan dan kaki yang sentiasa bergoyang atau menggigil dan tidak mampu mengawal pergerakan normal seperti berjalan, makan, minum dan sebagainya. Boleh juga menyebabkan kemurungan dan nyanyuk di kalangan pesakit. Ianya disebabkan oleh sel-sel yang bertanggungjawab menghasilkan dopamine yang berada di tengah-tengah otak (substantia nigra) mati secara tiba-tiba. Ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit boleh membantu neuron-neuron di dalam otak menghasilkan lebih banyak dopamine ataupun membantu otak melakukan yang terbaik dengan dopamine yang sedia ada. Walaupun ubat-ubatan yang diberi tidak mampu menyembuhkan penyakit ini tetapi ianya dapat memanjangkan jangkahayat kehidupan aktif pesakit. Contoh ubatan yang boleh diberikan adalah sinedopa.

(iv) Anxiety Disorders
Apabila mekanisme yang bertindak mengawal perasaan resah di dalam otak gagal berfungsi maka seseorang itu akan senantiasa berada dalam keresahan yang melampau. Ini akan seterusnya menyebabkan seseorang hilang kemampuan untuk berfungsi dan berfikir secara normal. Kajian yang terkini menyatakan bahawa anxiety disorder berlaku kerana kombinasi faktor keturunan dan kehidupan yang penuh stres, di mana stres merupakan pencetus yang akan mengaktifkan faktor keturunan yang sedia ada di dalam seseorang. Ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak terutama sekali serotonin neurotransmitter menyebabkan masalah ini. Penyakit ini boleh diubati dengan ubat-ubatan dan rawatan psikoterapi . Terdapat beberapa jenis Anxiety Disorders yang telah dikenalpasti. Di sini akan diterangkan secara ringkas sebanyak 5 jenis iaitu :

(a) Social Anxiety Disorder (SAD)
Perasaan takut malu atau dimalukan di dalam majlis atau situasi di mana adanya orang ramai. Antara simptomnya ialah berpeluh, menggigil, kesukaran untuk bernafas dan lain-lain lagi. Ianya juga dikenali sebagai Social Phobia.

(b) Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD)
Setelah melalui satu peristiwa mengerikan/menakutkan/traumatik yang tidak dapat dilupakan sehingga menyukarkan meneruskan kehidupan secara normal. Simptom-simptomnya terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu :

Ø Perasaan melalui semula peristiwa tersebut berulang-ulang kali seperti bermimpi (mimpi ngeri) dan sebagainya.
Ø Mengelak perkara-perkara yang boleh meyebabkan mereka mengingati semula peristiwa traumatik itu.
Ø Hyper-arousal iaitu mudah terperanjat, resah, gelisah dan tidur yang sering terganggu.

(c) Generalized Anxiety Disorder (GAD)
Perasaan yang sentiasa terlalu risau mengenai sesuatu acara yang sedang atau bakal dijalankan. Mereka sentiasa merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku walaupun tiada alasan yang kukuh. Mereka juga mungkin akan mengalami masalah fizikal dan emosi contohnya seperti kepenatan, menggigil, sakit kepala, mual dan sebagainya.

(d) Panic Disorder
Akan diserang perasaan panik atau takut secara tiba-tiba tanpa apa-apa sebab. Simptom-simptomnya adalah seperti sukar bernafas, menggigil dan jantung berdegup kencang. Mereka juga akan mengelakkan tempat-tempat atau aktiviti yang mana mereka merasakan boleh menyebabkan panik. Ini dikenali sebagai agoraphobia. Lebih ramai perempuan menghadapi masalah ini.

(e) Obsessive-Compulsive Disorder (OCD)
Mempunyai perasaan atau fikiran serta impuls yang tidak disepatutnya /tidak dikehendaki , yang berlaku berulang-ulang kali (obsesi) . Manakala kompulsif pula ialah ketidakmampuan mengawal perbuatan yang dilakukan berulangkali


(v) Migrain
Sakit kepala yang serius yang bermula dari mata dan seterusnya boleh merebak ke leher atau lengan disertai dengan perasaan mual, muntah atau sensitif kepada bunyi atau cahaya. Lebih ramai perempuan menghadapi masalah ini. Diakibatkan oleh urat-urat saraf yang mengelilingi vessel darah di dalam otak mula bertindak luarbiasa dan menyebabkan vessel darah tersebut membengkak. Ubat-ubatan seperti vasograin dapat menghentikan kesakitan yang dialami

(vi) Cluster Headaches
Dikenalpasti sebagai sakit kepala yang paling dahsyat di mana ia menyerang secara berkelompok. Sering menyerang kaum lelaki. Mungkin disebabkan ketidakseimbangan di kawasan hypothalamus. Rawatan seperti menghirup gas oksigen (pure oxygen gas), pembedahan dan ubat-ubatan boleh diberikan/dilakukan.

(vii) Tension Headaches
Berlaku akibat stres di bahagian dahi, belakang kepala dan leher. Rawatan adalah dalam bentuk ubat-ubatan dan mudah didapati di farmasi-farmasi.

(viii) Penagihan Dadah
Dadah boleh membawa kepada perubahan tingkahlaku seseorang, mengubah cara pemprosesan maklumat di dalam otak dan juga mempengaruhi pergerakan individu tersebut seperti berjalandan bercakap. Punca sebenar tidak diketahui namun begitu penggunaan dadah yang kerap akan menyebabkan perubahan fizikal dan kimia di dalam otak di mana seterusnya menyebabkan ketagihan. Dadah yang boleh menyebabkan ketagihan akan menghalang penghasilan neurotransmitter, mengubah keberkesanannya dan seterusnya ini akan menghalang neuron-neuron dari menerima maklumat. Kadangkala ianya juga boleh memberi kesan dalam jangka masa yang panjang dan boleh berterusan walaupun pengambilan dadah sudah dihentikan. Penagihan dadah adalah satu penyakit yang kronik. Rawatan yang paling efektif terdiri daripada kombinasi ubat-ubatan, terapi tingkahlaku dan perkhidmatan sosial.

(ix) Neuropathic Pain
Kesakitan yang dialami dikaitkan dengan penyakit-penyakit atau kecederaan yang berkaitan dengan sistem saraf. Ianya disebabkan oleh kerosakan yang dialami oleh sistem saraf . Kerosakan ini boleh disebabkan oleh kecederaan, jangkitan virus seperti kayap ataupun penyakit seperti kencing manis. Isyarat luar biasa yang dirasai oleh otak dari saraf-saraf yang tercedera boleh menyebabkan kesakitan yang sangat kronik. Mengubati penyakit ini sangat sukar oleh itu para doktor akan menggunakan kombinasi pelbagai pendekatan rawatan untuk cuba merawat penyakit ini.

(x) Pengambilan Alkohol
Pengambilan alkohol yang berlebihan merupakan penyalahgunaan alkohol. Simptom-simptomnya adalah seperti keinginan yang kuat untuk minum minuman yang beralkohol, tahap kebergantungan yang tinggi terhadap alkohol dan memerlukan amaun alkohol yang tinggi untuk mencapai tahap mabuk. Alkohol mampu mengubah fungsi neuron di dalam otak dan didapati jika seseorang itu mempunyai ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali yang alkoholik , maka kebarangkalian mereka mempunyai masalah yang sama adalah 4 kali ganda lebih tinggi dari orang lain. Masalah ini boleh diatasi dengan pelbagai cara seperti kaunseling, terapi tingkahlaku dan ubat-ubatan serta sokongan dari pelbagai pihak.


(xi) Kemurungan
Satu keadaan di mana seseorang itu mengalami masalah ‘mood’ yang rendah berpanjangan dan hilang minat terhadap aktiviti-aktiviti yang digemari dulu. Individu yang menghadapi masalah ini akan berasa sedih, letih, hilang konsentrasi, tidak mampu membuat keputusan, hilang semangat dan tidak lagi berminat kepada aktiviti yang disukai dahulu. Penyakit ini juga merupakan penyebab utama kepada masalah bunuh diri
Disebabkan oleh ketidakseimbangan bahan kimia di dalam neurotransmitter seperti serotonin atau norepinephrine. Kematian orang tersayang, penyalahgunaan dadah atau alkohol boleh menyebabkan kemurungan malah ianya juga boleh berlaku tanpa apa-apa sebab yang nyata. Boleh diubati dengan pengambilan ubat-ubatan anti-kemurungan seperti fluvoxamine maleate. Pengambilan ubat boleh menyeimbangkan semula bahan kimia di dalam sel-sel saraf di dalam otak.

(xii) Bipolar Disorder
Merupakan masalah ‘mood’ di mana pesakit boleh dilihat mempunyai 2 karakter yang berbeza iaitu kemurungan dan mania yang kronik. Dipercayai berlaku disebabkan oleh keadaan yang serupa seperti kemurungan. Boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan psikoterapi. Pesakit perlu dirawat kerana ianya akan mengganggu aktiviti seharian mereka dan tidak mampu membuat keputusan yang wajar.

(xiii) Terencat Akal
Apa yang dikatakan sebagai terencat akal adalah mereka yang mempunyai IQ yang sangat rendah dan menghadapi masalah yang agak berat untuk menyesuaikan diri dengan aktiviti seharian, dan kedua-dua masalah ini timbul dengan ketara sebelum mencapai usia 18 tahun. Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada masalah ini. Dalam beberapa kes tertentu, faktor genetik telah dikenalpasti sebagai penyebab. Antaranya ialah Sindrom Down dan Sindrom Fragile - X. Individu yang menghadapi masalah ini boleh dibantu untuk berkembang secara intelektual dan sosial di mana ianya melibatkan rawatan seperti pendidikan khas dan latihan.


(xiv) ADHD
Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder. Kanak-kanak yang menghadapi masalah ini menghadapi kesukaran untuk menumpukan perhatian dan berdiam diri dan ini boleh mengganggu keadaan terutama sekali di dalam kelas . Lebih ramai kanak-kanak lelaki menghadapi masalah ini berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Punca penyakit ini tidak dapat dikenalpasti dengan nyata namun begitu hasil daripada imbasan yang dibuat terhadap otak kanak-kanak ADHD, didapati kawasan otak yang mengawal daya tumpuan kurang aktif berbanding dengan mereka yang normal. ADHD boleh disebabkan keturunan. Terdedah kepada bahan-bahan toksik seperti plumbum juga boleh menyebabkan masalah ini. Ubat-ubatan yang boleh merangsang aktiviti neurotransmitter di kawasan otak yang mengawal daya tumpuan seperti ritalin boleh membantu mengurangkan masalah ADHD.

(xv) Dyslexia
Merupakan masalah perkembangan yang menyumbang kepada masalah pembelajaran. Mereka yang mempunyai masalah ini menghadapi kesukaran dengan bahasa, ingatan dan asas matematik. Para saintis sekarang percaya bahawa masalah dyslexia ialah masalah gangguan otak. Sesetengah orang mengalami masalah ini mumgkin kerana komunikasi yang kurang baik antara kawasan Broca (berkait dengan pertuturan) dengan Wernicke (berkait dengan pemahaman perkataan) . Pada individu yang lain ianya mungkin disebabkan tiada kesinambungan antara kawasan korteks visual dangan kawasan Broca, yang mana jika wujud kesinambungan boleh membantu seseorang menyebut nama objek dengan apa yang dilihat oleh mereka. Dengan latihan yang baik dan mencukupi, mereka yang dyslexic boleh membaca dan mengenal huruf.

(xvi) Autisme
Mereka yang mempunyai masalah autisme menghadapi masalah berinteraksi, berkomunikasi dan minat yang terbatas. Simptom dapat dilihat dalam tempoh 3 tahun yang pertama kehidupan mereka dan berterusan sehingga hingga ke akhir hayat. Lebih ramai lelaki menghadapi masalah ini berbanding perempuan iaitu sebanyak 4 kali ganda. Keadaan struktur beberapa kawasan di dalam otak mereka yang autistik menunjukkan wujudnya perbezaan dengan mereka yang normal. Selain daripada itu terdapat perbezaan di dalam aktiviti elektrokimia di dalam otak mereka. Hasil kajian juga mendapati wujudnya gen-gen yang menyebabkan autisme yang mungkin telah menyebabkan perkembangan otak terganggau ketika dalam kandungan lagi. Namun begitu telah didapati masalah autistik ini tidak disebabkan oleh ibubapa iaitu ianya bukan masalah keturunan. Rawatan seperti pendidikan khas, latihan dan ubat-ubatan kadangkala boleh mengurangkan simptom-simptom autisme dan membantu kanak-kanak autistik mendapatkan kemahiran. Kadangkala simptom juga didapati semakin berkurangan apabila kanak-kanak itu semakin membesar.


Sensasi dan Persepsi

Rasa lapar, haus, penat, panas atau menikmati bau yang wangi, merasai keenakan makanan, melihat langit yang biru dan sebagainya satu pengalamn yang akan dilalui oleh setiap manusia yang normal. Pengalaman-penagalam yang dilalui adalah persepsi. Kebanyakan persepsi adalah hasil dari kombinasi pelbagai sensasi .

Sensasi dapat dirasakan dari hari pertama seseorang individu dilahirkan ke dalam dunia ini. Apabila seseorang bayi atau kanak-kanak dirangsang contohnya didedahkan kepada cahaya lampu suluh, dia mengalami sensasi. Apabila rangsangan ini diulang ulang dan akhirnya kanak-kanak itu mula mengenal objek tersebut maka dia sudah mengalami persepsi. Ada psikologis mendefinisikan sensasi sebagai “cebisan pengalaman yang tidak membawa apa-apa makna / erti” dari mana, lama kelamaan ianya akan menjurus kepada pengalaman-pengalaman yang lebih bererti dan dari itu persepsi akan wujud.

Sensasi dirasai apabila organ-organ deria seperti mata, telinga atau kulit didedahkan kepada rangsangan seperti cahaya, bunyian atau tekanan. Rangsangan –rangsangan ini akan bertindak ke atas hujung saraf iaitu reseptor. Apabila reseptor dirangsangkan , mesej/maklumat dalam bentuk impuls akan dialirkan ke saraf fiber yang terletak di dalam otak. Aktiviti berlaku di dalam otak hasil cetusan impuls yang dialirkan tadi akan menyebabkan sensasi. Jika otak tidak mempunyai apa memori untuk dikaitkan dengan sensasi yang baru dirasakan atau tidak memahami apa yang telah berlaku, pengalaman tersebut kekal sebagai sensasi semata-mata. Jika otak dapat mengenalpasti apa yang telah dirasai/berlaku maka pengalaman tadi sudah menjadi persepsi. Contohnya : Bunyi enjin kereta yang didengari pada kali pertama pada mulanya hanyalah satu bunyian sahaja (sensasi). Namun begitu apabila bunyi yang sama didengarkan semula beberapa kali, pengalaman yang telah dilalui akan memberitahu bahawa ianya adalah bunyi enjin kereta (persepsi) .

Pembelajaran awal, pengalaman, emosi dan motivasi sangat penting dalam menentukan bagaimana seseorang membuat persepsi . Ini adalah kerana persepsi terhadap bentuk, warna, kesakitan adalah berbeza-beza dari satu budaya dengan budaya yang lain. Ianya bergantung kepada norma-norma masyarakat dan bagaimana kanak-kanak dilatih sedari kecil lagi . Selain dari itu struktur otak juga satu faktor yang penting yang mempengaruhi persepsi seseorang. Contohnya ada sel-sel dalam otak yang tersusun secara berkelompok dan ada yang tersusun secara menegak dan ini boleh menpengaruhi persepsi seseorang.








































No comments:

Post a Comment